Wednesday, April 23, 2008

AGROBANK - PENDERHAKAAN BAHASA?

Mengangkat taraf bahasa Melayu

RUANGAN ini semalam buat kesekian kalinya memaparkan kepiluan Prof Dr Teo Kok Seong mengenangkan nasib malang yang menimpa bahasa Melayu hari demi hari.

Entah berapa kali lagi beliau akan berasa pilu begitu, bergantung kepada berapa banyak lagi tindak-tanduk songsang yang dilakukan oleh pelbagai pihak yang tidak yakin dengan ketinggian martabat bahasa kebangsaan itu.

Ironinya, orang yang berasa pilu ini bukanlah orang Melayu, tetapi sebagai rakyat Malaysia yang tulen; di tapak kakinya bumi Melayu dan di atas kepalanya pula langit Melayu, hati Prof Teo begitu tersentuh apabila melihat bahasa yang dimaktubkan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, tidak diberikan pengiktirafan yang sewajarnya. Isu menggantikan nama Bank Pertanian kepada Agrobank adalah satu daripada sedemikian banyak penderhakaan bahasa yang menggugat bahasa yang berdaulat itu.

Ini satu lagi bukti yang menunjukkan bahawa golongan teknokrat, ekonomi, malahan sebahagian pemimpin negara sendiri tidak yakin akan kemampuan bahasa Melayu untuk membawa negara ke taraf dunia. Mereka begitu sinis mengenai kemampuan bahasa Melayu untuk menjadi bahasa negara Malaysia yang maju.

Seolah-olah bagi mereka jika mahu diiktiraf sebagai negara maju, segala-galanya mesti ditukar sehingga menyamai citra bangsa yang sudah mencapai status itu.

Saya sungguh hairan, selepas sekian lama Prof Teo khususnya dan pahlawan bahasa kebangsaan amnya, meluahkan pandangan melalui pelbagai media dan forum, sebilangan rakyat Malaysia, malahan sebilangan orang Melayu sendiri masih belum celik bahasa!

Seharusnya, sebagai manusia yang berperasaan, sekurang-kurangnya orang Melayu akan berasa cemburu atau malu apabila orang lain pula yang berusaha keras mempertahankan bahasa Melayu.

Sejak sekian lama, Bank Pertanian menjadi tumpuan sebilangan besar petani Melayu untuk mendapatkan bantuan bagi mengembang dan meningkatkan lagi ekonomi mereka. Iklan televisyen bank itu yang disiarkan secara agresif sejak beberapa hari lalu, memaparkan anak petani Melayu yang kehairanan kerana bank itu dipindahkan ke lokasi baru dan memiliki nama baru. Anak itu dibantu oleh seorang penjual ikan keturunan Cina dan seorang wanita tua juga keturunan Cina untuk sampai ke bank itu.

Apakah adegan yang sudah tentu jalan cerita dan skripnya itu dihasilkan oleh pihak pengurusan bank itu, tidak dihayati oleh mereka sendiri? Barangkali ramai yang sudah menjadi seperti burung kakak tua; tahu berkata-kata tetapi tidak memahami apa yang diperkatakan. Tidak mengapalah jika falsafah yang tersirat di sebalik watak anak Melayu, dan bantuan yang dihulurkan lelaki serta wanita Cina itu tidak difahami, tetapi sekurang-kurangnya fahami kekeliruan anak itu akibat perubahan yang dilakukan. Kekeliruan sebeginilah yang memilukan Prof Teo dan sebilangan besar pewaris bahasa Melayu.

Kita tidak menafikan bahawa untuk maju, kita perlu berubah. Hal ini banyak kali dirujuk sebagai tuntutan melakukan anjakan paradigma. Namun, saya melihat kefahaman mengenai anjakan paradigma yang perlu dibuat itu hanya sekadar retorik tanpa memahami persoalan asas iaitu; apa, dan bagai-mana.

Kita dituntut supaya berganjak dengan maksud bahawa kita perlu meletakkan diri bangsa kita pada tahap yang lebih tinggi tanpa mengubah ciri identiti bangsa. Kita bukan disuruh berpindah atau berubah menjadi bangsa lain. Kita hanya perlu melakukan reformasi; ciri jati diri masih kelihatan tetapi sudah berkembang dari pelbagai sudut termasuk sosio ekonomi, sosio politik dan sebagainya.

Timbalan Perdana Menteri beberapa kali menyarankan supaya bangsa Melayu khususnya dan bangsa Malaysia amnya, bersedia menjadi bangsa yang bersifat glokal.

Glokalisasi atau proses pewatanan perlu dilakukan sebelum Wawasan 2020 dicapai. Kita mempunyai visi untuk maju berdasarkan acuan kita sendiri. Slogan ini menunjukkan bahawa hasrat kerajaan ialah untuk membawa bangsa Malaysia menjadi jaguh kelas dunia dalam semua bidang.

Untuk mencapai tahap jaguh dunia itu, kita patut sedar bahawa segala ciri jati diri bangsa kita hendaklah diperkukuhkan termasuk mengangkat bahasa kebangsaan kita sendiri ke tahap dunia juga. Jika tidak, tatkala kita mahu mengisytiharkan negara kita sudah maju, dunia akan memandang sinis apabila ‘perisytiharan’ itu kelak dilafazkan menggunakan bahasa asing. Ingatkah betapa kagumnya kita dan terkejutnya dunia tatkala Tan Sri Razali Ismail berucap di persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggunakan bahasa Melayu?

Pada hal, sebelum itu berkali-kali beliau menyampaikan ucapan di forum itu, tetapi tidak sebegitu impaknya kerana menggunakan bahasa Inggeris.

Kehadiran Malaysia pada mata dunia sudah menjadi begitu ketara dan segala langkah menggunakan bahasa selain daripada bahasa kebangsaan kita dalam sebarang penjenamaan semula atau sebagainya adalah dianggap sebagai langkah yang mengundur, sedangkan kita mahu maju.

Mudah-mudahan, Prof Teo tidak lagi pilu selepas ini.

DR SHARIFUDIN LUBIS,
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi,
Universiti Putra Malaysia.


(sumber : surat pembaca Berita Harian ( 23.4.2008)

2 comments:

Anonymous said...

salam pagi,

GAPENA,GAPENA iskhhh mana GAPENA nih,GAPENA,GAPENA...iskhh mana GAPENA nih.
oh diaorang dok sibuk nak selamatkan UMNO nuhhh membodek UMNO.

alahai GAPENA.
saya amat malu apabila ada seorang veteran dalam GAPENA yang berasal dari Kedah sama negeri dgn saya cuma lain daerah malahan sasterawan tersohor kununnnya hanya memikirkan bagaimana lagi tatacara nak membodek UMNO bersama kuncu-kuncunya bukannya hendak melihat tentang perkara bahasa melayu ehhh bukan,bukan bahasa melayu bahasa Malaysia.

kata Tuah tak melayu hilang di dunia apakah benar?Tuah itu melayukah?

ibrahim yahaya said...

Sdr Awang,

Ada orang berpendapat membodek dan mengampu sudah menjadi budaya rakyat negara ini. Apa ni?

Namun, jika membodek yang betul tidak berapa teruklah berbanding membodek perkara yang tidak betul atau mengampu angin. Umpamanya, jika kita tidak disukai lagi, orang keliling mesti bercakap perkara yang benar agar kita boleh membuat keputusan segera. Jangan biarkan kita "terkedu" satu hari nanti kerana menerima nasihat dan maklumat yang salah. Insaflah.