Saturday, September 22, 2007

MENYESAL DAHULU AMAT BERGUNA

Salah satu kesilapan orang dewasa (termasuk saya) ialah menganggap kanak-kanak mampu berfikir macam kita. Mampu berfikir dengan baik sepanjang masa. Kecuali yang sadis dan berhati haiwan. Umpamanya, dalam menentukan arah. Jika orang dewasa pergi ke sesuatu tempat dalam jarak 200 meter, sudah pasti mereka mampu berpatah balik mengikut jalan yang sama. Lebih memudahkan jika jalan itu lurus dan tidak bengkang-bengkok.

Ini tidak dalam pemikiran kanak-kanak kerana pelbagai faktor boleh menyebabkan mereka sesat atau tersasar. Pertama ialah gangguan tertentu seperti perubahan dari segi kedudukan fizikal sesuatu benda seperti kereta atau gerai beroda. Kedua ialah gangguan manusia yang memanggil mereka ke sesuatu tempat berhampiran yang akan memeningkan mereka mencari jalan pulang ke rumah. Tidak hairanlah mereka gagal mencari jalan balik dan terus sesat.

Selain itu, kanak-kanak juga dalam proses belajar dan perlu mendapat bimbingan atau panduan. Mereka perlu diberikan nasihat atau arahan tertentu untuk memperbaiki kehidupan seharian. Dalam ertikata lain, mereka bertindak mengikut arahan. Ibarat pahat dengan penukul. Sebagai contoh ialah jika kita menjemur baju dan hujan mula membasahi bumi. Sebagai orang dewasa, kita akan berkejar-kejar untuk menarik jemuran itu ke tempat teduh. Ini tidak kepada kanak-kanak yang terus menonton televisyen atau membaca buku walaupun hujan lebat di luar rumah. Maka baju yang dijemur basah.

Oleh kerana tiada pengalaman, kanak-kanak tidak mampu memikirkan atau bertindak sesuatu dengan lebih jauh. Umpamanya, apabila berlaku kebakaran mereka akan duduk atau berdiri tegak tanpa berusaha meredah api terutama yang sedang marak. Tidak hairanlah dalam kejadian seumpama itu kita akan menyaksikan kejadian menyayat hati di mana mayat kanak-kanak rentong ditemui selepas api padam. Jangan biarkan kanak-kanak berseorangan di rumah atau di dalam kereta.

Namun, ada juga kanak-kanak pintar yang belajar daripada menonton televisyen atau nasihat yang diberikan oleh ibu bapa dan guru dari semasa ke semasa. Hanya kanak-kanak yang pintar dan cerdas akan bertindak seperti orang dewasa yang membolehkan mereka dinobatkan menerima Anugerah Hang Tuah (AHT). Anugerah anjuran kerajaan sebelum ini diberikan kepada kanak-kanak yang pintar dan berani seperti menyelamatkan orang hampir lemas. Oleh itu, AHT perlu diadakan semula.

Sehubungan itu, ibu bapa (seperti saya) perlu memastikan anak kita dijaga dan diawasi sepanjang masa kerana mereka masih berfikiran seperti kanak-kanak. Jangan biarkan mereka berseorangan sehingga boleh melakukan sesuatu yang tidak diingini. Sebagai contoh jika kita sibuk berada di dapur memasak atau mencuci kereta di hadapan rumah dan anak berada di tingkat atas biliknya, sekali-sekala jengoklah mereka. Ini penting untuk memastikan mereka sentiasa selamat dan bernafas.

Kejadian Nurin Jazmin yang banyak dilaporkan oleh media cetak, elektronik, media baru termasuk Malaysiakini dan blog persendirian perlulah dijadikan iktibar dan sempadan kepada semua ibu bapa. Jangan biarkan anak kita pergi berseorangan walaupun anak itu tahu ke mana dia hendak pergi. Temankan dia. Tanpa menyalahkan sesiapa, ingatan ini penting untuk memastikan anak-anak kita sentiasa selamat dan bernafas. Jangan kita mengambil mudah mengenai keselamatan anak-anak kerana menyesal dahulu berfaedah, menyesal kemudian tidak berguna lagi.

Sayangi kanak-kanak. Apatah lagi anak kita. Jagalah keselamatan mereka sepanjang masa.

No comments: