Sunday, February 10, 2008

SIAPA PATUT JADI WAKIL RAKYAT?

Setelah 50 tahun merdeka, Malaysia perlu mempunyai Ahli Parlimen yang terbaik untuk berhujjah dan mengetengahkan semua isu kepentingan rakyat di Dewan Rakyat. Tidak kira kerajaan atau pembangkang, Ahli Parlimen itu perlu membuat kajian dan penyelidikan untuk memastikan hujjah yang dikemukakan bernas dan menyakinkan.

Hujjah yang diutarakan benar-benar dapat membantu rakyat terutama di bawah yang sentiasa mengharapkan wakil rakyat mereka membela dan memperjuangkan kehidupan mereka. Orang bawah mahu wakil rakyat membawa perubahan. Wakil rakyat yang cergas, mengambil tahu serta memberi perhatian masalah rakyat dan mengemukakannya kepada pihak berwajib di dewan yang mulia itu. Hujjah dan cadangan mereka perlu diterima oleh pihak berwajib untuk melaksanakannya demi kepentingan jangka panjang rakyat.

Bukan hentam keromo saja. Bukan bercakap sia-sia saja. Bukan mencari publisiti murahan. Bukan menentang kerana ingin menentang. Bukan buat lawak bodoh atau menyinggung perasaan orang lain. Bukan mereka yang menghina kaum atau agama lain. Bukan kosong tetapi berisi. Bukan mengutarakan perkara yang tidak benar atau berdasarkan khabar angin seperti yang pernah dilakukan oleh pemimpin pembangkang mengenai deejay radio Tamil yang dikatakan dibuang. Sebenarnya tidak, malah deejay itu mempunyai masalah tersendiri menyebabkan ketuanya (juga kaum India) melakukan tindakan berkenaan. Tiada campurtangan dan bukan tindakan perkauman.

Oleh itu, pilihlah wakil rakyat yang bijak serba-serbi, sihat, berilmu pengetahuan, banyak membaca, memperjuangkan kepentingan rakyat, jujur, tiada skandal, amanah, tinggal di kawasan atau selalu balik menjengok pengundi, berwawasan, mementingkan pengundi daripada dirinya sendiri, sedia berkorban dan yang penting berjiwa rakyat.

Mereka perlu menolak pemimpin yang bodoh, rasuah, menganggu keluarga orang lain, merompak hak rakyat, mengambil tanah milik individu, agensi atau institut pengajian tinggi, menyapu bersih semua projek kerajaan, merampas aset atau syarikat kerajaan kerana berkuasa dan memberikan kepada kroni mereka tanpa memperdulikan pelaburan tinggi yang dilakukan oleh kerajaan (hasil cukai rakyat), membuang pekerja yang amanah dan jujur, menonjolkan keluarga sendiri dalam kenaikan pangkat atau memberi projek tertentu dan gemar mengangkat keluarga sendiri dalam politik.

No comments: