Tuesday, October 2, 2007

KURANG TEPAT BAWA MUDARAT

Polis meminta media tempatan tidak mensensasikan berita penangkapan suspek berhubung kes Nurin Jazlin termasuk menyiarkan maklumat tidak rasmi atau tidak tepat sehingga boleh menggangu penyiasatan mereka. Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Christopher Wan Soo Kee membuat rayuan itu dalam sidang akhbar hari ini yang disiarkan oleh Warta Jam Satu RTM1. Ingatan ini penting bagi membolehkan polis menyegerakan penyiasatan bagi menangkap penjenayah kejam itu.

Berita jenayah dan sosial adalah antara berita yang boleh "menjual" akhbar. Selain itu, berita hiburan terutamanya penceraian artis seperti kes membabitkan penyanyi Nash baru-baru ini juga menarik perhatian pembaca. Akhbar yang banyak menyiarkan berita jenayah, sosial, artis dan hiburan kini mendapat tempat di kalangan masyarakat. Tidak hairanlah akhbar sebegini menjadi peneraju utama ketika ini.

Jika ada berita jenayah berprofil tinggi, wartawan akan berusaha mendapatkan berita susulan untuk pembaca mereka yang mengikuti cerita besar itu. Tidak menjadi kesalahan membuat susulan berita, malah digalakkan oleh pengarang. Namun, pastikan bahan yang dimuatkan dalam berita itu mengandung fakta rasmi bagi memastikan pembaca atau penonton tidak dihidangkan dengan maklumat tidak tepat.

No comments: