Monday, April 30, 2007

HIKAYAT JINNAH BROK (16)

Sejak bertemu Ijok, hatiku tidak tenteram. Siang malam, wajahnya terbayang dalam fikiranku. Ia mengganggu tugasku sebagai wakil beruk. Tiban, kawan baikku perasaan dengan perubahan sikap ini. Dia mengingatkan aku agar segera kembali ke alam nyata. Jangan suka mengelamun. Jangan abaikan tugas sebagai wakil beruk.

Namun, dia tidak tahu apa yang aku lalui. Penangan asmara.

Kau ni nampak lain macam sejak sebulan lalu, Tiban menegurku. Tiada apa-apa. Cuma aku ni sentiasa memikirkan usaha memberikan khidmat terbaik kepada pengundiku. Tapi yang aku perasaan ni, bukan masalah kerja, masalah angau kamu. Kamu tengah bercinta ke? Tiban bagaikan ahli nujum mengetahui apa yang ada di dalam hatiku. Aku menjadi serba salah. Hendak diberitahu malu. Hendak disimpan pula nanti siapa yang akan menolongku untuk melamar Ijok. Ah...fikiranku melayang-layang lagi mengenangkan Ijok. Ijok..oh...Ijok..

Malam tu, aku bermimpi mengenai Ijok. Kami berkahwin dan pergi berbulan madu. Di sebuah pulau yang indah. Ijok meluahkan perasannya terhadapku. Sebenarnya, dia telah lama memerhatiku. Sejak aku menang dalam pemilihan perwakilan beruk, dia menaruh hati denganku. Pandangan pertama ketika aku dijulang selepas menjadi wakil beruk membuat Ijok terus terpikat. Tetapi dia malu untuk memberi isyarat. Aku pula...tidak perasan semua itu. Memang bengapnya aku ini. Malam kemenangan itu, ramai beruk lain di situ. Mataku bertentang mata Ijok, tetapi ketika itu tiada apa yang aku rasa. Tetapi ketika bertemu dalam perjalanan pulang dengan Tok G, semacam satu perasaan menusuk kalbu. Ijok terus menjadi igauanku.

Bangun...bangun..cepat-cepat kamu kena pergi jumpa Tok G pagi ini, ibu mengejutku. Aku bingkas dan bersiap sedia. Namun, aku tersenyum mengenangkan mimpi malam tadi. Apakah mimpi itu akan menjadi kenyataan? Apakah Ijok akan menerimaku? Apakah Ijok tidak mempunyai beruk jantan lain di hatinya? Adakah aku harus berterus-terang mengenai perasaanku kepada Ijok? Semua ini terus bermain-main dalam fikiranku.

Ah..dah sampaipun kamu. Aku terus duduk. Tok G meminta anaknya, Enas, membawa makanan dan minuman untukku. Enas sempat menjeling manja kepadaku.

Kubang, sebenarnya kita kena teruskan agenda pembangunan untuk masyarakat beruk. Ini yang kita janjikan dalam pemilihan lalu. Aku tidak mahu masyarakat beruk menagih janji itu nanti, Tok G memulakan perbualan. Tok..jangan bimbang, aku telah memulakan usaha pembangunan di kawasan aku. Banyak program untuk mendidik masyarakat beruk telah dijalankan. Setakat ini sambutan adalah baik. Mereka juga amat berterima kasih kepada Tok G kerana menunaikan janji.

Tok G mengangguk. Seakan puas hati dengan apa yang aku luahkan nanti. Dia seorang pemimpin yang bertanggungjawab. Dia memastikan apa yang dijanjikan kepada pengundi ditunaikan. Dia tidak mahu Tok Dol dan kuncu-kuncunya menghasut beruk di Bukit Putra untuk mengadakan reformasi terhadap pemerintahannya.

Bagi Tok G, memenangi pemilihan dalam perwakilan beruk adalah satu kejayaan. Namun yang lebih penting ialah menunaikan janji selepas memenangi perwakilan. Dia tidak mahu oleh kerana segelintir wakil beruk yang membuat pasal, maka kepemimpinannya ditolak. Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Sudah tentu dalam pemilihan yang akan datang, kumpulannya akan ditolak jika wakil beruk tidak melaksanakan pembangunan. Tambahan pula, usaha aktif Tawar untuk memburuk-burukkan dia amat dirasai. Pelbagai tuduhan dilemparkan oleh Tawar, termasuk makan suap.

Tawar ini adalah seekor beruk yang tidak tahu mengenang budi. Seperti Badan Bertompok, dia kini aktif memburuk-burukkan Tok G. Sedangkan satu ketika dulu, Tok G banyak memberi habuan kepadanya. Memang sikap beruk yang tidak mengenang budi. Diberikan pisang, sebaliknya tuba yang diberikan balik. Tawar kini mengelilingi Bukit Putra memberi ceramah memburukkan nama Tok G. Ini sebagai persiapan pemilihan perwakilan akan datang. Tawar mewakili Kumpulan Tok Dol.

Tawar bercita-cita tinggi untuk menjadi pemimpin agung di Bukit Putra. Ketika bersama dengan kumpulan Tok G dulu, dia beria-ia benar untuk menjadi pemimpin utama. Namun Tok G, sebagai pemimpin, mengetahui niat dan hasrat Tawar. Dia meminta Tawar untuk meninggalkan kumpulan kerana sikapnya suka memburuk-burukkan pemimpin lain dalam Kumpulan Tok G. Malah, perangai buruknya juga tidak digemar oleh Tok G. Tawar suka berpeleseran dengan pelbagai beruk betina. Imej ini sudah tentu tidak sesuai dengan Kumpulan Tok G. Klimaksnya ialah apabila Tawar memperkosa beruk jantan yang belum cukup umur. Selepas mengetahui perkara itu, Tok G terus menghalau Tawar daripada kumpulannya. Kini, Tawar bersama dengan Kumpulan Tok Dol.

No comments: