Seorang rakan memberitahu saya, arwah emaknya belajar menghantar sms (sistem pesanan ringkas) selepas menonton Akademi Fantasia (AF), program terbitan ASTRO. Emaknya terlalu minat dengan Mawi sehingga meminta beliau mengajarnya menghantar sms.
Setelah pandai, emakya mula menghantar sms mengundi Mawi. Ini mungkin menyebabkan Mawi muncul sebagai juara pada tahun itu. Begitulah hebatnya AF dan Mawi. Warga emas pun berminat untuk menghantar sms memilihnya.
Kini timbul pula kegiatan menghantar sms yang mengatakan akan berlakunya kekacauan di beberapa tempat tertentu. Malaysiakini melaporkan seorang lelaki ditahan di Johor kerana ada kaitannya dengan penghantaran sms itu. Dilaporkan sebelum ini empat orang ditangkap mengikut ISA kerana menyebarkan sms akan berlaku kekacauan di beberapa bandar di Johor pada hari menyambut kemerdekaan.
Apa nak jadi ini? Mengapa manusia sanggup berbuat demikian? Sabotaj? Keseronokan? Suka melihat orang lain susah? Suka melihat pergaduhan kaum? Suka melihat pihak polis kelam-kabut untuk mengawalnya? Tolonglah berhentikan tabiat buruk ini. Tiada faedahnya. Jangan menyusahkan orang lain.
Saya sukar untuk memikirkan siapakah gerangan manusia yang sanggup menyebarkan sms berniat jahat ini dan paling menyedihkan ia ada berkaitan dengan pergaduhan kaum. Apa yang boleh dinikmati dengan penghantaran sms palsu ini? Tolonglah berhentikan tabiat yang boleh mendatangkan masalah kepada semua orang terutama pihak berkuasa. Berfikirlah secara matang sebagai individu yang berada dalam sebuah negara yang menyambut 50 tahun kemerdekaan..
Saya berharap penangkapan ini akan menjadi ingatan dan amaran kepada golongan lain yang berniat jahat untuk menyebarkan sms kekacauan di negara ini. Saya pasti rakyat negara ini daripada pelbagai kaum dan bangsa sudah serik dengan pergaduhan kaum yang tidak menguntungkan seperti yang berlaku sebelum ini. Percaya dan yakinlah tiada siapa yang akan beruntung jika berlaku kekacauan. Jangan percaya dengan penghantaran sms karut ini. Teruskan tugas pihak berkuasa. Hidup negaraku yang gemilang.
Monday, September 3, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment