Saturday, February 23, 2008

RAMAI GEDEBE, NEGERI AKAN LEMBIK

Membaca mengenai Perlis di akhbar The Star membolehkan kita memahami bahawa tidak perlu diwujudkan ramai "gedebe" atau jeneral di sesebuah negeri seperti yang berlaku di Indera Kayangan ketika ini dan Kelantan, sebelum ini.

Ini kerana setiap gedebe akan berusaha menunjukkan mereka lebih kuat daripada yang lain. Ia sudah pasti tidak boleh mewujudkan perpaduan di negeri berkenaan yang akan menggalakkan berlakunya perpecahan, seterusnya kekalahan. Bersatu kita teguh, berpecah kita roboh. Perpecahan akan menguntungkan pihak lawan. Yakinlah.

UMNO telah mengambil langkah terbaik untuk menampilkan seorang bakal jeneral untuk Kelantan iaitu Datuk Dr Awang Adek Hussain yang bijaksana dan bijaksini. Belum menangpun Dr Awang sudah berkira-kira untuk meminta RM1 bilion daripada Pak Lah untuk Kelantan. Sebagai pemimpin yang sama parti, Pak Lah sudah pasti akan menyetujui permintaan "jeneral baru" itu apatah lagi memikirkan keupayaan Dr Awang dan kepentingan rakyat Kelantan. Takkanlah bekas Naib Gabenor Bank Negara dan bekas Timbalan Menteri Kewangan tidak mampu memakmurkan Kelantan.

Dalam pada itu, Pak Lah perlu mengurangkan jeneralnya di Perlis. Saya rasa jika Pak Lah selesa dengan Datuk Radzi Sheikh Ahmad, maka lantiklah beliau saja satu-satu jeneral di Indera Kayangan agar semua tentera mengikutnya. Jadikanlah DS Shahidan sebagai Kolonel yang akan mengikut arahan jeneral. Begitu juga Datuk Seri Azmi Khalid. Macam mana, negeri kecil ada banyak jeneral? Sudah pasti haru-biru.

Bagi mereka yang koyak poster dan bendera itu, bertenanglah. Eloklah juga berhenti jadi ahli parti dan jual suratkhabar lama kerana bagaimana seorang pengikut boleh menjadi berang dan mengikut perasaan, hanya kerana pemimpin yang diminati digugurkan. Walaupun pemimpin mungkin banyak memberi kepada kita, janganlah fikir hendak untung saja. Fikirkanlah sepanjang masa terhadap kepentingan parti dan bukan individu. Pemimpin boleh pergi tetapi parti mestilah dipertahankan sehingga ke akhir hayat. Jangan pula suka melompat seperti yang dilakukan oleh sesetengah individu.

No comments: