Friday, October 19, 2007

JUMLAH PEKERJA ASING PERLU ADA HAD

Buletin Utama TV3 mengadakan laporan khas mengenai pekerja asing dua malam berturut-turut bermula malam semalam. Adalah diharapkan laporan khas itu akan membuka mata pihak berkuasa dan kementerian bertanggungjawab.

Saya pernah menulis mengenai pekerja asing ini yang semakin bertambah dari tahun ke tahun. Apa yang dibimbangkan ialah jumlah itu terlalu ramai sehingga menimbulkan pelbagai masalah sosial kepada rakyat negara ini. Yang mendapat untung ketika ini ialah ejen-ejen yang membawa masuk ramai pekerja asing tetapi tidak mempunyai pekerjaan. Ejen yang untung, kerajaan pula terpaksa tanggung makan minum pekerja asing yang terkandas. Masalah visa on arrival juga disebut antara perkara yang perlu diteliti semula untuk memastikan mereka tidak menyalahgunakan penggunaan visa lawatan itu. Mereka datang ke negara ini dan "hilang" begitu saja selepas tamat tempoh visa lawatan itu.

(Renungan Rimau: Usaha sepadu perlu dibuat oleh kerajaan untuk meneliti secara halus masalah pekerja asing. Bukan setakat mewujudkan jawatankuasa peringkat atas saja tetapi jawatankuasa khas yang bekerja sepanjang masa. Jangan biarkan ia menjadi masalah besar sehingga tidak boleh dikawal. Wujudkan satu pasukan khas yang lebih berkesan untuk melihat keperluan tenaga kerja. Jangan biarkan ejen-ejen lintah darat ini menghancurkan keharmonian negara ini sedangkan mereka hidup senang-lenang. Ada yang meraih beratus ribu ringgit kerana mendapat "rezeki terpijak" hasil pemberian orang yang berkuasa.)

No comments: