Tuesday, April 22, 2008

AGROBANK - SURAT PEMBACA BH

Agrobank pinggir bahasa kebangsaan

AGROBANK adalah nama baru untuk Bank Pertanian yang sudah berjaya menerajui perbankan pertanian di Malaysia sejak 39 tahun lalu. Untuk meneruskan iltizam ini, Bank Pertanian menggunakan nama baru yang digubal daripada bahasa Inggeris. Nama itu mungkin dipilih kerana istilah 'pertanian' dirasakan kurang sesuai lagi dalam zaman yang mementing dan menggunakan bahasa Inggeris.

Walau apa pun tujuannya, sama ada sah atau tidak, di sebalik penggubalan dan penggunaan Agrobank untuk menggantikan Bank Pertanian, langkah itu melambangkan satu lagi babak pilu dalam perkembangan bahasa Melayu selaku bahasa negara dalam peranannya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini.

Pertukaran nama ini adalah satu manifestasi yang jelas bahawa kita sanggup meninggalkan bahasa kebangsaan dan mengambil bahasa Inggeris sebagai penggantinya. Bahasa Melayu dalam kapasitinya sebagai bahasa negara, adalah antara cara utama untuk membina identiti kita selaku rakyat Malaysia, selain membentuk pandangan pihak lain, khususnya masyarakat luar, terhadap kita.

Kita sepatutnya menggunakan bahasa itu untuk membina identiti nasional dan antarabangsa untuk diri kita, antaranya mengenal kita sebagai rakyat Malaysia, dan juga mewujudkan identiti linguistik kita, dengan menggunakan bahasa negara kita, iaitu bahasa Melayu.

Soal identiti, iaitu siapa kita sebagai rakyat Malaysia, bagaimana pihak lain menganggap kita dan bagaimana kita sendiri mencerap diri kita, ikut ditentukan sebahagian besarnya oleh penggunaan bahasa.

Dalam kes Agrobank, nampaknya kita ingin bertukar kepada identiti baru yang didapati bertentangan dengan yang sedia ada.

Istilah `agro' rata-ratanya membawa makna `tanah-tanih' dan `penghasilan tanaman'. Dengan nama baharu ini, Agrobank nampaknya ingin menumpukan kegiatan perbankannya kepada pengurusan tanah-tanih untuk tujuan penghasilan tanaman saja. Adakah ini penampilan baru bank yang tidak lagi memberi tumpuan kepada pengurusan perusahaan ternakan?

Sebetulnya, untuk tujuan pembaharuan, baik dari segi citra nama barunya itu hendaklah terus menggunakan bahasa kebangsaan. Barangkali nama Bank Tani sepatutnya digunakan.

Nama ini ringkas dan penggunaan perkataan `tani' itu selari dengan konsep lain seperti 'masyarakat tani', selain terus memartabatkan bahasa Melayu, adalah lebih berwibawa dari segi liputan makna daripada 'agro'. Istilah `tani' mencakupi skop lebih luas, antaranya penghasilan tanaman dan perusahaan ternakan secara sekali gus.

Penggunaan nama dalam bahasa Inggeris itu sebenarnya tidak pun membawa apa-apa yang signifikan, melainkan glamor untuk tujuan penakjuban segera, dalam era yang mementingkan penggunaan bahasa Inggeris.

Di manakah letaknya identiti dan jati diri kita. Sama pentingnya dengan ini ialah di mana pula kesetiaan dan kebanggaan kita terhadap bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi kita, lebih-lebih lagi dalam kalangan sesetengah penutur asal bahasa Melayu. Bahasa kebangsaan selaku bahasa negara perlu diguna pakai dengan baik dan betul pada setiap detik oleh setiap lapisan rakyat, antaranya bagi mempertahan serta melestarikan warisan bangsa Malaysia agar terus takat (survive).

Kita selaku rakyat Malaysia harus selalu memastikan ketahanan bahasa Melayu terus terpelihara dan terjamin. Ini adalah penting agar kita boleh terus berfungsi di negara sendiri dan juga di luar Malaysia, sebagai bangsa yang masih taat kepada dan bangga dengan bahasa negaranya.

Bahasa kebangsaan perlu dijadikan penanda identiti dan jati diri rakyat Malaysia. Kita harus membuktikan ini, bukan saja secara simbolik, tetapi lebih penting lagi secara instrumental, iaitu menggunakan bahasa Melayu, terutama untuk tujuan rasmi dan urusan kenegaraan. Kita perlu menjadikan bahasa Melayu dalam peranannya sebagai bahasa negara, sebagai identiti linguistik Malaysia yang utuh.

Bahasa Inggeris seperti yang termaktub dalam Dasar Bahasa Negara, perlu digunakan dengan akal yang lebih bijaksana sifatnya, bagi membezakan status subordinatnya di negara ini, khususnya untuk tujuan rasmi dan urusan kenegaraan.

Perkara ini penting diberi perhatian supaya bahasa Melayu tidak terpinggir di buminya sendiri, sebaliknya berhak diberi destini yang lebih baik di negara ini.

PROF DR TEO KOK SEONG,
Pusat Pengajian (BKK) Melayu,
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM.


(sumber : surat pembaca Berita Harian. 22/4/2008)

3 comments:

tajudin said...

saya sangat bersetuju dengan hasrat/tujuan surat ini. dalam pada itu saya ingin bersangka baik bahawa ini adalah salah satu surat yang dipilih, diterbitkan dan akhirnya dinukil dalam BLOG ini.

ada banyak lagi surat yang tidak diterbitkan yang dihantar oleh cendekiawan dan pejuang Bahasa Melayu yang terdiri daripada orang Melayu sendiri.

moga sangkaan baik saya ini tepat.

ibrahim yahaya said...

Sdr Tajudin,

Secara kebetulan, surat ini ada kaitan dengan topik AGRO BANK yang dibincangkan terdahulu dalam blog ini.

Jika ada surat mengenai AGRO BANK boleh diperturunkan dalam blog ini pada masa akan datang.

Anonymous said...

"BAHARU"? tak rasa pelik ke bunyinya.. kenapa tak sebut "Baru"? semakin lama semakin pelik lah bahasa melayu ni..