Monday, February 23, 2009

LEBIH WAJAR HAKIM BARU

KUALA LUMPUR : Ganti hakim baru lebih wajar.

Bagi pengamal undang-undang, itu lebih baik daripada membiarkan prasangka dan persepsi menyelubungi kedudukan Pesuruhjaya Kehakiman, Mohamad Ariff Md. Yusof.

Walaupun peguam yang mewakili pemohon, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin menggangap tidak timbul ancaman berat sebelah sekiranya Mohamad Ariff terus mendengar kes itu.

Namun, Persatuan Peguam Muslim Malaysia berpendapat, langkah itu adalah pilihan yang sebaik-baiknya untuk kepentingan semua pihak.

Presidennya, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, sebab itu seeloknya awal-awal lagi, badan kehakiman menggantikan Mohamad Ariff dengan hakim lain yang difikirkan lebih sesuai.

Kata beliau, ini bagi memastikan kes permohonan Mohammad Nizar bagi mendapatkan deklarasi mahkamah bahawa beliau masih Menteri Besar Perak yang sah berjalan tanpa menimbulkan sebarang prasangka.

''Itu sebaik-baiknya. Dalam kes ini, saya mengalu-alukan tindakan Mohamad Ariff mendedahkan penglibatannya dengan parti politik yang berkenaan. Ini menunjukkan badan kehakiman kita ikhlas dan telus.

''Ia tindakan yang amat rasional dan boleh diberi penghormatan. Ia terbaik untuk dirinya bagi mengelakkan salah anggapan, prasangka dan sebagainya.

''Saya amat alu-alukan dan kalau hakim yang ada kepentingan awal- awal buat pengumuman menarik diri seperti Mohamad Ariff, ia baik untuk badan kehakiman kita,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohamad Ariff kelmarin semasa sebutan kes berkenaan mendedahkan bahawa beliau pernah menjadi penasihat undang-undang kepada Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Mohamad Ariff yang baru dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 15 September tahun lalu juga pernah bertanding sebagai calon Pas pada Pilihan Raya Umum 2004 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawasan Kota Damansara di Selangor.

Pendedahan itu dibuat Mohamad Ariff sendiri bagi pertimbangan sama ada beliau patut menarik diri mendengar kes itu atau sebaliknya, merupakan antara tiga perkara yang ditimbulkan dalam kes itu hari ini.

Bagaimanapun, peguam Mohammad Nizar, Sulaiman Abdullah menegaskan sebaliknya iaitu pada beliau, tidak timbul ancaman berat sebelah sekiranya Mohamad Ariff mendengar kes itu.

Sementara itu, pakar undang-undang yang juga Profesor Tamu universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Salleh Buang turut bersetuju sekiranya Mohamad. Ariff digantikan dengan hakim yang lain.

Kata beliau, ini untuk mengelakkan sebarang persepsi yang beliau mungkin akan bertindak secara bias kerana penglibatannya sebelum ini dengan pihak pemohon di dalam kes tersebut.

''Sebab itu saya percaya Ketua Hakim Negara akan bertindak menggantikan Mohamad Ariff dengan hakim lain.

''Lagipun situasi ini bukan luar biasa, ia pernah berlaku. Apabila hakim merasakan dirinya berada dalam 'konflik kepentingan' dengan mana-mana pihak dalam kes itu, maka mereka akan menawarkan bagi menarik diri awal-awal lagi.

''Jadi eloklah pendedahan Mohamad Ariff itu. Beliau bukan tak boleh kendalikan tetapi sebaiknya digantikan, itu yang lebih praktikal pada saya kerana persepsi itu penting,'' jelasnya. (UTUSAN).

(Renungan Rimau: Eloklah ditukarkan dengan hakim baru bagi mengelakkan prasangka, persepsi negatif, rasa tidak puas hati, rasa marah, 'rumah siap pahat berbunyi', rasa tidak adil dan pandangan yang tidak sihat. Eloklah ikut apa yang terbaik. Umpamanya, di Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu pun, Pengurus Pilihanraya meletakkan jawatan apabila ada pihak mula mempersoalkan kedudukannya.)

3 comments:

profit said...

Dunia Tiger,
Cuba tengok orang PR dengan kenyataan berikut:

Bagaimanapun, peguam Mohammad Nizar, Sulaiman Abdullah menegaskan sebaliknya iaitu pada beliau, tidak timbul ancaman berat sebelah sekiranya Mohamad Ariff mendengar kes itu.

Cuba kalau hakim tu dulu pro BN dah tentu sampai ke bulan mereka berteriak.Ni lah Anwar Ibrahim!

Quantum Metal Consultant said...

Sesuatu yang baik bila hakim yang baru dilantik tetapi wajar penggantinyam dipersetujui secara mutlak oleh kedua dua pihak terutama di pihak Nizar suapaya tidak timbul ' Ketua Hakim telah melantik Hakim Pro UMNO' pulak di belakang hari jika keputusan tidak menyebelahi mereka.

Bukan sangkaan buruk tapi itulah track record Pakatan - budaya itu yang mereka tunjukkan selama ini.

Anonymous said...

Salam DT,

Banyak - banyak Hakim, Mantan Ketua Hakim Negara , Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yusuff Izzuddin Shah Ghafarullahu-Lah adalah seorang Hakim yang disanjung ramai. Baginda telah dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada 12 November 1982 .

Sebenarnya Baginda adalah "hakim" yang sebenarnya bagi Negeri Perak. Kalau di ikut dengan "akal" YB Nizar, tahu siapa "Hakim" bagi negeri Perak sebelum YB Nizar diheret ke mahkamah!


p/s- tengah tunggu bila Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar nak didakwa...