Sunday, April 15, 2007

KESABARAN TANGGA KEJAYAAN

Nak jadi kaya bukan senang. Perlu berusaha. Tidak ada jalan mudah. Tanyalah orang sudah berjaya seperti TS Azman Hashim, TS Lim, TS Syed Bukhary atau Ananda Krishnan. Pasti mereka kerja kuat sebelum berjaya. Yang kaya tiba-tiba tu, mungkin nasib, habuan terpijak atau menerima harta keluarga. Bilangan mereka kecil.

Seorang pengusaha restoran yang berjaya di Perak bermula daripada menjual nasi campur di sebuah kedai kopi China. Beliau masak di rumah dan membawa makanan itu ke restoran. Ini kerana restoran itu tiada kemudahan memasak. Ketika orang lain sedang dilamun mimpi, beliau bangun ke pasar menaiki basikal. Adakalanya basah kuyup kerana hujan. Balik ke rumah terus memasak dan kemudiannya ke restoran. Ini dilakukan setiap hari tanpa mengenal penat, tanpa cuti rehat.

Bermula dari situlah, pengusaha wanita ini bekerja keras sehingga mampu menyewa restoran di tempat lain. Namun, tempat lama dikekalkan kerana ramai pelanggan. Beliau berjimat dan menyimpan wang. Setelah cukup wang, beliau mula membeli kedai dan membuat restoran yang terbaik di negeri itu.

Seorang pengusaha pelancongan yang berjaya di rantau ini juga bermula daripada bawah. Beliau sendiri memandu van dan memberikan penerangan kepada pelancong. Apabila ramai pelanggan, beliau terpaksa bekerja siang dan malam. Kegigihannya membolehkannya membuka rangkaian perkhidmatan pelancongan berjaya di rantau ini.

Seorang kontraktor besar bermula dengan pejabat kecil di kedai dua tingkat. Beliau membuat projek kecil-kecilan. Kini, beliau sudah melaksanakan pelbagai projek termasuk membina bangunan di merata tempat dan universiti. Kesungguhannya menjadi terbaik adalah tangga kejayaannya mendapat peluang melaksanakan pelbagai projek.

Banyak lagi cerita kejayaan seperti ini yang bermula daripada bawah.

Hakikat ini membuktikan tiada jalan mudah untuk berjaya. Ini termasuk bidang perniagaan. Bermulalah dari kecil. Perlu berusaha bersungguh. Sabar jika menghadapi dugaan. Sudah tentu dalam perniagaan ada halangan dan cabaran. Antaranya kekurangan modal atau bayaran lambat setelah perkhidmatan diberikan. Namun, jika ada perancangan tertentu sudah tentu ia dapat diperbaiki dari semasa ke semasa.

No comments: