Sunday, October 21, 2007

PEJUANG PARTI, BUKAN PENGACAU

Presiden PPP, Datuk M Kayveas bersuara lagi hari ini. Kali ini dalam perhimpunan agung parti itu pagi tadi. Seperti biasa beliau meminta lebih banyak kerusi diperuntukkan kepada PPP. Menurutnya, beliau perlu menyuarakan permintaan parti kerana ahli PPP akan marah jika beliau berdiam diri. Dalam ertikata lain, biarlah pemimpin komponen BN marah kepadanya daripada ahli PPP tidak memaafkannya jika tidak bersuara. Memanglah logik sebab beliau adalah pemimpin mereka. Perlu berani untuk bersuara. Ada pemimpin parti yang senyap sunyi.

Dalam ucapannya itu, Kayveas mahu semua parti komponen menyuarakan isu serius mengenai masyarakat secara bersama. Malangnya ketika ini katanya, ada sesetengah parti politik yang cuba membuat kenyataan popular tetapi mengelak menimbulkan isu serius berkenaan. Mungkin ada kebenarannya.

Dalam pada itu, Malaysiakini melaporkan Kayveas sedar ada sesetengah pihak melabelkannya sebagai mengada-ngada dan suka mencari publisiti murahan. "Ada yang menuduh saya dan PPP sebagai `pengacau' dalam Barisan Nasional (BN) sedangkan suara saya itu mewakili 530,222 ahli dari semua peringkat," katanya.

Kayveas yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata: `Memanglah saya faham, malah lebih faham tentang sepak terajang di dalam dunia politik negara". Beliau dipercayai merujuk kepada ruangan Senyum Kambing di akhbat Utusan Malaysia Selasa lalu yang bertajuk 'Tiada Kerusi Untuk PPP' di ruang Senyum Kambing.

(Renungan Rimau: Saya yakin Datuk M Kayveas akan terus bersuara sehingga apa yang dihajatinya tercapai. Ciri pemimpin yang sentiasa memperjuangkan hak ahli partinya. Orang lain hendak terasa hati, terpulanglah kepada mereka.)

No comments: