Monday, April 9, 2007

HIKAYAT JINNAH BROK (1)

Setiap kali pandang ke langit, hatiku gusar. Sebab jika langit gelap, hatiku sudah pasti tidak tentu arah. Ini kerana apabila langit gelap, ia pasti diikuti dengan hujan. Yang paling menakutkan ialah hujan lebat dengan tiupan angin kencang. Habis buluku basah dan semalaman kesejukan. Kadangkala demam sehingga beberapa hari.

Aku duduk di pokok yang paling rendah di Bukit Putra, yang terletak berhampiran Putra Hait. Setiap kali hujan turun, rumahku akan ditenggelami banjir. Bayangkan pada hari Ahad minggu lalu, sedang aku seronok tidur dengan anakku Jibam, kami dikejutkan dengan air yang naik secara mendadak. Nasib baik, kami dapat berpaut di dahan tertinggi sehinggalah air surut. Pagi Ahad yang sepatutnya menjadi hari untuk beristirehat bertukar menjadi hari penat lelah dan kesejukan.

Sejak menjadi ibu tunggal, aku dan Jibam terpaksa mencari pokok rendah di bawah bukit. Ini kerana beruk lain yang dikatakan ada "pangkat" dan "darjat" duduk di pokok yang lebih besar. Pokok yang kukuh dan sentiasa menerima tiupan angin-angin sepoi bahasa dari arah Shah Alam atau Puchong.

Beruk lain tidak membenarkan aku tinggal di pokok di atas Bukit Putra. Malah tempat idamanku iaitu di menara telekomunikasi pun mereka larang. Mereka hendak control semua. Aku tidak ada pilihan, melainkan tinggal di bawah bukit kerana kawasan sekeliling sudah dibangunkan oleh Semua Kitakebas Sdn Bhd. Syarikat itu telah membina rumah teres, flet dan rumah kedai.Itu aku tak marah, sebab mereka yang memiliki tanah. Aku hanya menumpang. Namun, apabila mereka buat rumah dan bangunan, maka berkeliaranlah beruk-beruk di Bukit Putra itu. Kehilangan punca....

Beberapa kali aku memberitahu wakil kawasan bawah bukit untuk mengemukakan masalah kami kepada orang di atas tetapi hingga sekarang tidak selesai. Apabila hujan, banjir akan berlaku dan rumahku akan menjadi mangsa. Jibam selalu merayu-rayu mengajak aku pindah ke Puchong, ada banyak ladang kelapa sawit. Tetapi aku tak mahu, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bergayut.

Kalau ikut hati, hendak aku beritahu kepada MANUSIA, yang "sebangsa" denganku mengenai apa yang mereka lakukan menyebabkan banjir berlaku kepada rumahku.

MANUSIA ni walaupun rupanya lebih cantik daripada beruk tetapi ada daripadanya perangai lebih teruk daripada beruk. Umpamanya, ketika makan, bunyi macam-macam yang keluar daripada mulut mereka. Cit, cat, cit, cat. Adakala bunyi macam kucing. Ibu bapa mereka tidak mengajar atau menegur cara untuk makan dengan tertib ke. Abang aku dulu akan lempang aku jika makan berbunyi. Dia kata makan macam kucing. Cit, cat, cit, cat. Satu lagi, kalau ada keramaian dan disediakan makanan percuma, maka mereka berebut-rebut mendapatkan makanan. Macam tak pernah makan. Itukan lebih teruk daripada perangai beruk.

Cerita aku ini dapat dibacakan oleh semua makhluk tuhan kerana bantuan sirimau yang sudah menjadi "blogger". Itupun bukan dia yang menaip tetapi mendapat bantuan manusia yang suka membela haiwan sebagai rakan mereka. Tetapi sirimau tu dapat juga jadi blogger yang kini kena sumpah seranah depan belakang. Tak tahulah, jika aku mula bercerita mengenai nasib beruk-beruk di Bukit Putra ini sudah tentu aku pula akan dilabelkan sebagai "blogger" yang ingin memburuk-burukkan semua orang.

Itu bukan niat aku. Apa yang penting, nasib beruk-beruk di Bukit Putra akan diketahui ramai dan seterusnya manusia akan mengambil usaha untuk membantu kami. Aku tidak mahu menjadi rakan-rakan yang terkurung dalam zoo di seluruh dunia yang menjadi bahan tontonan pelawat yang adakalanya kurang ajar dengan melempar batu atau kayu. Aku mahu jadi beruk yang bebas dan menikmati kehidupan yang sempurna. Walaupun bebas, segala tindakanku bersempadankan peraturan alam.

1 comment:

suhaimi sulaiman said...

I hear you O' Wise Tiger... I feel for you...