Oleh Prinsip 5
(Penulis Tamu)
Pada hari ini, berjayalah sudah dua puluh hari kita berpuasa dan diam tak diam ‘dah dekat nak raya’. Apakah yang telah kita kecapi saat ini ? Berapa banyak ibadat yang kita telah laksanakan, atau puasa yang wajib diqada’ semula atau berapa malam kita berjaya menikmati sahur selaras dengan tuntutan sunnah Rasullullah S.A.W. Itu belum dikira dengan peribadatan yang ganjaran pahalanya melangkaui daripada anugerah biasa.
Maka sewajarnya kita berlumba-lumba membuat kebajikan dan seterusnya mengajak ke arah kebaikan serta membenci kemungkaran. Walaupun begitu, masyarakat kita di Malaysia ini sudah terbiasa dengan sambutan festival dan perlu diraikan. Ketibaan Aidilfitri yang bakal menjelang tiba tidak lama lagi begitu dinantikan oleh setiap umat Islam. Syukur tanda lengkap berpuasa di bulan yang mulia. Islam juga menggalakkan umatnya menyambut ketibaan Syawal sebagai tanda kesyukuran.
Sungguhpun demikian, kesederhanaan dalam beraya mestilah menjadi agenda nasional. Memadailah dengan baju raya yang tidak terlalu mahal, perabot yang digilap semula atau pun sederhana harga promosinya serta kuih-muih yang tidak membazir. Sesungguhnya membazir itu adalah perbuatan syaitan dan wajiblah kita menghindarinya. Jangan dek borosnya berbelanja, hutang lama tidak dapat dibayar dan terus berseronok mengikut nafsu.
Kita juga tidak perlu terikut-ikut dengan tuntutan promosi besar-besaran yang dianjurkan oleh pasar raya atau pusat beli-belah ternama. Strategi mereka yang tidak bertanggungjawab ini jangan sampai menjerat ekonomi umat Islam. Kerajaan sentiasa mengingatkan kita supaya tidak leka dengan barangan mewah dan menganjurkan supaya ‘Belilah Barangan Buatan Malaysia’.
Kita perlu ingat bahawa negara kita tanggungjawab kita, maka perbelanjaan keluarga kita juga tanggungjawab kita. Jadi, berbelanjalah secara berhemah. Jangan sampai perbelanjaan untuk sekolah anak-anak, perbelanjaan pelajaran untuk masa depan mereka serta simpanan kontigensi diabaikan. Ingatlah waktu kita senang supaya kita dapat mengekalkan kesenangan itu di masa hadapan. Berakit- rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang di kemudian.
Friday, October 5, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Tiger,
Sempena Syawal yang akan menjelang saya ingin memohon maaf dari tuan andai ada kesalahan saya selama ini. Maklum sajalah kita sebagai manusia biasa tidak sunyi dari kesilapan.
"SELAMAT HARI RAYA--MAAF ZAHIR DAN BATIN"
Sdr Abang putra,
Saya pun begitu. Saya minta maaf daripada hujung rambut ke hujung jari kaki jika ada kesalahan atau tuturkata yang menyinggung, mengumpat atau mendatangkan sebarang masalah kepada Abang Putra. Saya memaafkan segala kesilapan Abang Putra (jika ada) terhadap saya. Wasalam.
Post a Comment