Saturday, April 14, 2007

HIKAYAT JINNAH BROK (6)

Mimpiku pelik malam tadi. Aku berada di sebuah rumah di Lorong Tempinis Kanan 3, Lucky Garden. Rumah tu gelap tetapi yang hairannya banyak beruk dan monyet tinggal di situ. Tiang dan papan yang dipasang memudahkan monyet memanjat rumah berkenaan.

Dalam mimpi itu, monyet bercerita bahawa manusia takut untuk tinggal di rumah berkenaan kerana kisah sebuah keluarga yang mati dibunuh di situ. Cerita monyet itu lagi, isteri penyewa rumah itu dibunuh dan mayatnya dipotong-potong. Sehingga sekarang rumah itu tertinggal begitu saja. Tiada seorang manusia yang berani tinggal di situ kerana setiap malam mereka diganggui oleh lembaga tertentu.

Sebelum ini, ada seorang pemandu lori tinggal di situ. Tetapi beliau juga takut kerana diganggu oleh lembaga hitam yang berkeliaran dalam rumah itu. Oleh kerana manusia takut hantu, maka monyet dan beruk mengambil alih rumah berkenaan. Ini kerana lembaga itu dikatakan sudah lari kerana mereka takut dengan beruk dan monyet. Manusia takut hantu. Hantu takut beruk. Terror lagi beruk.

Dalam mimpi itu, aku dan Jibam dibawa oleh monyet dan beruk di situ, memanjat pokok rambutan yang ditanam di bawah high tension wire di kawasan itu. Bayangkan di tengah-tengah Lucky Garden ada dusun buah-buahan. Maka kami berpesta beramai-ramai sehinggalah anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat memancutkan air ke arah kami. Ini disebabkan penduduk membuat aduan mengenai perangai monyet dan beruk kami.

Apa yang manusia tidak tahu bahawa monyet dan beruk itu tinggal di rumah "berhantu" berkenaan. Kalaulah mereka tahu mimpi ini, sudah tentu mereka akan datang mengelidah rumah berkenaan. Setakat ini, monyet dan beruk bebas untuk menjadikan rumah itu sebagai istana kediaman mereka.

Mak..mak..ni buah apa? Aku tersentak dengan soalan Jibam. Buah epal. Mana kamu dapat ni? Ada orang baling kat Jibam di bawah bukit tu. Dia bagi kau epal ke atau baling buah tu kepada kamu. Tak tahulah..tapi baling dan bagi itu sama je...kan Jibam dah dapat buah ini. Boleh makan ke? Boleh. Gigit perlahan-lahan. Ok..Mak. Jibam berlalu turun bermain di pangkal pokok.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, kami amat bertuah kerana ramai manusia yang memberi kita makan. Mereka menaburkan makanan seperti buah-buahan di tapak gerai yang sudah lama ditinggalkan. Sebelum ini, ada abang yang berniaga di situ tetapi beliau tidak lagi berjualan sejak tahun lalu. Maka tempat itu dijadikan tempat pemberian makanan kepada beruk-beruk Bukit Putra.

Mataku terus memerhati Jibam dari atas. Aku tidak mahu dia merayau-rayau yang boleh menyebabkan pelbagai kemungkinan berlaku. Kadang-kala anak ini, kalau kita lepa sedikit mereka akan pergi jauh. Sirimau berkata, seorang kanak-kanak baru-baru ini hilang di sebuah kompleks membeli-belah. Aku boleh merasai bagaimana perasaan ibu bapa mereka dengan kehilangan anak tersayang. Aku berdoa mereka menemui kembali anak itu. Ramai yang membantu. Itulah semangat kekitaan.

Wakil beruk yang baru di kawasan aku, Kubang Besau, setakat ini memang bagus. Selepas menang, beliau terus menemui beruk-beruk di kawasannya untuk mengucapkan terima kasih dan bertanya khabar. Ramai beruk-beruk mengemukakan masalah mereka. Aku bercerita mengenai masalah banjir apabila hujan lebat. Beliau berjanji mahu menolong.

Harap-harap begitulah. Ini kerana kebiasaannya wakil beruk ini berkerja keras selepas menang pemilihan. Penyapu baru katakan. Tetapi selepas mendapat habuan daripada ketua mereka, beruk-beruk yang diwakili tidak dipedulikan. Tetapi aku yakin Kebau ini seorang wakil yang baik. Ini kerana bapanya, Jering Tinggi adalah seorang pakar memanjat pokok jering yang sering memberi buah jering yang lebih kepada beruk-beruk lain. Oleh kerana kepakarannya memanjat pokok jering itulah beliau mendapat nama.

Mak..mak ..saya dengar kedai dekat bukit kita di sebelah timur tu akan dibuka. Mana kamu tahu? Kawan-kawan cakap mak. Dia orang ajak pergi kat situ. Tak usah...jangan kamu mandai-mandai nak pergi kat situ. Situ banyak anjing liar tu. Oklah mak. Jibam turun semula dan bermain dengan rakan-rakannya termasuk anak Ekson.

No comments: