Sunday, January 25, 2009

SIAPA SURUH THE STAR BUAT CERITA?

Oleh AgendaDaily

Bekas Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin mengeluarkan satu kenyataan untuk menyangkal spekulasi yang mengaitkan beliau melobi untuk menjadi Duta Malaysia ke Indonesia.

Ini ekoran laporan dalam akhbar The Star Sabtu mengenai adanya dua orang bekas Menteri yang melobi Putra Jaya untuk jawatan itu.

Beliau mengakui soal perlantikannya untuk jawatan itu pernah sekali sahaja dibincangkan dengan Perdana Menteri Abdullah Badawi, Timbalan Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Abdul Razak dan Menteri Luar Rais Yatim tetapi tidak lebih dari itu.

Namun katanya memandangkan usianya sekarang beliau merasa adalah wajar baginya untuk bersara terus dan menulis memoir pengalamannya yang terlalu banyak dalam kewartawanan dan politik tanah air.

“Dengan ini saya berharap cerita mengenai saya sebagai bakal duta Duta Malaysia ke Indonesia ditamatkan dan digugurkan dari pencalonan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan petang Sabtu itu.

BERIKUT IALAH KENYATAAN PENUH BEKAS MENTERI PENERANGAN DATUK SERI ZAINUDDIN MAIDIN MERUJUK KEPADA BERITA THE STAR 24 JANUARI 2009

Ramai yang telah bertanya tentang kemungkinan saya menjadi Duta di Jakarta. Maka dengan itu berita mengenai adanya dua orang bekas menteri yang melobi Putra Jaya untuk jawatan itu( Star hari ini ),tentulah saya salah seorang yang dimaksudkan.

Saya suka menjelaskan supaya ramalan ini tidak berpanjangan bahawa perlantikan saya itu pernah sekali sahaja dibincangkan dengan Perdana Menteri Abdullah Badawi, Timbalan Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Abdul Razak dan Menteri Luar Rais Yatim.Tidak lebih dari itu.

Dalam hidup saya, saya tidak pernah melobi untuk sesuatu jawatan dari Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu , Senator, Setiausaha Parlimen , Timbalan Menteri hingga ke Menteri.

Bila saya dilantik menjadi Senator atas jasa baik Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Dr. Tun Mahathir maka saya berfikir setakat itu sahajalah tetapi sampai kepada peringkat Menteri adalah suatu kejayaan dalam hidop yang di luar imiginasi saya dan yang tidak pernah saya perjuangkan.

Maka itu saya amat berpuas hati dengan keadaan kehidupan saya hingga saat ini dan amat merasa amat tidak wajar jika saya dimaksudkan sebagai salah seorang yang melobi untuk menjadi Duta Indonesia. Saya berhak untuk merasakan demikian kerana ramai rakan rakan,wartawan wartawan dan pegawai kerajaan yang bertanya kepada saya mengenai kemungkinan menjadi Duta ke Indonesia.

Saya tidak pernah mendakwa bahawa saya mengenali banyak wartawan Indonesia dan orang orang penting di Jaktarta untuk saya layak menjadi Duta atau saya beranggapan bahawa diri saya boleh menjadi jambatan bagi mengeratkan lagi hubungan antara kedua negara seperti yang digambarkan oleh berita mengenainya. Sebagai bekas watawan selama 40 tahun saya dapat membaca yang tersirat .

Saya dapat membaca perasaan yang terpendam di Wisma Putra maka saya dengan ini mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mempunyai ingatan yang baik terhadap saya dalam soal pencalunan Duta ke Indonesia itu dan saya meminta dilupakan sahaja.

Saya tidak mahu jika berlaku perlantikan saya akan menutup peluang kepada mana mana pegawai perkhidmatan dplomatik yang lebih layak dari saya untuk mengambil tugas di Jakarta yang telah disebut sebut sebagai memerlukan dipolmat berpengalaman yang dapat menghadapi masalah antarabangsa yang semakin runcing dan complicated sekarang ini terutama di Jakarta.

Saya tidak mahu nama saya berada dalam senarai diantara bekas menteri yang melobi apa apa jawatan dalam kerajaan atau politik. Memandangkan umur saya, saya rasa adalah wajar bagi saya untuk bersara terus dan menulis memoir pengalaman saya yang terlalu banyak dalam kewartawan dan politik tanah air terutama dalam masa perang dingin yang melibatkan hubungan antara Malaysia Indonesia.

Dengan ini saya berharap cerita mengenai saya sebagai bakal duta Duta Malaysia ke Indonesia ditamatkan dan digugurkan dari pencalonan. Penyertaan saya dalam politik juga adalah by accident dan saya tidak mengharapkan apa apa lagi dalam politik atau pun perniagaan. Darah daging saya adalah penulisan dan kewartawanan.

24 Januari 2009.

Zainuddin Maidin

(Renungan Rimau : Bagi saya, orang yang bernama Zam ini tidak akan melobi untuk mendapatkan apa saja jawatan. Zam sedar setakat mana kebolehannya apatah lagi mengetahui minat sebenar beliau adalah dalam bidang penulisan. Oleh itu, saya yakin Zam tidak akan melobi untuk menjadi Duta melainkan pihak atasan mahu beliau berbuat demikian. Saya pernah bertanyakan kepada DS Zam mengenai perkara itu dan jawapannya ialah "dalam hidup ini rezeki itu ditentukan oleh tuhan. Sepertimana saya tidak menyangka akan menjadi Menteri, begitu juga dengan perkara lain. Sesuatu yang berlaku kepada saya itu adalah dengan kehendak tuhan. saya lebih selesa menjadi wartawan dan akan terus menulis selagi ada kekuatan". Mungkin ada pihak yang benar-benar mahukan DS Zam menjadi Duta atas alasan mereka sendiri dan jangan persalahkan Zam jika beliau mendapat jawatan itu, sepertimana beliau mendapat jawatan Menteri. Bagaimanapun, yang menjadi tandatanya, siapakah yang menyuruh The Star menulis cerita mengenai Zam untuk menjadi Duta itu? Yang paling pelik ialah perkataan "melobi" sedangkan saya tahu istilah melobi itu tiada dalam kamus kehidupan DS Zam yang tahu kedudukan dirinya. Banyak yang tersirat. Ambillah jawatan Duta itu dan berikan kepada mereka yang dirasakan lebih layak atau mengidamkannya. Saya pasti Zam akan selesa menjadi wartawan dan penulis.)

5 comments:

Unknown said...

Mana mai pulak cerita ni?'
"BERITA TERKINI HIBURAN SENSASI"
Apa yang Zam nak takut kalau dah tak lobi hang pi dok diam susah laaa..Depa dok buat cerita ni pasai depa yg dok lobi dan sekarang banyak bekas-bekas wakil rakyat yang dok gila meroyan nak jadi duta kot.
Yang nak gelak tu...ada juga depa kata kalau Zam jadi Duta di Indonesia, Malaysia dan Indonesia boleh berperang kerana perangai Zam yang agresif.

Anonymous said...

Apa salahnya Star membuat laporan itu?

Tidak salah membuat laporan itu sekiranya ada maklumat yang mungkin menunjukkan ada sedikit kebenaran mengenai hal ini.

Ingat: setiap pemimpin besar harus "accountable" utk apa apa sahaja. Ini kerana mereka berada pada satu puncak kuasa dan pengaruh yang luas dan besar, dan ini adalah dengan menggunakan mandat yang diberi oleh rakyat, dan mereka mempunyai akses kepada kekayaan rakyat dan tanah bumi ini.

Oleh itu, satu sistem informasi seperti suratkhabar yang bebas bersuara sekiranya ada mendapat maklumat yang "credible" adalah penting.

Kita tidak boleh membiarkan sahaja orang yg berkuasa besar melakukan apa apa saja dan mereka sentiasa harus dijadikan "accountable".

Ingat juga orang politik mudah menipu demi matlamat kepentingan diri sendiri. Apa yang membuatkan awak percaya sangat dengan kata-kata Zam itu? Bolehkah awak buktikan Zam itu bersih dan tidak pernah mendapat keuntungan daripada kedudukannya sebagai orang besar politik dulu? Kalau kau percaya dia tu "bersih", tidak pernah mendapat "manfaat kepentingan diri" daripada kedudukan politik dan kenalan-kenalan politik/korporat/elitnya, awak bermimpilah.

Maka saya setuju penuh dengan tindakan akhbar-akhbar kita untuk terus memantau tindakan dan aksi orang-orang politik, terutamanya daripada Barisan Nasional yang dah lama berkuasa dan dah angkuh dan ada banyak korupsi. Ini demi menjaga kebajikan rakyat dan tanah bumi Malaysia.

Anonymous said...

Zam ni kalau dia mau dia tak bagi tau, konon tak mau. Tapi kalau depa suruh dia jugak dia mau tuuuuuuu.
MAU TAPI MALUUUUUUUUUUUUUUU AH!

KOTA TANAH said...

Apabila ada perbincangan walaupun sekali itu maknanya adalaaa desas-desus kalau tidak melobi sekali pun. Kata saja ada lobiiii...

Anonymous said...

kalau Zam buat senyap pun rasanya lebih elok rasanya didalam artikel the star pun tidak ada sebut Zam sebagai yang melobi untuk jadi duta ke indonesia.dari kurang orang yang tahu sekarang ni dah lebih ramai yang tahu.

tapi tak salah juga dia memilih untuk menerangkan perkara sebenar.