Friday, April 20, 2007

HIKAYAT JINNAH BROK (12)

Aku hampir menarik diri dalam pemilihan lalu. Hampir patah semangat. Tidak tahan dengan cacian yang dilemparkan kepada keluargaku. Bapak diberikan pelbagai gelaran. Perompaklah. Penyapu Bersihlah. Pelantak Terhormat. Ini semata-mata kerana tindakannya untuk mengutip buah jering di Bukit Putra. Tuduhan dilemparkan oleh golongan yang bertanding melawan aku.

Apa yang dilakukan oleh bapak sangat murni. Mengutip buah jering dan membahagi-bahagikan kepada beruk yang lain. Beliau tidak pernah makan seekor. Tidak pernah menjadi perompak atau penyapu bersih. Kepakarannya memanjat sehingga ke hujung dahan membolehkan beliau mampu mengutip habis buah jering. Malah usaha murni itu mendapat penghormatan daripada Tok G. Nama bapak sering disebut-sebut oleh Tok G dalam banyak pertemuan sebelum ini.Tok G menyifatkan bapak seekor beruk yang baik hati. Beruk yang tidak tamak haloba.

Bapak yang dapat merasai perasaan aku, sentiasa memberi semangat baru. Kubang...jangan difikirkan sangat apa beruk lain kata. Janganlah kata-kata nista itu melemahkan semangat untuk membantu beruk lain. Teruskan perjuanganmu. Teruskan usahamu.

Bapak sentiasa berpesan, kita ini, jika emas akan tetap menjadi emas walaupun dicampakkan ke mana saja. Emas yang dicampakkan ke dalam lumpur, tetap emas juga. Apabila ditemui dan dibasuh bersih, ia tetap emas yang akan bersinar apabila dilimpahi cahaya matahari. Kamu bukan kayu yang akan reput apabila dicampakkan ke dalam air atau lumpur. Jadilah emas. Jadilah intan. Jangan fikirkan apa yang golongan berfikiran cetek itu katakan. Lama-lama mereka akan letih juga. Beruk tidak akan percaya kepada si Pembohong.

Tapi bapak. Mereka telah melampui batas. Mereka mencaci dan mencerca keluarga kita. Mereka membuat tuduhan mengikut suka hati mereka. Mereka kan pemimpin. Jika pemimpin itu membuat tuduhan pasti semua beruk akan percaya. Jika pemimpin itu sering membuat tuduhan di merata-rata tempat sudah tentu beruk akan termakan cakapnya.

Kubang...tuhan tidak memandang pemimpin yang bercakap bohong. Pemimpin yang bercakap bohong sudah tentu akan disumbatkan ke dalam api. Mereka perlu memastikan tutur kata mereka betul dan benar. Apa tujuan sekalipun perkataan yang diluahkan mestilah dalam batas-batas kesopanan adab kita. Janganlah kerana hendak menang pemilihan, mereka boleh membuat sesuka hati. Mencaci dan mencerca. Menuduh yang tidak baik.Golongan seperti ini, tidak akan ke mana. Lambat-laun, masyarakat beruk akan mengetahui sikap sebenar beruk seperti ini.

Semangat yang diberikan oleh bapak itu mendorong aku untuk berjuang habis-habisan.

Aku tidak menggunakan taktik kotor seperti yang dilakukan oleh lawanku. Aku menerangkan mereka apa yang boleh aku lakukan untuk masyarakat beruk. Aku berjanji untuk memastikan beruk di kawasan aku akan sentiasa selamat dan harmoni. Pelbagai rancangan disusun untuk membantu mereka. Antaranya ialah mengajar mereka cara untuk memperbaiki kehidupan. Bukan hanya menunggu "rezeki mendatang". Perlu berusaha dan terus berusaha. Tuhan akan tetap membantu beruk yang berusaha.

Strategi yang aku gunakan berjaya.

Lawanku yang menggunakan taktik kotor iaitu mencaci dan mencerca ditolak dengan jumlah majoriti yang tinggi. Ketika keputusan diumumkan, lawanku, Badan Bertompok, tidak ada. Ketidakhadirannya membuktikan beliau sudah tahu akan kalah. Beliau tahu taktik kotornya tidak menjadi kali ini. Beruk menolaknya kali ini. Diharapkan selama-lamanya. Pembohong dan pengotor.

No comments: