Thursday, September 6, 2007

BAJET TAMBAT HATI UNTUK PRU?

Apakah yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dalam Bajet 2008, esok? Adakah ia bajet pilihanraya seperti yang diramalkan oleh pelbagai pihak? Adakah ia bajet yang akan menggembirakan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah di seluruh negara? Apakah Bajet keempat bagi DS Abdullah yang juga Menteri Kewangan, akan berjaya menambat hati rakyat negara ini? Menambat hati pengundi untuk terus memberi mandat kepada Barisan Nasional(BN)meneruskan agenda pembangunan mereka.

Sejak seminggu lalu, pelbagai ramalan diberikan antaranya menjangka Bajet 2008 akan dirangka bagi menjana lebih banyak pembangunan dan pertumbuhan ekonomi. Menjana pertumbuhan yang berterusan. Walaupun, kerajaan sentiasa menerangkan kedudukan ekonomi negara berjalan baik, namun ada pihak terutama masyarakat Cina menyatakan ekonomi tidak berkembang seperti dijangka. Tidak hairanlah usaha untuk merancakkan semula ekonomi perlu dilaksanakan segera jika BN mahu menunjukkan apa yang dilakukan ketika ini berada dalam landasan yang betul.

Bagi golongan bawahan, kenaikan harga minyak yang menyebabkan kenaikan harga barang, walaupun sedikit, memberi kesan kepada tahap kehidupan mereka. Kenaikan gaji kakitangan awam pula dijadikan alasan oleh peniaga untuk menaikkan harga barang yang menyebabkan tiada lebihan daripada kenaikan gaji itu. Dalam ertikata lain, sama saja ataupun lebihan yang terlalu kecil untuk dibuat simpanan. Untuk itu, kerajaan perlu memberikan "hadiah" kepada rakyat bawah dalam Bajet 2008. Apakah hadiah itu dalam bentuk pengurangan cukai tertentu yang boleh meringankan beban orang ramai? Apakah ada cukai yang dihapuskan terutama yang perlu ditanggung oleh golongan marhain?

Bagi golongan usahawan, kelembapan ekonomi Amerika Syarikat sudah pasti memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi di negara ini. Untuk itu, usaha mempertingkatkan permintaan dalam negara perlu ada bagi membolehkan duit bertukar tangan segera untuk memastikan perniagaan mereka berjalan seperti sediakala.

Pelancaran rancangan pembangunan wilayah yang membabitkan Johor dan empat negeri di Utara dijangka membantu mempertingkatkan pertumbuhan. NCER yang bertujuan membawa pembangunan ke kawasan utara akan dapat membantu rakyat di keempat negeri itu yang secara langsung akan dapat menambat hati mereka. Namun, projek itu perlu dilaksanakan segera bagi membolehkan rakyat melihat faedah dan nikmat daripada program itu. Program yang baik, jika lambat dilaksanakan tidak berfaedah juga.

Presiden Persatuan Pekilang dan Industri Bumiputera Malaysia, Datuk Raja Nongcik Raja Zainal Abidin, memberitahu DT, Bajet 2008 sudah pasti akan mengambilkira perkembangan ekonomi dunia sekarang. Kerajaan perlu melihat kepada cukai korporat dan cukai pendapatan dalam konteks saingan daripada negara-negara di rantau ini. Datuk Raja Nongcik yang juga usahawan Bumiputera berwibawa, menyifatkan kelembapan ekonomi Amerika Syarikat akan memberi sedikit kesan tetapi ia dijangka diambilialih oleh kenaikan ekonomi di Eropah, India dan China.

Dalam pada itu, pembangkang turut membuat pelbagai ramalan mengenai Bajet 2008. Mereka menjangka kerajaan akan menggunakan kesempatan ini untuk kepentingan BN dalam menghadapi PRU yang akan datang. Menurut Malaysiakini, Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyatakan kebimbangan bajet akan datang ini boleh mencatatkan defisit yang tinggi. Setiausaha Agungnya, Tan Sri Khalid Ibrahim, menjangka perbelanjaan kerajaan akan meningkat dengan banyak sebagai persediaan untuk Pilihan Raya Umum akan datang yang dijangka diadakan awal tahun hadapan.

"Kebimbangan kami ialah mengenai defisit kerana rakyat akan terpaksa membayarnya. Dalam bajet pilihan raya, kerajaan akan memberi tumpuan kepada usaha untuk berbelanja. Oleh itu, jumlah perbelanjaan dijangka tinggi tahun ini dan pada tahun akan datang," katanya. TS Khalid juga menjangka kerajaan akan mengumumkan lebih banyak bantuan kebajikan untuk wanita dan warga emas. Bagaimanapun, beliau menjangka tiada potongan dalam cukai.

Sementara itu, DAP mengumumkan bajet bayangan mereka dikenali "Malaysian First" yang didakwanya memberi keadilan ekonomi kepada rakyat. Bajet bayangan itu antara lain menjanjikan dasar "gaji adil" dan "bonus Malaysia" untuk kumpulan berpendapatan rendah.

No comments: