Saturday, April 7, 2007

RESTORAN BERSIH, PELANGGAN SIHAT

Pernahkah anda menegur seseorang yang "kotor" mengambil makanan sendiri di restoran? Kotor itu dalam pengertian tangannya penuh dengan tanah atau lumpur. Bajunya comot dan tidak bersih. Kasutnya diselaputi tanah. Orang sebegini biasanya baru selesai mencangkul,menggali lubang, memotong rumput, mengangkat sampah atau pekerja binaan.

Sudah tentu anda tidak akan menegur. Sudah pasti anda tidak mahu mencari pasal. Maka...anda biarkan saja. Makanan pun akan tercemar.

Pemilik restoran atau warong harus memastikan pekerja mereka saja yang menyediakan makanan, sama ada untuk makan di restoran atau dibawa balik. Dalam ertikata lain, ada pekerja khas untuk menceduk nasi, lauk dan membungkus makanan.

Restoran yang sering dikunjungi oleh "orang kotor" ini ialah yang berdekatan dengan kawasan pembinaan atau projek perumahan. Ini penting kerana jika pemilik restoran tidak mengendahkan perkara itu, maka "orang kotor" itu akan bermaharajalela. Akibatnya, makanan yang disediakan akan dicemari oleh kekotoran yang dibawanya.

Oleh itu, pihak berkuasa tempatan perlu kerap membuat tinjauan di restoran atau warong untuk memastikan pemilik menjaga kebersihan. "Orang kotor" tidak seharusnya dibenarkan mengambil makanan sendiri. Mereka juga tidak harus dibenarkan masuk ke dalam restoran. Tunggu saja di luar. Jika ada pemilik yang tidak menjaga kebersihan, maka tarik balik permit berniaga. Tidak guna terpampang Restoran Kelas A, jika biarkan "orang kotor" bermaharajalela. Jagalah kesihatan pelanggan.

No comments: