Rumah,tidak kira apa bentuknya adalah satu keperluan. Bagi yang papa kedana, rumah mereka mungkin berbentuk hanya dinding kertas kabod dan berbumbungkan plastik. Bagi yang kaya, rumah mereka mungkin boleh memuatkan 30 anak yatim yang boleh hidup selesa. Yang penting, rumah diperlukan oleh manusia untuk berlindung daripada panas dan hujan. Tiada rumah, manusia akan tinggal di bawah pokok atau khemah kayu. Di bandar, mereka akan tidur di kawasan pejalan kaki rumah kedai atau di stesen bas.
Untuk mendapatkan sebuah rumah bukan satu yang mudah terutama di bandar. Perlu ada wang, pekerjaan, networking, simpati politik, bersih daripada C-TOS atau nasib yang sentiasa terang. Tidak hairanlah manusia berusaha mencari wang, pekerjaan, sering bergaul dengan peimimpin tertentu, menganggotai parti politik, membayar balik hutang-hutang kecil dan sentiasa berdoa agar tuhan menambahkan rezeki mereka. Tidak hairanlah manusia akan berusaha mendapatkan rumah walaupun dengan apa cara sekalipun. Tiada rumah, tiadalah tempat berlindung.
Ada yang terpaksa menumpang untuk "berteduh". Tetapi tidak boleh dijadikan amalan atau habit kerana menumpang di rumah orang ada hadnya. Janganlah sampai perlu disuruh keluar. Faham-faham sajalah kalau dah terlalu lama tu. Jangan pula lupa untuk membayar sedikit ganjaran kepada orang yang memberi tumpang. Jangan buat selamba saja dan tidak faham dengan "isyarat" yang diberikan oleh orang yang memberi tumpang. Tumpang, tumpang juga, memberi tetap perlu juga.
Jika dibandingkan antara pembeli dan pemaju rumah, ia boleh diibaratkan antara langit dengan bumi. Jauh bezanya. Setidak-tidaknya nasib yang mereka perlu lalui daripada A hingga ke Z. Dalam ertikata lain, pembeli akan sentiasa "rugi atau menderita" dalam bentuk kewangan sejak mereka berniat untuk membeli rumah. Ini seolah-olah seperti perkara biasa di negara ini dan tidak hairanlah pelbagai rintihan, rayuan, rasa geram, memberontak dan berdemonstasi sentiasa dipaparkan di kaca televisyen dan di dada akhbar. Pembelilah yang selalunya akan menanggung kerugian, kesulitan dan pelbagai jenis masalah dalam tempoh yang lama hampir 20 tahun seperti dipaparkan oleh Malaysiakini baru-baru ini. Dalam Buletin Utama TV3 dipaparkan ada pembeli yang tidak tahan "menanggung" derita, terus masuk ke rumah baru yang sudah terlalu lama ditunggu.
Pemaju pula, nasib mereka sentiasa terjamin melainkan mereka yang lemah dalam pengurusan atau salah langkah dengan menghabiskan duit pembeli. Yang menghairankan mereka seolah-olah "terlepas" daripada segala peraturan dan undang-undang, sedangkan yang tersiksa ialah pembeli. Adakah mereka mempunyai talian hayat dengan pihak tertentu sehinggakan mereka tidak diambil tindakan. Ada kekebalan. Mereka juga menikmati wang pendahuluan awal pembeli sedangkan pembeli terpaksalah bermandi air mata sepanjang masa. Alasan pemaju mudah. Antaranya tidak cukup modal atau masalah membabitkan tanah.
Sehubungan itu, selepas 50 tahun merdeka ini satu usaha bersepadu perlu dilaksanakan untuk memastikan nasib pembeli sentiasa dibela. Tidak cukup dengan Biro Guaman Perumahan atau perjuangan NGO tertentu. Yang penting ialah menghukum mereka yang bersalah dan tidak membiarkan pembeli sentiasa menjadi mangsa. Mereka ini kebanyakan rakyat berpendapatan rendah yang mempunyai sumber kewangan seperti kain pendek. Ditarik ke atas, maka nampaklah bahagian lutut ke bawah. Jika ditarik ke bawah, maka nampaklah bahagian di bawah perut yang pasti sungguh mengaibkan. Kesihanilah mereka dan berikanlah perhatian sewajarnya bagi memastikan pembeli tidak terus tertindas.
Usaha kerajaan untuk membina lebih banyak rumah kos rendah seperti yang dibentangkan dalam Bajet 2008 amat dialu-alukan. Perlaksanaan program yang diharapkan menguntungkan pembeli nanti perlu dipantau. Dalam Bajet 2008 ini yang dibentangkan oleh Paklah ialah rangsangan untuk mempergiatkan lagi pembinaan rumah kos rendah dan sederhana untuk melihat setiap keluarga di Malaysia mampu memiliki rumah sendiri. Sejumlah RM381 juta disediakan bagi melaksanakan perumahan rakyat kos rendah dan daripada jumlah itu, RM191 juta diperuntukkan bagi Program Perumahan Rakyat (PPR) Disewa, manakala bakinya akan diperuntukkan bagi PPR Bersepadu.
Syarikat Perumahan Negara akan juga mempergiatkan pembinaan rumah bagi golongan berpendapatan rendah, termasuk program pemulihan 6,000 unit rumah daripada projek terbengkalai dan pembinaan 36,000 unit di bawah Program Perumahan Mampu Milik dan 4,000 unit di bawah Program Rumah Mesra Rakyat.
"Kerajaan amat prihatin atas kesukaran golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap, seperti petani dan pengusaha kecil, mendapatkan pinjaman bank untuk membiayai pembelian rumah kos rendah dan sederhana. Dengan itu, kerajaan akan menyediakan dana sebagai jaminan kepada bank untuk memberi pinjaman perumahan kepada golongan ini. Sebagai permulaan, RM50 juta telah disediakan sebagai jaminan kepada Bank Simpanan Nasional dan Bank Islam Bhd, berkuatkuasa 1 Jan 2008," kata Paklah.
Untuk meringankan beban membayar balik bayaran bulanan pinjaman perumahan, kerajaan akan membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengeluarkan baki dalam Akaun 2 setiap bulan untuk tujuan membantu pembayaran ansuran pinjaman perumahan. Setiap pencarum dibenarkan menggunakan kemudahan itu untuk membiayai pinjaman sebuah rumah, berkuatkuasa 1 Jan 2008.
Friday, October 5, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment