Wednesday, April 2, 2008

BILA ISU EGM UMNO AKAN HABIS?

Jumaat ini akan diadakan "Mesyuarat Agung Luar Biasa Bahagian Gua Musang" untuk membincangkan keperluan mengadakan EGM di peringkat Pusat. Ia akan diadakan di pejabat UMNO Bukit Chekati, Gua Musang. Saya mendapat tahu, ketua-ketua bahagian di seluruh negara juga akan dijemput untuk hadir di majlis berkenaan.

Ada pihak ada menyatakan bahawa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam akan hadir. Betul ke? Jika TDM mungkin betul, tetapi TMH takkan pula hendak datang kerana selama ini beliau memberi sokongan penuh kepada Pak Lah. Malah beliau kini menerajui WPI, satu projek besar kerajaan. Ada juga maklumat ahli UMNO seluruh negara akan datang berduyun-duyun dengan berpuluh bas. Apa ni? Adakah maklumat ini disebarkan untuk menarik lebih ramai hadir di majlis berkenaan. Tak tahulah. Kalau tiada, katakan tiada. Periksa dulu sebelum datang.

Nampaknya, Ketua Bahagian UMNO Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, serius untuk mendesak pemimpin tertinggi UMNO untuk mengadakan EGM. Walaupun, keputusan mungkin boleh diramalkan kerana bahagian itu diterajui oleh TR, persoalannya adakah EGM di peringkat pusat akan diadakan semata-mata desakan satu bahagian saja.

Nampaknya, isu membabitkan UMNO ini tidak kesudahan kerana daripada satu forum pasca PRU12 di Hotel Singgahsana pada Selasa lalu, kini beralih kepada EGM Gua Musang pula. Selepas ini apakah aktiviti lain yang ingin diadakan oleh kumpulan ini.

Pak Lah dan Kabinetnya nampaknya sudah mula bekerja. Tetapi isu EGM UMNO ini semacam tidak habis-habis. Macam mana ni? Media arus perdana juga melaporkan forum anjuran MYKMU.NET semalam dan memberi liputan yang baik.

2 comments:

Anonymous said...

salam malam tok rimau,

masing-masing tak habis-habis dengan agenda.golongan tua bukan nak menunjukkan contoh malahan menunjukkan belang yang semakin dah luntur dan pudar.golongan-golongan muda yang berwibawa pula mungkin dah bosan dan meninggalkan parti yang dianggap dah macam parti tuppaware yang akhirnya meninggalkan parti pertubuhan melayu kebanggaan melayu ini dengan tidur sahaja di rumah atau terlibat dengan niaga kecil-kecilan ataupun besar-besaran(bagi yang ada modal dan `kantaulah`).
biarkan luncai terjun dengan labu-labunya.biarkan,biarkan,biarkan...

ibrahim yahaya said...

Sdr Awang,

Ahli UMNO perlu memperkuatkan parti ketika menghadapi cabaran dan serangan daripada luar. Jika mereka tidak kuat iman dan meninggalkan UMNO, parti akan menjadi lebih teruk dan akhirnya akan hancur. UMNO akan tinggal namanya saja.

Ketika ini, saya percaya ahli-ahli UMNO di bawah hangat membincangkan apa yang berlaku pada parti sekarang. Mereka juga memperkatakan mengenai kepemimpinan sekarang. Ulasan juga diberikan kepada ucapan yang menegur pucuk pimpinan seperti yang diluahkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan mereka yang berani.

Persoalannya, apa akan jadi dengan UMNO walaupun orang bawah dari Batu Pahat, Johor hingga ke Gua Musang, Kelantan, membincangkannya dengan penuh semangat dan panjang lebar. Hanya setakat berbincang saja ke? Atau pucuk pimpinan perlu 'membuat sesuatu' untuk memperbaiki rumah kita yang sudah bocor sini dan berlubang sana.

Datuk AKJ berkata dalam RTM1 semalam bahawa UMNO adalah brand atau jenama terbaik dan tidak perlu rebranding atau menjenamakannya semula atau melakukan pembaharuan.

Yang hendak dibetulkan sekarang ialah cara kita menguruskan UMNO, mesti profesional dan bukannya secara personal. Saya selalu mengatakan semua pihak perlu mengasingkan profesional dan personal. Kalau kita syok dengan seseorang itu tetapi dia bodoh, rakus, tidak jujur, mengenyangkan tembolok sendiri dan suka mengampu, jangan dipilih untuk menerajui sesuatu pertubuhan kerana yakinlah beliau akan menghancurkan pertubuhan itu. Apatah lagi dia memilih untuk menerajui menerusi pendekatan personal dan bukan profesional. Hancurlah UMNO nanti. Masih belum terlambat.

UMNO adalah parti keramat. Ketika hendak membuat bendera UMNO, ibu-ibu berbangsa Melayu dan beragama Islam menjahitnya sambil membaca selawat meminta tuhan sentiasa menjaga dan melindungi parti ini. Itu sebabnya siapa yang belot, mementingkan diri sendiri dan ingin menghancurkan parti secara langsung atau tidak langsung, akan menerima padahnya.

Selamatkan bangsa Melayu.