Tuesday, March 13, 2007

SINDROM TAKUT PERGI HOSPITAL

Semalam, mak ungku datang ke rumah bersama suami. Perkara pertama yang saya tanya ialah sudahkah beliau membuat pemeriksaan x-ray tulang belakangnya. Tulang belakangnya sakit dan kakinya mula berasa kebas. Kini ada bintik-bintik merah di perutnya. Belum, jawabnya ringkas. Saya terus menasihatkannya untuk segera berbuat demikian sebelum terlambat. Segeralah pergi mak ungku....segeralah pergi ke hospital.....

Sebenarnya, mak ungku enggan pergi ke hospital kerana saya percaya beliau mempunyai penyakit STH, singkatan kepada Sindrom Takut Hospital. Apabila ada STH, maka beliau tidak mahu diperiksa oleh doktor, tidak mahu makan ubat, tidak mahu menjalani x-ray dan yang paling ditakuti ialah menjalani pembedahan. Sikap sebegini adalah satu kesalahan besar dalam hidup. Kesilapan sebegini boleh menyebabkan bencana. Na'uzubillah.

Ini yang berlaku kepada kawan saya, AFAF yang meninggal kerana penyakit kencing manis. Menurut bapanya, AFAF amat takut untuk pergi ke hospital dan sentiasa merahsiakan penderitaannya. Sehinggalah dua minggu lalu apabila AFAF mula meracau dan dipaksa ke hospital. Malangnya, penyakit sudah di peringkat teruk di mana jangkitan telah merebak ke jantung dan bahagian lain. AFAF tidak dapat diselamatkan. Jadikan iktibar.

6 comments:

ahm said...

kenapa hospital amat digeruni ramai, termasuklah para pembesar dan profesional. ngeri sangatkah hospital, atau para doktornya menggerunkan?. ataupun takut sekiranya disahkan mengidapi sesuatu penyakit khususnya yang kronik, takut menerima kenyataan agaknya.
tak keterlaluan kiranya dato' pun mendapat keberanian ke hospital setelah diserang sakit belakang(saje nak provoke).
saya pun sebenarnya hanya mengunjungi hospital/doktor apabila sakit sahaja..


may the almighty bless all of us always

ibrahim yahaya said...

ahm,
saya akan ke klinik, jika saya sakit. waima gatal-gatal, cepat-cepat saya pergi ke klinik. saya akan bertanya doktor, adakah penyakit saya ini teruk, akan menjadi teruk atau perlu pergi ke hospital for further treatment.

dalam kes sakit belakang, apabila saya sakit, saya terus pergi ke klinik. tapi tak baik, maka adalah orang di rumah yang suruh pergi hospital. maka saya ke hospital. maka doktor menyuruh saya membuat shockwave kerana kidney stone.

sakit itu terus berulang. saya pergi ke klinik lagi. doktor kata ini bukan kidney stone tetapi spine. saya pun pergi ke hospital dan menerusi x-ray dan mri, didapati tulang belakang ada infection. oleh itu saya menjalani pembedahan Ogos lalu. sekarang, sakit belakang tiada dan kesan pembedahan semakin baik.

sama ada berani atau tidak, yang penting ialah kita perlu fikirkan orang terdekat. apa akan jadi jika saya lumpuh (risiko sakit belakang). sudah tentu akan menyusahkan keluarga saya. oleh itu segeralah ke hospital. tepuk dada tanya selera.

Anonymous said...

Dalam hal ini saya bagi saya pertimbangan Dato' amat tepat. Sayangi diri kita terlebih dahulu jika kita menyayangi org lain. Masalahnya ramai yang takut menghadapi kenyataan sehinggalah pada satu ketika nanti apabila sudah terlewat, kenyataan yang cuba disembunyikan itulah yang membawa padah. Hospital bagaikan momok bagi sebahagian besar kita. Pernah seorang kenalan yg suaminya tenat apabila disyorkan dibawa suaminya ke hospital, memberitahu saya...hospital adalah satu SUMPAHAN bagi suaminya. Namun apabila keadaan semakin genting akhirnya ke hospital juga. Namun segalanya sudah terlambat. Ajal dan maut memang ketentuan Tuhan tetapi menentukan kualiti kehidupan adalah di tangan kita sendiri.

ibrahim yahaya said...

rn,
terus terang, saya tidak gemar ke hospital. ia adalah tempat terakhir yang akan saya lawati. saya akan pergi jika ada orang di rumah suruh berbuat demikian.

saya akan pergi jika saya sakit. saya akan hadir untuk melawat saudara mara yang tenat. menziarahi rakan taulan dan juga menghantar orang sakit...

pengalaman selama sebulan setengah membolehkan saya memahami dan mengetahui tugas doktor dan jururawat. penuh mencabar....

selain doktor, jururawat yang disiplin, dedikasi dan sopan adalah orang yang akan memanjangkan umur kita. apa tidaknya, melihat mereka saja mengurangkan derita kesakitan. mendengar suara mereka, membakar semangat untuk terus hidup.

oleh itu... hospital bukan tempat untuk digeruni. hospital bukan satu sumpahan. mendapat rawatan di hospitallah yang akan menentukan kita akan hidup lama...

maka... menjadi tugas kita untuk MEMAKSA anggota keluarga yang berdegil atau malas ke hospital untuk mendapat rawatan segera....jangan biarkan nasi menjadi bubur....bubur menjadi basi ...kerana kuman membunuh.

zewt said...

saya berpendapat bahawa nama sindrom tersebut sepatutnya dikenali sebagai sindrom-tak-mahu-terima-realiti. setuju?

ibrahim yahaya said...

zewt,
tepat sekali pandangan sdr. ramai yang tidak mahu terima realiti.

bagi mereka, pergi ke hospital akan menyebabkan mereka akan tahu apa penyakit sebenarnya. itukan lagi baik. jika ia masih di peringkat awal, sudah pasti ia boleh diubati.

namun, jika ia sudah di peringkat yang teruk sekalipun, usaha boleh dilakukan bagi mengurangkan kesakitan atau...dengan kehendak tuhan ia boleh diubati.

manusia berusaha, tuhan yang akan menentukan...banyak contoh hidup di dunia ini di mana ada yang di peringkat teruk...akhirnya sembuh...kan kita digalakkan berusaha......

saya kagum dengan rakan kita, Karim Sulaiman, yang kuat semangatnya...apatah lagi menerima sokongan padu daripada Hawa.
Dua minggu lalu, saya telefon Hawa..dia kata Karim kini mendapat rawatan yang lebih baik..Alhamdulillah..Sama-sama kita berdoa semoga Sdr Karim cepat sembuh.