Sunday, September 9, 2007

JAGA MULUT, NAMA DAN JAWATAN

Ada orang, buka mulut dapat duit. Ada orang, buka mulut dapat tepukan. Ada orang, buka mulut kena belasah. Ada orang buka mulut, kena dipindahkan ke tempat lain. Ada orang buka mulut, maka ada pula orang yang hendak saman.

Orang yang buka mulut dapat duit ialah penceramah atau pakar motivasi. Bayaran diberikan mengikuti kelayakan mereka. Bagi yang ada ijazah dapatlah antara RM100 hingga RM150 manakala yang ada sarjana pula antara RM300 hingga RM400. Yang ada PHD tu lebihlah sikit, melainkan PHD yang diperolehi daripada internet. Itupun kalau orang tak tahu, dapat juga bayaran yang banyak. Dosa menipu tanggung sendirilah.

Orang yang buka mulut dapat tepukan ialah penceramah yang baik. Macam Datuk Seri Anwar Ibrahim yang boleh berucap berapi-api sehinggakan habis saja bercakap satu ayat, orang akan bertepuk. Kadangkala topik tidak menarik pun menyebabkan orang memberi tepukan. Tiada isu konkrit pun, ada orang datang untuk mendengarnya. Kebolehan ini semulajadi dan tidak boleh dibuat-buat. Ada juga yang berlatih tetapi tidak konsisten sampai habis. Berapi-api di peringkat awal, tetapi hilang wap atau steam pada akhirnya. Ada juga yang beriya-iya nak berucap macam DSAI tetapi berakhir dengan menjerit-jerit tak tentu pasal. Akibatnya penonton atau tetamu pun mula tidur atau merasa bosan. Belajarlah berucap daripada pakar ucapan seperti kawan saya, Mahadzir Lokman atau Suhaimi Sulaiman.

Orang yang buka mulut kena belasah ialah ketika berlakunya pergaduhan. Umpamanya, ketika gedebe atau samseng yang sedang memegang baju anda, jangan pula hendak memaki hamun, akibatnya sudah tentu kena belasah sampai lembik. Sampai lebam mata. Begitu juga pergaduhan sama isteri. Ada suami yang perangai macam syaitan suka memukul isteri terutama jika isteri buka mulut untuk melawan. Suami macam ini sepatutnya tidak payah kahwin kerana tidak sayang isteri. Saya bukanlah baik sangat tetapi sentiasa mengajar diri untuk tidak mengangkat tangan terhadap isteri. Sebenarnya jika sudah mulakannya, maka ia akan menjadi biasa dan isteri akan menjadi tempat untuk ditinju. Tolonglah berhentikan tabiat buruk ini. Macam saya kalau gunakan tangan, sudah pasti RH akan jalan dulu kerana tangan saya sesuai untuk membelasah orang. Dululah, sekarang tidak. Hati mahu baik be.

Orang buka mulut kena pindah tempat ialah orang yang tidak memerhatikan keadaan sekeliling sebelum bercakap. Ada juga orang yang dipindahkan kerana berterus-terang tetapi oleh kerana ada ejen yang menyampaikan maklumat kepada orang tertentu maka orang yang buka mulut untuk memberi pandangan atau cadangan, dipindahkan tidak tentu pasal. Ini berlaku kepada seorang pensyarah di Universiti Malaya yang memberi pandangan yang jujur dan ikhlas. Ini diberitahu kepada saya oleh seorang teman. Nasib dia tidak baik kerana ada pihak yang melaporkan butir-butir perbincangan itu kepada "orang tertentu" dan maka dia menjadi mangsa kerana suka membuka mulut itu. Apa nak jadi ni? Bagi pandangan, bukan celupar. Tolonglah memastikan segala yang dibincangkan dalam sesuatu mesyuarat yang tertutup tidak payahlah dipanjang-panjangkan sehingga menyebabkan orang lain kena pindah atau diberhentikan. Ingat, orang yang suka memburuk-burukkan orang lain depan kita, tidak mustahil dia akan memburuk-burukkan kita depan orang lain. Dunia macam tulah. Tidak sebaik macam DuniaTiger.

Orang buka mulut kena saman kerana apa yang diluahkan dikatakan menyinggung perasaan orang lain. Ini yang dilaporkan oleh Malaysiakini yang menyebut bahawa seorang bekas hakim mahkamah rayuan disaman kerana menyebut sekolah Tamil perlu dihapuskan. Kita tidak tahu apa yang ingin dinyatakan oleh bekas hakim itu tetapi secara logiknya tidak masuk akal dia memberi pandangan itu tidak semena-mena. Mengapa hendak menjolok sarang tebuan? Mungkin apa yang dimaksudkan itu bertujuan lain seperti memberi ingatan bahawa ada keperluan bagi sekolah seumpama itu diperkemaskan dan jika tidak maka sekolah Tamil......Hanya tuan punya badan yang tahu maksudnya.

Apapun, jangan buka mulut kita sehingga lalat masuk kedalamnya. Ketika menjadi wartawan dulu, saya sentiasa mengingatkan wartawan agar menulis dengan baik agar tidak disaman oleh mana-mana pihak disebabkan perkataan tertentu yang mungkin dianggap menghina atau memalukan orang lain. Ini kerana dalam dunia ini ada pihak yang sentiasa membaca akhbar untuk mencari kesalahan orang lain untuk dijadikan bahan bagi mendapatkan pelanggan. Ada kesalahan dan orang yang dihina itu setuju untuk mengemukakan saman, maka masuklah duit. Oleh itu, berhati-hatilah ketika membuka mulut dan menulis. Minta dijauhkanlah.

2 comments:

Anonymous said...

hahaha good article

Anonymous said...

Dalam dunia kewartawawanan bila buka mulut benda yang betul atau bagi pandangan bernas tapi dianggap mencabar pihak tertentu yang sebenarnya "nak jaga punggung" oleh kerana pandai wartawan berkaliber akan dicantas. Inilah realiti dunia sekarang. Mereka yang pegang jawatan tinggi pandai jugak tapi pandai "bodek" je. Letih dah tengok golongan ini yang bermaharajalela sekarang.