Thursday, September 27, 2007

BERTINDAK BIJAK DAN WARAS

Datuk Shahrir Abdul Samad adalah pemimpin Melayu yang bijak, teliti dan waras. Ketika zaman mudanya, beliau antara tokoh pemimpin Melayu yang diharapkan oleh ahli UMNO (belum tentu pemimpinnya) untuk membawa Malaysia ke satu tahap yang lebih baik. Datuk Shahrir juga mempunyai prinsip tersendiri yang menyebabkan ramai pihak berasa tidak "selesa" dengannya. Tidak hairanlah adakalanya beliau diketepikan begitu saja dan terpaksa menjalankan perniagaan kedai dobi. Beliau waras dan tidak seperti sesetengah pemimpin yang seperti "orang gila" untuk mendapat kedudukan dan jawatan tinggi terutama dalam kerajaan.

Hayat politiknya berdenyut semula apabila dipilih sebagai salah seorang ahli Majlis Tertinggi dalam pemilihan pucuk pimpinan UMNO pada 2000. Beliau antara calon-calon luar kerajaan yang dipilih dan sesetengah pandangan menyifatkan pemilihannya mencerminkan aspirasi perwakilan yang mahu barisan yang progresif menyuarakan aspirasi ahli.

Kehadiran Datuk Shahrir dalam politik negara sehingga kini, mewarnakan lagi perjalanan politik Malaysia. Pelbagai jawatannya yang dipegang termasuk sebagai Pengerusi BNBBC dan PAC mengingatkan kita banyak peristiwa yang menggambarkan ketegasannya dalam memperjuangkan apa yang dirasakan beliau benar dan betul. Beliau meletakkan jawatan sebagai Pengerusi BNBBC berikutan "kekecohan" tindakannya menyokong usul pembangkang mengenai isu rasuah Jabatan Kastam dan Eksais Diraja. Sebagai Pengerusi PAC, beliau banyak menyuarakan "perkara yang tidak kena" terutama dalam agensi kerajaan.

Datuk Shahrir juga seorang pengikut yang setia. Sejak dulu beliau serasi dengan mantan Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam. Malah ketika beliau bertanding di Parlimen Johor Bahru sebagai calon bebas menggunakan lambang kunci, TMH membantu dalam ceramah pilihan rayanya. Saya ditenung tajam oleh Tok Mat dalam sidang akhbar Perdana Menteri ketika itu apabila meramalkan kemenangan Datuk Shahrir. Ramalan saya betul kerana tidak mungkin calon yang sudah membuat persediaan tiga tahun sebelumnya akan kecundang dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Johor Bahru. Beberapa tahun sebelum bertanding sebagai calon bebas, Datuk Shahrir adalah Pengarah Pilihan Raya BN bagi kawasan Parlimen Johor Bahru. Tentulah beliau mendapat sokongan.

Datuk Shahrir adalah pemimpin Melayu yang pandai dan rasional. Pandai untuk menyedari bahawa masa sudah tiba bagi dirinya mengundurkan diri. Tidak perlu disuruh atau dipujuk untuk bersara dalam politik. Rasional kerana bercadang untuk bersara dalam politik seperti yang dilaporkan oleh Malaysiakini, bagi memberi ruang dan peluang kepada pemimpin baru. Sudah pasti, ramai bakal-bakal calon pilihan raya mendoakan lebih ramai pemimpin bersikap seperti Datuk Shahrir untuk bersara dalam politik. Lebih ramai bersara, lebih banyaklah peluang untuk dipilih sebagai calon.

1 comment:

PointedHorns said...

Puke?

ECM Libra PAC enquiry ... never forget that!!!!!

Not sure you will publish dissenting view .... blog bodek ni.