Tuesday, October 9, 2007

SHEIKH MUSZAPHAR KE ANGKASA LEPAS


(Gambar oleh Agenda Daily)

Angkasawan negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor, 34, dipilih ke angkasa lepas oleh Agensi Angkasalepas Russia, demikian menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis yang disiarkan oleh Warta Jam 1, RTM1 sebentar tadi.

Seorang lagi angkasawan negara ialah Kapten Dr. Faiz Khaleed. Kedua-dua mereka lulus ujian untuk menjadi angkasawan seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 24 September lalu.

DUA BERITA MENGENAI ANGKASAWAN NEGARA PADA 24 SEPTEMBER LALU..

BERITA PERTAMA: Angkasawan negara akan dijadualkan berlepas dari Baikanour, Kazakhstan ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) pada 10 Oktober ini. Kapal angkasa yang akan membawa angkasawan pertama negara ke ISS adalah Soyuz TMA-11 yang dipandu Yury Malenchenko dari Rusia dan jurutera penerbangan Amerika Syarikat, Peggy Whitson. Angkasawan negara bakal berada di sana selama sembilan hari sebelum pulang ke bumi bersama angkasawan lain, yang kini telah pun berada di ISS. Di ISS, angkasawan negara akan menjalani tiga eksperimen berkaitan sel barah, bakteria dan pengkristalan protein. Penghantaran angkasawan negara adalah program timbal-balas pembelian 18 pesawat pejuang Sukhoi SU-30MKM.

BERITA KEDUA : Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis menjelaskan daripada dua angkasawan yang lulus ujian setakat ini, seorang akan dipilih di peringkat akhir untuk ke angkasa lepas. Dalam temuramah yang disiarkan secara langsung oleh Warta Jam Satu (RTM), Dr Jamaluddin berkata, kedua-dua akan menjalani latihan lagi selama 15 hari sebelum pihak Agensi Angkasalepas Russia memilih seorang daripada dua angkasawan Malaysia ke angkasa lepas. Oleh itu, pemilihan terakhir bergantung kepada apa yang berlaku dalam tempoh 15 hari ini. Dalam ertikata lain, walaupun Dr Sheikh Muszaphar berada dalam kumpulan satu, Dr Faiz juga layak untuk dipertimbangkan untuk menjadi angkasawan pertama negara berlepas ke angkasa.

No comments: