Tuesday, April 17, 2007

HIKAYAT JINNAH BROK (9)

Jibam sudah lama terlena. Penat agaknya bermain di bawah bukit tadi. Aku masih sukar melelapkan mata. Terkebil-kebil merenung bulan penuh. Membayangkan apa yang berada di bulan. Apakah ada beruk di bulan? Jika ada, adakah mereka lebih cerdik daripada beruk di Bumi?

Tergiang-giang kata-kata ibuku, Timah Tembam, ketika ia membelai rambutku tidak berapa lama dulu. Anakku...kita ni selepas mati akan hidup semula. Ada yang terus menjadi beruk atau haiwan lain. Ada juga yang menjadi manusia. Macam mana boleh jadi begitu? Yelah..kalau kita lihat ada beruk yang berperangai macam manusia. Suka membantu beruk lain. Baik hati. Peramah dan tidak menyombong. Ada pula manusia yang berperangai beruk. Selekeh dan tidak senonoh. Membuat kotor di merata tempat. Kencing di pokok. Buang air besar merata-rata. Meludah tidak bertempat.

Mengapa pula kejadian alam begitu mak? tanyaku. Itulah putaran hidup. Alam mahu kita menjadi pelbagai bentuk dan merasai kehidupan seperti itu. Jadi kalau beruk tu baik, boleh tak kita panggil dia manusia? Mengapa pula begitu...kalau beruk tu baik, kita panggil beruk yang baik. Begitu juga manusia. Kalau perangai dia macam syaitan maka kita panggil manusia berhati syaitan. Kejam. Dengki khianat. Adakalanya semua nak dibolotnya. Macam si Kengkang Besar tulah.

Ibuku mati kerana demam panas. Demam yang menyerangnya selama dua hari terus meragut nyawanya. Mayatnya diletakkan di kawasan berbatu besar berhampiran lebuhraya yang dibina oleh manusia. Tiga hari aku tidak makan merindui ibuku.

Ibu banyak membantu dalam membentuk aku menjadi beruk yang baik. Dia mahu aku hidup sederhana. Tidak mencuri dan merampas hak beruk lain. Ibu mahu aku sentiasa beradab. Tidak membuat sebarang tuduhan tanpa sebarang usul periksa. Jangan syak wasangka. Jangan jadi beruk digelar Mawas Jingga membuat tuduhan yang bukan-bukan. Tuduh orang mencuri dan merampas pisang beruk lain. Periksalah dulu sebelum membuat tuduhan melulu. Jangan mencerca dan menghina beruk lain.

Ibu juga berpesan, buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.

Ini mengingatkan kejadian minggu lalu yang menyaksikan Jari Manis terbunuh dilanggar lori tanah. Beliau cuba menyelamatkan anak Ekson yang ingin mengambil makanan di atas jalan. Tindakannya membawa maut. Badan Jari Manis terpelanting di atas batu dan terus mati di situ. Anak Ekson terselamat. Aku yang melihat kejadian itu, tergamam. Amat sedih.

Aku sangat geram dengan pemandu lori tanah yang tidak berperikemanusiaan. Hendak diketuk-ketuk kepalanya. Bagiku, perangainya tak ubah seperti beruk. Memandu laju tanpa memperdulikan keselamatan manusia atau beruk. Oleh kerana Jari Manis seekor beruk, maka tiada tindakan diambil terhadap pemandu lori tanah itu. Mayat Jari terbujur kaku. Daging dan darah bertaburan. Tidak dipedulikan. Keadaan yang berbeza akan berlaku jika manusia durjana itu melanggar manusia lain. Sudah pasti lehernya akan dijerut di tali gantung.

Selain itu, aku juga meluat dengan sikap manusia yang pengotor. Membuang sampah sesuka hati. Oleh kerana mahu dalam kereta bersih, sampah dilontar keluar. Luar kereta ada tong sampah besar. Pelbagai bahan dibuang. Kotak rokok, plastik minuman, puntung rokok, tisu kotor dan banyak lagilah yang tidak boleh disebut semuanya. Sudah buat perangai tidak senonoh tu, muka selamba saja. Macam tiada apa-apa yang berlaku. Manusia Pengotor. Manusia tidak beradab. Manusia Pencemar Alam.

Manusia begini perlu meletakkan pelekat BERUK DALAM KERETA INI di cermin kereta mereka. Barulah orang faham mengapa mereka bertindak sedemikian. Inilah perbuatan manusia yang macam beruk. Akibat tindakan mereka yang tidak senonoh itu menyebabkan Jari Manis terbunuh.

Kokokan nyaring ayam hutan membuat aku terjaga. Hari sudah pagi. Hari baru kini bermula.

No comments: