Monday, October 1, 2007

MELAKA BERGERAK PANTAS


(Ketua Menteri Melaka, DS Mohd. Ali Rustam, mengadakan sidang akhbar selepas majlis pengagihan zakat dan bantuan Hari Raya peringkat Parlimen Cheras, di Bangunan UMNO Cheras, petang Sabtu. Turut kelihatan Datuk Wira Abu Seman Yusop (Ahli Parlimen Masjid Tanah) dan Datuk Syed Ali.)

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam nampak jelas kurang senang dengan respons lembab terhadap kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkaitan penggunaan Rukun Tetangga untuk membendung jenayah.

Katanya, Rukun Tetangga yang pernah diwajibkan pada tahun 1980-an dulu adalah konsep yang baik dan semua pihak sepatutnya bertindak terus menghidupkannya tanpa perlu menunggu sebarang langkah rasmi daripada kerajaan ekoran pandangan Perdana Menteri yang positif mengenainya.

DS Abdullah memberi pandangan berkenaan ketika mengulas mengenai kes pembunuhan kejam Nurin Jazlin Jazimin.

Bercakap kepada wartawan selepas merasmikan Majlis Pengagihan Zakat dan Bantuan Hari Raya kepada penduduk kawasan Parlimen Cheras di dewan pejabat UMNO Bahagian Cheras Sabtu, DS Ali berkata, Melaka akan melancarkan program RukunTetangga selepas Aidilfitri jika Rukun Tetangga peringkat nasional lambat dilancarkan.

Katanya apa yang baik tidak harus dilengahkan.

“Kalau orang lain lambat …biar kita jalan dulu,” katanya.

DS Ali berkata, Perdana Menteri sendiri baru-baru ini mahu RT diperluaskan ke seluruh negara bagi membendung kadar jenayah.

"Mekanisme ini perlu aktif seperti pada tahun 70 dan 80-an dahulu kerana selepas itu Rukun Tetangga mula dilupakan setelah negara nampak aman dan selamat," katanya.

Menurut Ketua Menteri itu, RT boleh merapatkan hubungan silaturrahim antara penduduk dan amalan bantu-membantu itu boleh mengatasi masalah seperti kehilangan anak dan kecurian.

DS Ali yakin sektor korporat atau syarikat swasta tidak akan keberatan memberi sokongan wang terhadap program di bawah RT. Hadir sama pada sidang akhbar itu ialah Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee.

Pada majlis berkenaan sebanyak 433 orang telah menerima bantuan Hari Raya berupa wang tunai RM100 serta bahan-bahan makanan.

Penerima itu terdiri daripada fakir miskin, anak-anak yatim dari sekolah angkat Yayasan Pendidikan Cheras, orang kurang upaya dan ibu tunggal.

Ketua Menteri itu turut menyampaikan wang sumbangan Tabung Gempa Utusan-Maybank untuk mangsa gempa bumi di Sumatera sebanyak RM20,500. - AGENDA DAILY.

No comments: