Thursday, April 19, 2007

HIKAYAT JINNAH BROK (11)

Hari ini, Bukit Putra kehilangan seekor anak watan. Baik hati dan banyak membantu beruk lain. Tidak kedekut dan sentiasa bersedekah. Peramah dan suka merendah diri. Aku sedih, bukan kerana kehilangan seekor bapa tetapi seekor beruk yang jujur dan bertanggungjawab. Segala ajaran bapaku, Jering Tinggi, akan aku amalkan sampai bila-bila masa. Akan aku perturunkan kepada anakku dan generasi seterusnya.

Bagiku, bapak adalah seekor beruk yang mulia. Walaupun kehidupannya sederhana tetapi dia sentiasa memastikan keluarganya bahagia. Makan minum anak-anak sentiasa dijaga. Tempat tinggal disediakan bagi membolehkan kami membesar dengan baik. Persekitaran hidup kami selesa dan harmoni. Tiada bahaya.

Setelah aku menang dalam pemilihan perwakilan yang lalu, pesanan bapak yang pertama ialah jaga nama baik keluarga kita. Baginya, menjadi wakil beruk adalah satu tugas penting dan murni. Ia memerlukan banyak pengorbanan. Ia perlu dilaksanakan dengan jujur dan amanah. Ini kerana pemilih meletakkan seluruh harapan, kepercayaan dan keyakinan kepada wakil mereka. Jika mereka gagal melaksanakan tugas dan tanggungjawab, yang menderita ialah beruk yang diwakilinya.

Seterusnya, beliau berpesan agar aku menjadi wakil beruk yang terbaik di dunia. Jika tidakpun, yang terbaik di Bukit Putra. Terbaik dalam ertikata memberi perkhidmatan tanpa mengenal penat lelah. Berkhidmat tanpa membezakan pangkat keturunan. Memberi sumbangan untuk memajukan masyarakat beruk. Menyediakan rancangan terbaik untuk membawa masyarakat beruk ke tahap yang lebih baik dan bermaruah. Bukan sentiasa di takuk lama.

Baginya, wakil beruk yang korup dan tidak menjalankan tugas dengan baik, perlu disangkut di atas pokok jering tertinggi di Bukit Putra. Biarkan dia berpanas berhujan selama beberapa waktu untuk menyedarkan mereka mengenai tanggungjawab yang perlu dipikul.

Ketika ingin memancing undi, pelbagai janji ditabur. Ketika meminta untuk dipilih, pelbagai kata manis dihambur. Selepas itu, tinggal janji. Sudah tentu, janji kepada pemilih adalah penting, tetapi harus ditunaikan. Jangan pulak cakap pandai tetapi hendak melaksanakannya tidak tahu. Tiada rancangan, sudah tentu tiada apa yang boleh dijalankan. Ketika berkempen, memburuk-burukkan beruk lain. Tetapi hakikatnya, diri sendiri bergelumang tahi. Kotor dan menjijikkan.

Ada juga wakil beruk, setelah menang pemilihan perwakilan, perangai terus berubah. Daripada seekor yang jujur dan amanah, menjadi perompak dan perampas hak Bukit Putra. Daripada seekor yang lemah lembut menjadi beruk berhidung tinggi dan rakus. Sikap begini sering ada dalam wakil-wakil beruk yang bertanding semata-mata untuk mendapatkan habuan. Masuk gelanggang untuk mengaut harta karun. Matanya bulat apabila mendapat habuan. Ini yang diamalkan oleh wakil beruk sebelum ini, seperti Kengkang Besar, Porot Boroi, Mata Senget dan Jamban Tonggek. Sebenarnya banyak lagi yang aku tahu. Habis harta Bukit Putra disapu mereka.

Jadilah seperti wakil beruk terdahulu yang berjuang, semata-mata untuk kepentingan beruk. Pemimpin dahulu mempunyai pelbagai sifat yang dimuliakan. Komited untuk mengangkat maruah masyarakat beruk dan sentiasa berjuang untuk kepentingan Bukit Putra. Kepentingan diri diletak tepi. Hak Bukit Putra dipertahankan sehingga titisan darah terakhir. Inilah dikatakan minda kelas pertama.

Pemimpin beruk yang terdahulu adalah kumpulan mereka yang menerokai Bukit Putra. Mereka bekerjasama dan berkerja keras untuk memastikan Bukit Putra menjadi tempat terbaik untuk beruk dan binatang lain. Pelbagai tanaman diusahakan, dengan menaburkan biji-biji buah dan membiakkan pokok-pokok. Banyak pokok hidup subur di Bukit Putra seperti pokok getah, pisang, jering, petai, kelapa sawit dan buah-buahan lain.

Di bawah bukit dipenuhi dengan rimbunan pokok pisang sehinggakan ia menjadi tarikan penjual daun pisang. Mereka datang beramai-ramai untuk mengambil daun pisang dan menjualnya kepada pemilik restoran daun pisang. Sumbangan wakil beruk sebelum ini banyak memberi faedah kepada semua pihak, beruk, binatang lain dan manusia.

No comments: