Wednesday, April 25, 2007

CSI 5 : KEPUTUSAN IJOK SERIBU MAKNA

Kedua-dua pihak mahu menang dalam Pilihanraya Kecil Ijok pada 28 April ini. Kemenangan itu akan menunjukkan pelbagai petunjuk atau petanda kepada dua parti yang bertanding - Barisan Nasional (BN) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Bagi BN, ia mahu mengekalkan rekod kemenangan di Ijok yang dimenangi pada Pilihanraya Umum 2004. Kemenangan kali ini sudah tentu akan membolehkan BN meneruskan agenda pembangunan mereka di Ijok menerusi wakil rakyat, K Parthiban. Sudah tentu BN akan memastikan segala rancangan pembangunan di Ijok akan dilaksanakan segera kerana Pilihanraya Umum menjelang tiba iaitu sama ada akhir tahun ini atau awal tahun hadapan. Sebarang kegagalan mempercepatkan usaha membangunkan Ijok akan mengundang padah.

BN, yang kali ini diketuai oleh Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan dibantu oleh Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo perlu menang untuk membuktikan rakyat masih menyokong mereka. Walaupun, BN menang di Batu Talam dan Machap, namun pilihanraya kecil Ijok adalah pelengkap kepada kemenangan sebelum ini yang secara kebetulan kali ini mengetengahkan calon MIC. Calon Umno dan MCA, sebelum ini berjaya mengetepikan pencabar mereka.

Kemenangan di pihak BN juga akan membolehkan mereka memaparkan kepada rakyat di seluruh negara bahawa tohmahan dan tuduhan pembangkang dalam kempen di Ijok terhadap mereka tidak diterima oleh pengundi Ijok. Ini amat baik untuk imej BN dalam pilihanraya umum yang akan datang.

Tidak hairanlah jentera pilihanraya kecil BN di Ijok bekerja keras untuk memastikan pengundi memilih mereka dan tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang terutama oleh pemimpin PKR yang digembalai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

PKR ( sebelum ini Parti Keadilan Nasional sebelum bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia) yang kalah dalam pilihanraya umum lalu mempertaruhkan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai calon mereka. Mereka mengharapkan TS Khalid yang berasal dari Jeram dapat memikat pengundi Ijok untuk menjadi wakil mereka di DUN Selangor.

Oleh itu, tidak hairanlah semua pemimpin tertinggi pembangkang termasuk Datuk Seri Hadi Awang berkempen yang kebanyakan intipatinya mahu penduduk Ijok memberi petunjuk kepada BN. Mereka mendakwa kerajaan sekarang mengamalkan rasuah dan pelbagai tindakan kerajaan sekarang menyusah dan memeritkan rakyat.

Mereka juga menggunakan isu Altantuya untuk mempengaruhi pengundi Ijok mengenai sifat pemimpin kerajaan sekarang yang dilabelkan mereka sebagai pengamal rasuah dan sanggup melakukan apa saja untuk kepentingan diri. Serangan peribadi ini terpaksa dijawab oleh pemimpin BN terutama Datuk Seri Najib yang menafikan segala dakwaan yang dibuat oleh Datuk Seri Anwar.

PKR juga mengemukakan isu bangsa calon BN bagi menggambarkan wakil MIC itu tidak mampu membela nasib Melayu di kawasan Ijok. Ada juga kedengaran suara-suara sumbang berlandaskan agama seperti sama ada untuk memilih masjid atau kuil. PKR juga menggambarkan TS Khalid sebagai seorang tokoh yang mampu membawa perubahan kepada nasib penduduk setempat. Bagi PKR, pembangunan perlu tetapi rakyat perlu memilih TS Khalid sebagai wakil rakyat mereka.

BN dan PKR banyak memberi tumpuan kepada kawasan pengundi Melayu, yang merangkumi lebih 50 peratus. Kedua-dua parti mempamerkan "kelebihan" masing-masing seperti bersih, membela rakyat, membawa pembangunan, keadaan ekonomi baik, suara rakyat terkini, kerajaan stabil dan rekod cemerlang, untuk mempengaruhi pengundi untuk menyokong mereka. Kawasan ramai pengundi Melayu itu ialah Bukit Badong, Kampung Ijuk, Simpang Ijok dan Jaya Setia. Kawasan yang ramai pengundi bukan Melayu ialah Berjuntai Bestari (dulu Batang Berjuntai), Tuan Mee, Pekan Ijok dan Sungai Darah.

Sudah tentu, pengundi Ijok yang bijak akan menilai semua bahan ceramah BN dan PKR termasuk agenda pembangunan yang ditawarkan oleh BN. Mereka akan memilih parti yang mampu memberikan apa yang mereka perlukan ketika ini.

Apakah 12,272 pengundi berdaftar merangkumi 51.8 peratus Melayu, 27.7 peratus India dan 20.6 peratus Cina mahu pembangunan dan kestabilan politik serta ekonomi? Atau mereka memilih wakil pembangkang semata-mata untuk merealisasikan permintaan pemimpin tertinggi pembangkang.

2 comments:

Anonymous said...

Sdr.kepada penduduk DUN Ijok,selamat mengundi.Ingatlah:orang berbudi,kita berbahasa,anda mengundi jangan dipersia!-yunusalias

-

ibrahim yahaya said...

sdr yunus,

tepat sekali, apapun pilihan, undi jangan dipersia-siakan. berfikirlah dengan waras dan bukan mengikut emosi.