Sunday, July 22, 2007

SASTERAWAN NEGARA TERBILANG


(Inilah siling yang perlu kutatapi setiap hari selama sebulan setengah di UMMC. Gambar IY)

Sasterawan Negara (SN), Datuk A Samad Said seorang yang gemar berjalan bagi menyihatkan badan. Pak Samad dari Melaka ini juga mempunyai kegemaran untuk menaiki tangga bangunan yang rendah seperti tiga atau empat tingkat walaupun disediakan lif. Alasannya ialah inilah cara untuk bersenam tanpa perlu mengeluarkan wang untuk membeli pelbagai peralatan bersenam.

Jumaat lalu, saya diberitahu oleh seorang teman bahawa Pak Samad pernah berjalan kaki ke KLIA sebelum terbang ke destinasi lain. Perrrggghh. Ini satu tindakan yang "luarbiasa" apatah lagi ia membabitkan seorang sasterawan yang suka menjaga kesihatan. Kegemaran suka berjalan ini perlu diikuti oleh generasi sekarang bagi memastikan mereka boleh terus hidup melebihi umur 70 tahun seperti Pak Samad.

Datuk A Samad juga mempunyai formula terbaik apabila membicarakan cara pemakanannya. Beliau hanya makan masakan yang baru dimasak seperti tomyam, sup, mi atau mihun goreng dan menggelakkan menikmati makanan yang sudah lama dimasak. Oleh itu, isterinya, Rashidah Dahan (RD) yang gemar makanan Padang perlu memasaknya untuk sekali makan kerana Pak Samad makan ketika lauk itu masih panas. Jika hendak mengulangi makanan yang sama, RD perlu masak sekali lagi. Satu tabiat yang baik dan menyegarkan.

Bagi mereka yang mengenali rapat Pak Samad, beliau adalah seorang yang kuat disiplin dan sentiasa memenuhi temujanjinya. Apakan tidaknya, segala urusan beliau diuruskan sendiri dengan bantuan "diari" yang sarat dengan pelbagai maklumat. Pak Samad akan menulis segala-galanya dalam diari istimewanya yang akan dibawa ke merata tempat. Sunguh luar biasa dan sifat terpuji.

Ketika saya di UMMC tahun lalu, kedatangan pelawat berjaya mengurangkan penderitaan yang dialami. Namun, kehadiran Pak Samad sebanyak dua kali berjaya mempercepatkan proses penyembuhan penyakit saya dengan sikap berhemah dan penuh sopan. Kehadirannya amat menghiburkan. Malah, dalam setiap lawatannya, beliau menghadiahkan saya bukunya yang sesuai dibaca sepanjang masa.

Saya sempat menulis nota pendek mengenai kehadiran Pak Samad pada 23 Ogos 2006 yang ditujukan kepada DRH.

"Yang.., pertemuan dengan Pak Samad amat menyegarkan. Insan ini begitu istimewa. Penuh puitis dah humor.

Yang.., aku mahu jadi Pak Samad. Setidak-tidaknya keluhuran peribadinya. Dia kata hidupnya panjang kerana Tuhan mahu dia membantu orang. Dia akan melaksanakannya.

Yang.., berbual dengan Pak Samad tiada penghujungnya. Insan 71 ini amat perhatin mengenai alammya, kesihatan, logika, puitis sesuatu perkara itu.

Pak Samad humor orangnya. Berbicara pasal umur. Abdullah Hussein yang jatuh dan dibubuh besi kakinya berusia 86 tahun. Aku kata ia bonus, tapi Pak Samad mencelah ia ex-gratia. Katanya, kalau Star (akhbar) itu bonus dan ex-gratia lebih enam bulan. Kami tergelak terhibur.

Yang.., hari ini istimewa. Kita sama-sama temui insan mulia."

3 comments:

Suara Perindu said...

Sdr Tiger,

Pak Samad memang idola saya juga. Bukunya Memoir A. Samad ismail saya dah baca. Bagus sekali. wartawan patut membacanya. Kalau ada lagi kat kedai saya nak beli.

Suara Perindu said...

Sdr Tiger,

Opss lupa lak. Patutnya komen pasal A. Samad Said. Sayapun banyak miliki novel2nya seperti Hujan Pagi, Salina, Sungai Mengalir Lesu dsbnya. Keliru sebab dua-dua dipanggil Pak Samad.

ibrahim yahaya said...

Sdr Din,

Dua individu yang nama Pak Samad ni memang hebat. Saya berbangga mengenali mereka.