Isu pertukaran Menteri Johor belum selesai. Itu gambaran yang diberikan oleh Agenda Daily. News portal itu melaporkan Istana Johor menolak cadangan penggantian itu.
Bagi saya, biarlah Datuk Abdul Ghani Othman terus menjadi Menteri Besar Johor. Ini kerana sebagai seorang berpendidikan ekonomi, beliau layak untuk menguruskan projek terbesar kerajaan di Selatan iaitu Wilayah Pembangunan Iskandar selain membangunkan Johor. Sebagai seorang berlatarbelakangkan ekonomi (pensyarah Universiti Malaya), sudah pasti orang ramai akan yakin dengan apa yang diterangkan mengenai WPI.
Ketika inipun, gandingannya dengan Datuk Ikmal Hijjaz Hashim (orang Muo)memang mantap untuk memastikan projek mega itu berjalan lancar dan mendatangkan hasilnya. Datuk Ikmal juga bukan calang-calang orang kerana pernah menerajui Plus Bhd dan Pos Malaysia Bhd. Pengalaman itu boleh digunakan untuk merealisasikan objektif WPI.
Bayangkan, jika Johor mendapat Menteri Besar baru, maka beliau perlu pula cuba memahami, menghayati dan meneruskan WPI. Ada kemungkinan untuk memahami dan menghayati WPI akan mengambil masa berbanding Datuk Ghani yang berpengalaman dan bermula daripada bawah lagi bersama WPI. Apatah lagi MB baru itu perlu menghadapi pelbagai tentangan daripada sesetengah pihak yang masih tidak yakin dengan projek berkenaan. MB baru perlu pandai menangkis tuduhan dan tohmahan ini. Seperti kata Datuk Ikmal, projek itu sebenarnya banyak memberi faedah tetapi ada pihak yang menentangnya kerana tidak memahami objektif perlaksanaannya.
Mungkin ada pandangan bahawa Datuk Ghani sudah terlalu lama di Johor dan khidmatnya diperlukan di peringkat Pusat. Beliau mungkin calon terbaik untuk menggantikan Datuk Seri Effendi Norwawi (sudah mengumumkan persaraannya). Namun, jika difikirkan semula, projek WPI itulah sebenarnya tugasan yang paling penting yang perlu diselesaikan. Projek Kerajaan Pusat itulah yang akan menjadi KPI (key performance indicators) Datuk Abdul Ghani pada masa akan datang.
Tuesday, February 19, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment