Semalaman beruk di Bukit Putra tidak tidur. Mereka diserang oleh anjing-anjing liar. Beratus-ratus ekor. Entah darimana. Kami bernasib baik kerana anjing tidak boleh memanjat. Tetapi melihat muka mereka, amat menakutkan. Gigi taring yang tajam ditayang untuk menakut-nakutkan kami. Kuku di jari dicakar di pangkal pokok. Bunyinya amat menakutkan. Bagi kanak-kanak, ada yang menjerit-jerit dan terkencing-kencing. Malam tadi, ibarat satu malam malapetaka di Bukit Putra.
Serangan itu bermula selepas hujan berhenti dan matahari terbenam. Beratus-ratus anjing terus mengejar dan menyalak kuat. Mereka berlari pantas seperti dirasuk syaitan. Nasib baik, semua beruk sempat memanjat pokok. Beruk Bukit Putra harus berterima kasih kepada Rambut Panjang yang memberi amaran awal kepada semua beruk-beruk. Ini kerana Rambut Panjang mempunyai suara nyaring yang menyedarkan semua beruk untuk segera mencari perlindungan. Ketika itu, Rambut Panjang berada di bawah bukit tempat bermulanya anjing-anjing liar menyerang.
Kekalutan itu menyebabkan kebanyakan beruk memanjat pokok yang terdekat. Ada yang menumpang rumah rakan kerana tidak sempat pulang ke rumah. Untuk bergayut pun mereka takut. Manalah tahu, kalau jatuh ketika bergayut, sudah pasti nyawa melayang.
Kumpulan anjing liar ini diketuai oleh dua ekor anjing hitam. Mereka dibantu oleh timbalan-timbalan yang setia bertindak bila-bila masa. Anjing hitam memberi arahan agar kuncu-kuncunya menyerang beruk tanpa belas kasihan. Setiap beruk mesti dibunuh dengan kejam. Badan mereka dirobek-robek dan dicampakkan ke dalam gaung berdekatan Bukit Putra. Arahan seumpama itu sudah tentu menakutkan beruk.
Setelah semalaman mereka menyalak dan cuba mendapatkan kami, kumpulan anjing-anjing liar itu mula beredar apabila matahari mula terbit. Mereka pergi sekelip mata.
Inilah pertama kali kejadian seumpama itu berlaku. Sebelum ini, wujud pertengkaran kecil antara beberapa anjing dan beruk di kawasan bawah bukit kerana berebut bungkusan nasi yang ditinggalkan. Ia tidak membabitkan pergaduhan besar. Tetapi kali ini ia berbeza kerana membabitkan ratusan anjing liar. Mungkin ada sesuatu yang menyebabkan anjing-anjing liar itu bertindak demikian.
Menjelang tengahari, semua beruk di Bukit Putra berkumpul di rumah Tok G. Inilah pertemuan besar pertama sejak Tok G mengambilalih pentadbiran Bukit Putra.
Dalam pertemuan itu, Tok G melantik Rambut Panjang untuk mengetuai sepuluh kumpulan beruk-beruk jantan untuk mengawal Bukit Putra. Mereka dibahagikan mengikut kawasan pemilihan perwakilan. Mereka menggunakan bunyi tertentu untuk memberi pelbagai isyarat. Antaranya ialah kedatangan anjing-anjing liar dan kemungkinan bentuk serangan balas yang boleh dilakukan.
Beruk Bukit Putra kini lebih bersedia. Mereka menjadi kumpulan yang kuat dan tersusun. Beruk sedia bertindak menentang anjing-anjing liar. Mereka telah membuat beberapa perangkap di sekitar bukit termasuk menggali lubang dalam. Lubang itu diisikan dengan onak dan duri. Ada juga yang menggunakan buluh sebagai perangkap. Ini dibuat dengan melenturkan buluh dan apabila dipijak, buluh akan menerjah mangsa.
Selain itu, kumpulan pengawal telah menggunakan rotan yang banyak di kawasan bukit untuk membuat pagar di kawasan tertentu. Bagi beruk betina yang tidak berteman seperti aku, mereka digalakkan duduk beramai-ramai di kawasan berpagar.
Malam itu, kami menunggu dengan sabar. Tetapi anjing-anjing liar itu tidak kelihatan. Ini berlarutan sehingga sekarang. Namun, Tok G meminta kumpulan pengawal di bawah Rambut Panjang terus berwaspada untuk menjaga kepentingan beruk Bukit Putra.
Monday, April 16, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Encik Ibrahim,
Kutipan derma untuk Aisya telah mencapai RM 12 840. Kutipan ini tidak termasuk sumbangan lampin-pakai-buang, nestum, susu, dan glucose untuk Aisya selama setahun. Kami juga mendapat sumbangan untuk membeli mesin suction untuk membantu dalam masalah kahak Aisya, bernilai RM 1600.
Kalau Encik ingin mengetahui cerita yang sepenuhnya, lawatlah blog saya di www.daphneling.blogspot.com, atau blog Marina Mahathir di www.rantingsbymm.blogspot.com.
Terima kasih kerana menyokong kempen kami. Malangnya, saya baru perasan, dan tidak mengucapkan terima kasih kepada Encik dalam blog MarinaM.
Salam ikhlas,
Daphne Ling
PS: Nak guna email sebenarnya, tapi email Encik tidak berfungsi...
Congratulations, you have won the ‘Thinking Blogger Award”. Please visit www.suhaimisulaiman.blogspot.com for details.
Post a Comment