Susu Jatuh datang menemui aku. Dia kata rumahnya sudah dimakan anai-anai. Dia perlu tukar pokok lain. Takut pokok yang dijadikan rumah itu tumbang. Anai-anai menyerang rumahnya kerana pemotong rumput Bangladesh sering mengumpul rumput yang dipotong di pangkal pokok. Kemudian dibakar rumput berkenaan. Itulah yang menjadi kegemaran anai-anai. Berlambak banyaknya. Tiada apa yang boleh dilakukan oleh Susu Jatuh.
Aku memintanya berpindah ke sebuah pokok beberapa batang daripada rumahnya. Itupun setelah mendapat kelulusan Tok G. Di bawah pemerintahan Tok G, segala masalah beruk diberi perhatian dan diselesaikan secepat mungkin. Tiada dolak-dalik lagi. Yang mana boleh diselesaikan dalam masa yang singkat, perlu diselesaikan. Beruk yang memerlukan bantuan perlu mendapat pembelaan.
Susu Jatuh ini adalah antara beruk yang mendapat faedah daripada lori susu terbalik berdekatan gaung di Bukit Putra. Ada beberapa nama lagi yang ketika itu kecil tetapi diberikan susu lembu dalam tin yang banyak berlambak di dalam gaung. Oleh kerana manusia malas untuk mengutipnya di dalam gaung, emak-emak beruk yang ketika itu menyusukan anak mereka bertindak bijak mengambilnya. Anak beruk lain yang mendapat faedah ketika itu diberikan nama yang berkaitan dengan susu. Antaranya Susu Lembik. Susu Putih, Susu Tembam dan Susu Sulung. Nama susu ini amat popular satu ketika dulu dan ia mengingatkan kepada kejadian lori susu terbalik itu. Namun, ada juga anak beruk yang cedera terkena tin susu yang menyebabkan mulut terkoyak dan hidung terhiris. Antaranya ialah Mulut Koyak dan Hidung Pecah.
Satu lagi kejadian lori terbalik membabitkan lori tangki IndahWater yang terbalik di bawah bukit timur. Seminggu, beruk-beruk di Bukit Putra "muntah-muntah" dan loya akibat penangan lori najis terbalik. Yang tidak sedapnya manusia durjana itu tidak membuat sesuatu untuk menyelesaikan masalah bau itu. Bagi mereka, binatang yang tinggal di Bukit Putra itu tidak penting dan biarlah bau busuk itu menyerang mereka. Akibat lori najis terbalik itu, banyaklah pokok pisang tumbuh dengan subur di kawasan berkenaan. Ini menjadi rezeki kepada pencari dan penjual daun pisang.
Setelah Susu Jatuh beredar, aku dikunjungi oleh Jinnah dan anaknya, Jibam. Ibu tunggal itu mahu meminta rumah baru kerana rumahnya sering dilanda banjir. Aku memberitahunya untuk mengambil sebuah pokok berdekatan rumah Susu Jatuh. Jinnah amat gembira mendengar berita itu. Dia terus beredar bersama Jibam untuk membuat persiapan berpindah ke rumah baru.
Aku mampu berbuat demikian kerana ia tertakluk kepada bidang kuasa sebagai wakil beruk. Sebenarnya, banyak wakil beruk yang tidak menjalankan tugas mereka. Mereka lalai dan asyik mengumpul kekayaan. Mereka lupa tanggungjawab sebenar. Ada antaranya yang meminta upah beberapa tandan pisang untuk bantuan yang diberikan.
Ada juga wakil beruk yang mengambil kesempatan dengan kedudukan mereka untuk menekan beruk lain. Mereka bertindak seperti raja dengan mengambil secara paksa anak dara beruk. Mereka turut melepaskan nafsu dengan emak anak dara berkenaan. Bagi golongan beruk begini, nasib mereka menjadi malang selepas itu. Mereka bukan saja tidak terpilih sebagai wakil beruk tetapi juga diketepikan oleh masyarakat beruk. Nama mereka sering menjadi cercaan kerana tindakan tidak berperikehaiwanan terhadap beruk lain.
Malam ini, aku dan Tok G akan melawat Batang Berjuntai yang terkena penyakit beruk bersarang. Penyakit ini diperolehi kerana kegemaran Batang Berjuntai meniduri ramai beruk betina yang dalam keadaan kotor. Setakat ini, mereka yang terkena penyakit beruk bersarang ini ibarat menunggu masa untuk mati. Ini kerana tiada ubat bagi penyakit berkenaan.
Batang Berjuntai mendapat balasannya kerana tindakan buas ketika muda. Perkara yang tidak elok jangan diamalkan kerana adakalanya nikmat seminit menyebabkan sengsara sehari. Ingat-ingatlah beruk yang mahu melakukan persetubuhan haram dengan pelbagai pasangan yang tidak tahu kesucian mereka.
Monday, April 23, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment