Tuesday, October 9, 2007

SAYANGKAN ANAK, JANGAN TINGGAL-TINGGALKAN.

Seorang teman memberitahu saya, beliau tidak akan menghantar anaknya ke sekolah berasrama penuh walaupun anaknya berkelayakan untuk ke sekolah berkenaan. Alasannya ialah beliau tidak mahu anaknya "menjadi rosak" apabila berada di sekolah asrama itu. Menjadi rosak? Ya, beliau tidak mahu anaknya "rosak" kerana terikut-ikut dengan perangai dan tabiat beberapa kerat anak-anak orang berada. Apa ni? Mengapa beliau berfikiran sedemikian? Tidak tahulah apa yang ingin saya jawab. Beliau mempunyai pendirian dan pemikirannya sendiri. Itulah satu-satunya anak perempuan beliau yang amat dikasihinya. Dua lagi anak lelaki. Mungkin beliau tidak mahu anak perempuannya "rosak".

Memikirkan perkara ini, teringat saya mengenai laporan khas Buletin Utama TV3 beberapa bulan lalu membabitkan pelajar institusi pengajian tinggi yang menjadi GRO untuk mendapat wang lebih. Dengan menjadi GRO, mereka boleh mendapat pendapatan antaranya RM2,500 hingga RM4,000 sebulan. Ini membolehkan mereka membeli pelbagai barangan berjenama untuk "ditayangkan" kepada rakan-rakan lain.

Ada yang mengaku menjadi GRO kerana tidak tahan dengan gelagat beberapa rakan mereka terdiri daripada anak "orang berada" yang sentiasa menggunakan "barangan berjenama" dalam kehidupan harian mereka. Ini termasuk pakaian dan telefon bimbit. Oleh kerana mereka datang daripada keluarga miskin, ada pelajar mencari jalan keluar dengan menjadi GRO bagi mendapatkan wang berkenaan. Fenomena ini sudah tentu amat membimbangkan apatah lagi membabitkan pelajar Melayu dan Islam yang boleh terdorong ke kancah maksiat dan pelacuran. Selamatkanlah bangsa Melayu.

No comments: