Friday, October 26, 2007

PASANG MASUK MUARA

Perhimpunan Agung UMNO semakin hampir. Ia akan bermula 5 November ini iaitu minggu depan. Setiap tahun, saya akan ke PWTC untuk melihat, mendengar, memerhati dan menganalisis ahli parti yang menjadi tunggak kepada Barisan Nasional (BN).

Mereka bertandang ke PWTC sebagai perwakilan, pemerhati atau ingin merasakan suasana berpolitik di negara ini. Tidak hairanlah hotel-hotel di Kuala Lumpur terutama kawasan sekitar PWTC habis ditempah ketika perhimpunan. Bilangan yang datang juga meningkat jika ada pemilihan pucuk pimpinan. Banyak faktor yang menggalakan pertambahan bilangan berkenaan. Antaranya duit terpijak atau pemberian ikhlas untuk belanja anak-anak. Bukan politik wang tetapi keikhlasan pemimpin untuk belanja golongan yang selama ini membantu mereka.

Bagi perwakilan pelbagai persediaan perlu dibuat termasuklah bahan-bahan yang ingin disuarakan. Tanpa persediaan, sudah pasti akan menjadi "gagap" atau "hilang arah" ketika naik ke pentas. Tidak hairanlah kedengaran suara orang bawah yang meminta mereka yang "tidak bersedia" berhenti atau tamatkan ucapan. Apatah lagi yang membosankan. Yang pandai menyajikan bahan yang mampu menggeletek hati perwakilan akan diberikan masa panjang sedikit. Setiap tahun, individu yang sama mampu membawa pendekatan menghiburkan itu. Antaranya Datuk Badruddin Amiruldin, yang kini menjadi sasaran media baru kerana kenyataannya terhadap Karpal Singh di Parlimen, yang ada kaitan dengan kerusi roda dan hukuman tuhan. Pijar atau terasa pedas atau panas juga Karpal dengan kenyataan itu.

Berbalik kepada Perhimpunan Agung UMNO, Malaysiakini melaporkan Perwakilan Umno bebas membahaskan semua isu dalam perhimpunan agung parti. Ini kata Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad. "Kita tidak menyekat mana-mana perwakilan untuk membincangkan isu dan kita juga tidak mengeluarkan arahan hanya isu tertentu yang dibincangkan. Umno sangat terbuka dalam perkara ini...," katanya semalam.

Bagaimanapun, Radzi mengingatkan perwakilan supaya mengelak membahaskan kes membabitkan mahkamah, isu peribadi dan yang menyentuh Yang di-Pertuan Agong.
Radzi yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, parti juga mengambil keputusan untuk tidak mengadakan siaran langsung sepanjang perhimpunan kali ini.
Perkara itu, katanya, diputuskan dalam mesyuarat pengurusan parti baru-baru ini. Perhimpunan tahun lalu telah disiarkan oleh saluran Astro.

(Renungan Rimau : Jika hendak menyerang peribadi fikir-fikirkanlah kesannya nanti. Buat pertimbangan baik-baik. Jangan jadi PASANG MASUK MUARA yang membawa maksud terlalu mudah mencela; mengeluarkan kata-kata tanpa pertimbangan).

No comments: