Teman, Maza, meminta saya menulis mengenai kisah pemandu bas. Amat sedih dan memilukan. Mereka mendapat gaji pokok yang kecil hanya RM250 sebulan. Macam mana hendak makan setiap bulan dengan jumlah yang kecil itu. Macam mana hendak menyara hidup keluarga, terutama yang ramai? Apakah majikan terpaksa membayar gaji sebanyak itu kerana tidak mendapat untung yang banyak? Adakah majikan terpaksa menanggung kerugian dengan kadar harga tiket sekarang? Adakah majikan memperalatkan pemandu untuk meraih keuntungan berlipat ganda? Ini memerlukan jawapan segera.
Oleh itu, tidak hairanlah pemandu bas bertungkus-lumus untuk mencari "duit lebih" dengan memandu "lebih" setiap hari. Ini sudah pasti mengundang bahaya kepada keselamatan penumpang. Maza menceritakan anaknya baru-baru ini terkejut apabila tersedar daripada tidurnya kerana mendapati bas yang sepatutnya berhenti rehat di R & R di lebuhraya, dibawa sesuatu tempat yang jauh daripada lebuhraya. Ini untuk membolehkan pemandu dan pembantunya mendapat makanan percuma daripada warung berkenaan. Ada pemandu yang diberikan duit rokok atau bayaran lain. Kejadian seumpama itu pasti berlaku kerana pemandu bergaji kecil.
Ikuti berita muka depan Utusan Malaysia hari ini.
BANGI 30 Sept. – Ketika orang ramai menuntut perkhidmatan bas ekspres yang lebih baik, selamat dan profesional, kebajikan pemandunya pula seolah-olah terabai apabila kebanyakan mereka hanya menerima gaji pokok sekitar RM250 sebulan.
Gaji pokok tersebut lebih rendah daripada gaji bulanan pembantu rumah warga Indonesia, malah jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan gaji harian buruh binaan warga asing iaitu RM30 sehari.
Kadar gaji pokok yang diterima oleh pemandu bas terbabit adalah di bawah paras kemiskinan.
Lebih teruk lagi ada pemandu yang langsung tidak diberikan gaji pokok sebaliknya mereka dibayar mengikut perjalanan atau trip iaitu sekitar RM70 bagi satu trip.
Sistem bayaran itu memaksa para pemandu bas ekspres berhempas-pulas mengejar trip tanpa ada rehat hingga menggadai nyawa penumpang.
Jika mereka mahu pendapatan lebih, mereka perlu sanggup memandu lebih banyak trip.
Presiden Persatuan Pemandu Bas Melayu Semenanjung Malaysia (PPBMS), Mohd. Yasin Yacob memberitahu Utusan Malaysia dalam satu temu bual di sini bahawa terdapat syarikat bas ekspres yang tidak membayar gaji pokok kepada pemandu mereka sebaliknya mengamalkan sistem pembayaran gaji berdasarkan trip.
Yang bergaji pokok pula, katanya, kebanyakannya amat rendah iaitu antara RM200 hingga RM250 sebulan.
“Untuk mendapatkan pendapatan lebih, pemandu akan memandu seorang diri hingga ada yang menggunakan pelbagai pil perangsang untuk tahan mengantuk,” katanya.
Mohd. Yasin turut berkata, satu analisis yang dijalankan pada tahun 2004 mendapati ada pemandu bas yang memandu secara berterusan hingga 36 jam terutama pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baru Cina.
Beliau berkata, gaji yang rendah mendorong pemandu untuk bekerja di luar kemampuan sebenar sehingga memaksa segelintir mereka terlibat dalam pengambilan pil-pil perangsang termasuk pil kuda dan syabu.
Malah katanya, faktor gaji dan faedah yang tidak kompetitif seperti kerjaya lain menyebabkan ramai golongan muda tidak berminat menjadi pemandu bas.
Sehubungan itu beliau meminta pihak yang terbabit memberi sedikit perhatian terhadap nasib pemandu bas dan tidak hanya mencari kesalahan mereka.
Pada masa ini katanya, apabila berlaku sesuatu yang membabitkan bas ekspres pemandu yang sering dipersalahkan sedang nasib pemandu tidak ada siapa yang peduli.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan gaji pokok sebanyak RM600 sebulan di samping faedah tambahan termasuk elaun trip, kerana ia lebih munasabah mengambil kira kenaikan kos sara hidup sekarang.
Beliau turut mencadangkan supaya pemandu diberikan latihan, pakaian seragam, suasana serta persekitaran kerja yang kondusif untuk meningkatkan imej kerjaya tersebut.
“Gaji yang menarik berserta pelbagai faedah lain, sudah pasti lebih menarik golongan muda untuk menjadikan kerjaya ini profesion mereka.
“Ketika ini majoriti pemandu bas adalah merupakan yang berusia 40 tahun ke atas. Sedangkan, pekerjaan ini tanggungjawabnya berat,’’ katanya.
Sementara itu, pakar pengangkutan awam dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Abd. Rahim Md. Nor memberitahu, berdasarkan satu kajian, kebanyakan syarikat membayar gaji pokok RM250 kepada pemandu bas.
“Kalau nak tambah pendapatan, mereka mesti kerja lebih dari lapan jam dan membuat banyak trip, walaupun mengantuk,” katanya.
Beliau berkata, gaji pokok yang rendah menyebabkan pemandu bas ekspres membuat banyak trip, bekerja lebih masa dan terlibat dalam penggunaan pil kuda, semata-mata untuk mendapat pendapatan yang lebih.
Kesannya kata beliau, ialah menjejaskan keselamatan dan nyawa penumpang terutama di musim perayaan ini.
(Renungan Rimau : Pemandu perlu menyedari bahawa mereka mempunyai had tertentu dan tidak mengadaikan nyawa demi untuk menambah pendapatan. Ingatan ini seperti peribahasa Melayu, "Panjang langkah koyak pesak seluar, tinggi loncat tembuk ubun-ubun."}
Monday, October 1, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Tertarik juga nak buat komen .UMNO akan masuk ke Sarawak dalam 3 tahun akan datang setelah process reformasi dalam parti UMNO di laksanakan.POLITIK ada bayak MENU tersendiri untuk survival dalam arena politik.TO BECOME SURVIVAL ,ONE HAS TO BECOM LOGIC AND COMMONSENSE. TERIMA KASIH
Post a Comment