Saturday, September 29, 2007

BUATLAH KECOH DI NEGERI SENDIRI

Penduduk di Lembah Klang semalam mungkin bernasib baik walaupun gelisah kerana kesesakan lalu lintas teruk di Kuala Lumpur terutama di Jalan Rhu dan Jalan Ampang. Ini kerana hanya 2,000 rakyat Myanmar di negara ini yang berkumpul di hadapan kedutaan mereka di Jalan Rhu. Masih kecil berbanding rakyat Myanmar di negara ini.

Bayangkan jika separuh daripada lebih 92,000 rakyat Myanmar di negara ini mengadakan perhimpunan di Kuala Lumpur. Sudah pasti haru-biru dan hiruk-pikuk. Sudah pasti tidak terkawal lagi. Semalam, rakyat Myanmar berjalan setengah kilometer memakai baju merah untuk menghantar memorandum kepada Kedutaan Russia dan China yang juga terletak di Jalan Ampang. Malaysiakini dalam laporan menyifatkannya sebagai perhimpunan terbesar yang pernah diadakan oleh rakyat asing di negara ini.

Ini satu insiden yang tidak sihat walau apa sekalipun tujuan mereka. Mungkin ada orang akan menyifatkan pemikiran saya ini sempit. Sempit tidak apa, janganlah negara ini menjadi medan pertumpahan darah. Darah rakyat asing pula tu. Negara ini tidak seharusnya dijadikan tempat untuk rakyat luar melepaskan geram terhadap kerajaan mereka. Jika Britain, Perancis, Amerika Syarikat atau negara maju lain membenarkan perhimpunan seumpama itu, mereka bebas berbuat demikian kerana itu hak mereka. Malaysia tidak seharusnya menggalakkannya. Rakyat Myanmar ini menyanyi, membawa slogan dan memekik agar pemimpin junta Myanmar tidak melakukan kekerasan di negara mereka. Malaysiakini melaporkan ada juga ahli NGO tempatan yang turut serta.

Bayangkan jika rakyat luar lain ingin berbuat demikitan terutama dari Indonesia yang sehingga 31 Mac 2006 ada 1.2 juta orang, pasti menimbulkan suasana yang memeningkan. Begitu juga rakyat negara lain seperti Nepal (200,220); India (139,716); Myanmar (92,020); Vietnam (85,835); Bangladesh (58,878); Filifina (22,080) dan Pakistan (15,021). Perhatikan negara yang sedang bergolak sekarang iaitu Nepal dan Pakistan yang boleh mendorong rakyat negara itu berdemonstrasi dan berarak di negara ini. Hantar memorandum, cukuplah dua tiga orang. Buat apa nak menyesakkan jalan raya. Hendak melakukannya, buatlah di negeri sendiri. Jangan buat kecoh.

Selepas perhimpunan peguam Rabu lalu, sekali lagi, rakyat negara ini bernasib baik kerana tiada kejadian tidak diingini berlaku. Apa akan jadi jika ada rakyat Myanmar yang dalam keadaan terlalu marah dengan kerajaan mereka tidak mempedulikan arahan polis kita? Sudah tentu mencetuskan peristiwa yang tidak sihat. Inilah yang akan ditunggu-tunggu oleh media asing yang boleh dilihat sebagai ibarat buaya lapar yang menunggu mangsa. Tindakan polis itu yang pada dasarnya untuk menentukan keselamatan negara pasti digambarkan sebagai keganasan polis terhadap golongan yang berdemonstrasi ketika memastikan undang-undang dipatuhi. Apatah lagi ia membabitkan rakyat Myanmar yang kini mendapat simpati dan sokongan dunia.

Faktor kedua kita tidak boleh menggalakkan perhimpunan seperti ini oleh rakyat luar kerana sudah pasti membabitkan ramai pihak berkuasa tempatan untuk mengawal keadaan. Dilaporkan 100 anggota polis dan FRU diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga untuk memastikan perhimpunan itu tidak menjadi ganas dan tidak terkawal. Malahan trak yang membawa pancutan air juga kelihatan bersedia untuk mengawal keadaan. Pastikan tiada lagi demonstrasi rakyat asing lagi di negara ini untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini dan pembaziran tenaga, wang ringgit serta masa rakyat negara ini.

No comments: