Monday, July 30, 2007

BATIK MERBOK DILANCARKAN HARI INI

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid, malam ini akan melancarkan projek perusahaan Batik Merbok di Kelab Cinta Sayang, Sungai Petani. Projek ini adalah ilham Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin dan mendapat kerjasama Universiti Teknologi Mara(UiTM) Merbok serta Pusat Khidmat Anggota Parlimen Merbok dengan bantuan Fakulti Senilukis dan Senireka UiTM, Shah Alam.

Kewujudan Batik Merbok ini akan menyemarakkan lagi industri batik tanah air dengan wujudnya perusahaan batik dengan corak dan motif berdasarkan elemen di daerah pantai barat Semenanjung itu. Ketika majlis pratonton Batik Merbok di Angkasapuri, Kuala Lumpur baru-baru ini, Datuk Seri Zainuddin berkata, projek ini dirancang sejak enam bulan lalu. Beliau mengemukakan idea kepada UiTM untuk mengkoordinasikan projek ini. Ia tidak membabitkan pengusaha besar tetapi penduduk di sekitar bagi melahirkan lebih ramai pereka Batik Merbok. Beliau yang juga Ahli Parlimen Merbok menjelaskan idea ini tercetus apabila kajian UiTM Merbok mendapati masalah kemiskinan di kawasan setempat adalah disebabkan kurangnya peluang pekerjaan yang ada di kawasan berkenaan.

"Perusahaan ini akan mewujudkan satu industri kampung iaitu Batik Merbok yang secara amnya akan mewujudkan pekerjaan sekaligus membantu meningkatkan tahap sosio-ekonomi masyarakat setempat khususnya ibu tunggal, orang kurang upaya dan penganggur." Projek ini dimulakan dengan konsep kajian mendalam mengenai elemen yang ada di Merbok dan bentuk rekaan yang mahu diterapkan ke dalam Batik Merbok.

Keistimewaan Batik Merbok berbanding dengan batik lain ialah corak dan motifnya berdasarkan elemen negeri di Jelapang Padi itu seperti burung Merbok, pokok bakau, padi, kerawang serta ukiran dan artifak dari Tamadun Kedah Tua di Lembah Bujang. UiTM akan memberikan latihan dari aspek teknikal dan seni reka serta jahitan kepada penduduk setempat yang berminat dengan industri batik dan sebuah pusat latihan akan diwujudkan tidak lama lagi.

Bagi memastikan kejayaan projek ini hingga ke peringkat global, sebuah pusat penyelidikan dan pembangunan batik akan diwujudkan iaitu Batik Merbok Design Centre UiTM yang akan memastikan setiap produk yang dikeluarkan memenuhi tahap piawaian yang telah ditetapkan bagi menjamin kualitinya. Sebagai permulaan, pihak pengurusan Menara Kuala Lumpur telah membuat tempahan dan menawarkan ruang pameran kepada Batik Merbok untuk mempamerkan koleksi di situ. Tahniah Datuk Zul kerana memberi sokongan awal.

Semoga berjaya sehingga menembusi pasaran antarabangsa dan memperkenalkan Malaysia sebagai negara pengeluar batik terkemuka.

2 comments:

PUTRAGABAN said...

Sdr Datuk Ibrahim.

Saya begitu terkesan dengan sikap prihatin Wakil Rakyat Merbuk, Datuk Seri Zainudin Maidin terhadap masalah kawsannya. Ini tidak banyak dilakukan oleh wakil rakyat kawasan lain. Kalau boleh aku teringin nak jadi warga negara Merbuk. Untuk turut sama menikmati pembangunan yang dibawanya.

ibrahim yahaya said...

Sdr Budin,

Mulalah cari tanah di Merbok. Kalau tak dapat beli tanah... beli rumah. Kalau kurang duit, boleh sewa rumah. Tukar alamat dan jadilah orang Merbok.