Tuesday, April 10, 2007

PJPD 3 : MINUM AIR SATU BALDI

Sakit pinggang yang sama berulang ketika mula bekerja di akhbar Berita Harian dan ketika itu diadakan pemilihan wakil Malaysia ke Camel Trophy di Australia. Pemilihan wakil negara diadakan di kawasan berbukit di Sungai Buluh. Wartawan cetak dan elektronik dijemput untuk membuat liputan event yang berlaku selama dua hari satu malam.

Sakit di sebelah kanan pinggang muncul semula ketika saya bermalam di khemah yang disediakan di Sungai Buloh. Yang peliknya, satu hari suntuk tidak merasa sakit tetapi ia mula memulas pada waktu maghrib sehinggalah ke pagi. Rasanya seperti ada orang menikam dengan pisau di dalam badan saya dan perut memulas-mulas untuk membuang air besar atau muntah. Bagaimanapun, apabila pergi ke tandas tiada apa yang berlaku namun kesakitan itu berterusan sehinggalah saya berjumpa doktor keesokan harinya.

Doktor di klinik swasta yang saya lawati menyatakan daripada symptom yang dinyatakan, saya mungkin ada penyakit batu karang. Beliau juga tidak menghantar saya ke hospital. Beliau menasihatkan saya minum air putih banyak-banyak. Saya pun diberikan cuti sakit selama tiga hari dan ketika berehat itulah saya minum air banyak-banyak dan sakit itu pula mula hilang. Perlu minum air satu baldi.

Ketika itulah, baru saya mengetahui bahawa penyakit yang dialami ketika di Sekolah Tinggi Melaka itu ialah batu karang yang disebut “sampuk” oleh tok dukun Masjid Tanah itu. Oleh kerana kurang minum air maka dapatlah penyakit batu karang. Dari sekolah hinggalah ke tempat kerja.

Doktor menasihatkan saya minum air banyak selepas itu dan ketika menjalani latihan Camel Trophy di Birmingham, England, saya terpaksa membawa air mineral sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur ke London. Ketika di London, ada air mineral di dalam beg kecil saya bagi memastikan tiada perkara yang tidak diingini berlaku. Bayangkan kalau sakit terpaksa masuk hospital di negeri orang. Perbelanjaannya sudah pasti menakutkan. Ketika itu secara perbandingan matawang ialah satu pound bersamaan RM4. Kalau sekarang yang sudah melambung menjadi satu pound bersamaan RM7, cuba bayangkan kadar bayaran hospital yang perlu ditanggung. Sudah tentu meyakitkan.

Apabila dipilih untuk menyertai Camel Trophy di Darwin, Australia, saya juga membawa air masak dari Malaysia yang menyebabkan saya ditahan selama sejam oleh Jabatan Imigresen Australia. Mereka ingin tahu apakah kandungan air yang dibawa. Agak melucukan juga. Tetapi itulah yang perlu dihadapi oleh pelawat ke Australia. Kerajaan negara itu tidak membenarkan sesiapa membawa makanan atau tanaman tanpa kebenaran. Alhamdulillah, semasa di Australia bersama-sama peserta Camel Trophy dari seluruh dunia, masalah sakit itu tidak timbul sehinggalah beberapa tahun selepas itu.

Bersambung…..

No comments: