Monday, October 22, 2007

KEMISKINAN BUKAN TAKDIR

Minggu lalu, ketika bersembang dengan rakan, Meng, persoalan mengenai masa depan anak-anak menjadi tajuk perbualan. Bagi Meng, beliau bimbang memikirkan masa depan anak-anaknya. Menurut beliau, pendidikan amat penting dan sudah diberikan sebaik mungkin kepada anak-anak. Namun, apakah dengan menjadi graduan, mereka akan mendapat pekerjaan. Pekerjaan yang baik untuk menyara kehidupan mereka. Tambahan pula apabila orang memperkatakan mengenai networking dan kronisme yang semakin menjadi-jadi dalam pemberian pekerjaan. Apakah dengan membabitkan diri dalam bidang perniagaan boleh menyelesaikan masalah? Bagaimana pula networking dalam perniagaan, mungkin lebih teruk lagi. Ahh, pening juga kepala memikirkannya.

Meng juga bertanyakan mengenai kebimbangan saya berhubung nasib rakyat dan negara sekarang. Saya menjawab bahawa masih ramai orang Melayu masih miskin. Tengoklah rancangan Bersamamu TV3 yang memaparkan kemiskinan mereka. Makan sekali sehari dan rumah macam kandang kambing. Atap bocor dan dinding hampir reput. Bacalah blog Kickdefella mengenai kemiskinan orang Melayu di Kelantan. Tahniah kepada Sheikh yang menggunakan blognya untuk membantu rakyat miskin. Ada juga kebaikan blog tidak seperti yang difikirkan oleh sesetengah pihak. Bacalah Malaysiakini mengenai penderitaan rakyat miskin di negara ini yang dipaparkan oleh news portal itu termasuk yang tiada rumah. Yang ditipu oleh pemaju bersifat lintah darat.

Meng berkata, bukan orang Melayu saja yang miskin, ramai juga orang Cina yang miskin dan menumpang tanah orang. Betul ke? Ya, katanya, malah ada antara mereka yang terjerumus dalam perjudian kerana "berangan-angan untuk menjadi kaya". Turun naik Genting Highlands. Mereka meminjam wang dengan Along dan akhirnya menjadi mangsa. Ramai yang membunuh diri kerana kemiskinan hidup. Dirinya juga hampir terjerumus kerana masalah pemaju rumah yang tidak berhati perut. "Tapi nasib baik aku ada iman sikit. Kalau tidak aku pun jadi macam mereka juga." kata Meng, sambil menyatakan kemarahan amat sangat kepada pemaju perumahan yang membuat dirinya menderita beberapa tahun lalu. Sudahlah tiada kerja, ditindas pula tu.

Meng berkata, jika "orang" seperti kita ini "cukup makan" dan "nafas ikan" apatah lagi orang miskin yang tidak mengenali sesiapa atau mempunyai networking. Banyak kerja di negara ini dan mereka boleh memilih, kata saya. "Kerja banyak, tetapi gaji sikit. Itu sebabnya pekerjaan itu kini dibolot oleh pekerja asing." Namun, bagi saya yang penting ialah usaha dan kerja kuat. Pendapatan akan datang jika kita berusaha. Yakinlah. Oleh itu, rakyat negara ini bangun segera dan carilah pekerjaan untuk menyara kehidupan keluarga anda. Jika hendak berniaga pun, bermulalah secara kecil-kecilan. Lama-lama akan menjadi bukit juga. Yakinlah. Hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.

No comments: