Thursday, February 14, 2008

BERKHIDMAT VS MENCUBA NASIB

Datuk Seri Hadi Awang berminat untuk bertanding di Kepala Batas menentang Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Ini yang dilaporkan oleh media hari ini termasuk media baru.

Jika berlaku, jawapannya pasti sudah ada - DS Hadi tentu kalah.

Jawapan ini mengambilkira logik keputusan pada PRU 2004. Pada PRU 2004, ketika melawan Datuk Abdul Rahman Bakar yang tidak mempunyai sebarang jawatan sekalipun, DS Hadi kalah, inikan pula "bersilat" dengan seorang Perdana Menteri digelanggangnya. Mungkin strategi bertanding di dua tempat membawa padah kepada DS Hadi. Tak tahulah..

Pengundi Kepala Batas sudah pasti tidak mahu "anak tempatan" mereka hilang jawatan. Mereka juga pasti tidak mahu pemimpin yang disanjungi selama ini rebah.

Bagi mereka, pemimpin yang dihormati dan disayangi, mungkin tidak sempurna tetapi umum tahu beliau sudah menunjukkan kebolehannya. Bermula dari bawah, pernah diketepikan dan diberikan tempat semula. Kini memegang tampuk pemerintahan untuk meneruskan dan memperbaiki pemerintahan pemimpin dulu. Sebagai ketua, kesalahan orang lain juga terpaksa dipikulnya atau dijadikan bahan cacian atau sumpahan.

Berbanding DS Hadi, beliau hanya "terperok" di Rhu Rendang saja. Sepenggal menjadi MB dan rakyat Terengganu memberi laluan kepada BN. Mereka tidak tersalah pilih, kerana mendapat MB yang cerdik. Sekarang ini, perlu memilih pemimpin yang cerdik dan mempunyai pasukan yang berwawasan. Bukan tangkap muat saja. Bukan sekadar "bising-bising" ketika pilihanraya saja. Bukan hangat-hangat tahi ayam saja. MB sekarang, cerdik orangnya. Lihat saja keputusan SPM Datuk Seri Idris Jusoh, dan anda akan dapat menilai siapa orangnya. Pemimpin mesti bijaksana dan bijaksini. Bukan pandai berucap dan bercakap saja. Berucap mungkin lembik tetapi kerja jalan.

Oleh itu, DS Hadi ambillah iktibar daripada pertembungan MCA dan DAP di Seremban pada PRU sebelum ini. Hasilnya, Datuk Lee San Choon mengalahkan Dr Chen Man Hin. Pengundi Cina Seremban bijak memilih wakil yang dapat membela mereka. Bukan hanya pandai membangkang dan memperjuangkan nasib golongan tertentu saja.

Dari segi "di mana dan berapa tempat hendak bertanding", inilah kelebihan parti pembangkang berbanding beberapa parti komponen BN terutama UMNO, MCA dan MIC. Pembangkang membenarkan calon mereka bertanding di Parlimen dan DUN sedangkan UMNO, MCA dan MIC menetapkan hanya satu kerusi saja. Kalah atau menang. Satu kerusi saja.

Objektif BN ialah agar calon yang bertanding berusaha gigih menyakinkan pengundi, merekalah wakil rakyat yang layak di kawasan itu. Agar mereka memberi tumpuan untuk membangunkan kawasan dan membela nasib rakyat. Jika kalah, (kerana pelbagai faktor), waima seorang bekas Menteri sekalipun, seperti yang berlaku kepada Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayob, BN tetap akur dan berusaha lagi pada PRU akan datang. BN mencari faktor-faktor yang menyebabkan kekalahan calon mereka. Berusaha lebih gigih.

Bagi pembangkang, hasrat mereka bertanding di dua tempat jelas menampakkan strategi mencuba nasib. Kalau satu menang, oklah tetapi kalau menang di kedua-dua tempat, satu bonus. Bonus kepada parti dan individu, bukan kepada pengundi. Percaya dan yakinlah. Inilah yang dilakukan oleh LKS sejak sekian lama. Dari Melaka ke PP dan ke Ipoh Timur dan kini mahu ke PP sekali lagi. Kini, ingin mengetengahkan anaknya di PP sebab di Melaka, ahli DAP pun tidak menerimanya.

Persoalannya, adakah pengundi mahu memilih wakil rakyat yang gemar "mencuba nasib", cakap "berdegar-degar" atau wakil rakyat benar-benar berkhidmat. Tepuk dada....

No comments: