Friday, March 2, 2007

PJPD 2 : SAMPUK VS BATU KARANG

Tengahari itu... saya pun balik ke kampung di Kampung Paya Rumput, Masjid Tanah dan penyakit itu menyerang sekali lagi. Kali ini, lebih parah lagi. Macam-macam boleh rasa. Seolah-olah badan ini diikat dengan jaring berduri. Rasa semacam dicucuk di seluruh badan. Bapa (Alfatihah untuk rohnya) terus segera membawa ke klinik dan doktor memberi ubat saraf kerana beliau yakin saya menghadapi masalah urat saraf. Salah urat dan ubat diberikan untuk melegakannya. Malam itu, saya tidur lena.

Namun keesokan harinya sakit belakang saya masih ada lagi dan bapa membawa bertemu dengan teman lamanya di Pekan Masjid Tanah. Orangnya agak pelik sedikit …kerana setiap hari berkaki ayam. Pakaiannya seluar pendek melepasi lutut dan t-shirt pagoda. Kerjanya membawa kereta sapu. Pertemuan diadakan di sebuah kedai kopi Cina di pekan. Lupa nama orang yang boleh saya gelar dukun itu. Setelah duduk di meja bulat marble putih (typical kedai kopi China) dukun itu meminta tauke semangkuk air dan sebiji telur ayam.

Setelah memecahkan telur ayam dalam mangkuk air berkenaan, sambil mulutnya kumat-kamit, beliau terus mengemukakan soalan kepada saya.

Soalan pertamanya ialah: Adakah saya berada di pantai sehari atau beberapa hari sebelum saya sakit? Saya menjawabnya tidak. Beliau terus menyatakan saya pernah duduk di sebuah pondok di tepi pantai dan berdekatan dengan pondok itu ada sebuah pokok besar. Saya terus bertanya apa kena mengena pokok besar itu dengan saya. Beliau terus menjawab bahawa saya “kena sampuk” oleh benda yang bersarang di pokok besar itu. Saya kata perkara itu tidak pernah terjadi. Yang saya tahu, sebelum kejadian itu, saya baru balik dari Bandar Melaka kerana membeli buku dan turun bas dan berjalan ke asrama. Selepas itu, saya turun main bola dan hujan renyai-renyai mulai membasahi padang ketika kami bermain..

Dukun itu terus mendesak agar saya mengingatkan semula apa yang saya buat sebelum bermain bola sekali lagi kerana beliau percaya saya disampuk oleh makhluk halus di tepi pokok itu. Bagi saya cerita makhluk halus tidak asing kerana saya tinggal di sebelah gaung sejak kecil lagi dan pelbagai peristiwa menarik berlaku dalam kehidupan. Tetapi yang ini agak pelik pulak bagi saya. Menurutnya, di pondok itu berlakunya kejadian seorang lelaki mati ditikam di belakang.... sebelah kanan. Saya agak terkejut juga kerana tepatlah kesakitan yang saya alami iaitu di sebelah kanan.

Setelah penat memerah otak, barulah saya memberitahu bahawa saya tidak ke pantai dan duduk di pondok. Apa yang berlaku ialah saya turun bas di pondok menunggu bas dan ada sebuah pokok besar berdekatan pondok berkenaan. Tempatnya ialah di hadapan pantai Bandar Hilir. Jarak antara tempat menunggu bas itu ke kawasan laut ialah 200 meter kerana kawasan itu telah ditambak. Barulah saya memahami dengan maksud dukun itu membabitkan pokok berdekatan pondok di tepi pantai.

Beliau memberikan air tawar untuk diminum. Saya mengkagumi kebolehan dukun itu. Berpakaian simple, kaki ayam tapi mampu melakukan sesuatu yang luar biasa. Maka hilanglah penyakit saya itu buat beberapa tahun dengan kehendak Allah SWT. Yang menariknya beliau tidak mengambil satu sen pun daripada bapa. Alasannya.....yang mana dia boleh tolong dia akan tolong. Baginya, duit tak penting tetapi sedikit kelebihan yang beliau ada, digunakan untuk kebaikan orang. Terpulanglah kepada kita untuk mempercayai kebolehannya itu.

Tindakannya itu yang humble dan tidak meminta-minta mengingatkan saya kepada anak saudara, Rafie yang ada kebolehan seumpama itu. Beliau hanya akan membantu keluarga terdekat dan tidak mengkomersialkan perkhidmatannya. Saya juga tidak pernah meminta menggunakan khidmatnya kecuali jika beliau menawarkannya. Melihat wajah kita saja, dia tahu sama ada kita ada masalah berat atau tidak. Puhhhh.....

Rafie ni adalah seorang yang suka berjenaka dan tersenyum. Bercakap bila perlu. Typical orang ada ilmu. Jika keluarga meminta tolong, beliau akan sering berkata: “Jangan risau...Allah akan tolong.” “Semua penyakit ada ubatnya, kita cubalah.” “Mana saya boleh buat, saya buat, yang lain kita serahkan kepada Allah.” “Hidup ni sekali, kalau terkena terus mati, sekali je.” “Siapa yang buat, Allah akan balas…tak tahu le bila..tapi akan kena juga.” “Hidup ni jangan buat kat orang, kalau kita tak de rezeki tak pe…tak payah dengki-dengki.” “Waima orang dengki kat kita sekalipun….kita jangan balas, biar Allah tentukan.” “Orang yang suka buat kat orang tu…dia tak sedar…nanti anak, cucu dan keluarganya pula yang terkena. Dia pun mungkin kena bila dah tua.” “Saya mudah…kalau saudara datang minta tolong, saya akan ikhtiarkan…tapi jangan kata saya terror …Allah yang berkuasa….Yang penting doa kita.” “ Macam doktor…dia bagi ubat…kalau kena ubatnya..maka sihatlah kita…ada juga makan ubat tapi tak baik…jadi kita minta kat Allah.”

Bersambung…

No comments: