Sunday, September 16, 2007
HORMATILAH ORANG BERPUASA
Dalam bulan Ramadan ini, pelbagai makanan boleh dibuat sebagai juadah berbuka puasa. Karamel (gambar) pun sedap. Kueh-mueh pun tidak kurang menariknya. Mi hun sup pun sungguh menyelerakan. Sup, ok juga. Tidak hairanlah setiap hari, saya akan mencari makanan di pasar Ramadan untuk juadah berbuka. Jika tidak, AJ akan membantu. Waktu sahur hanya minum susu dan cereal saja. Bulan puasa ini bolehlah kurus badan sikit.
Salah satu elemen penting dalam bulan puasa yang menyaksikan pembabitan semua bangsa ialah pasar Ramadan yang banyak di Lembah Klang. Merata-rata. Ia juga terdapat di seluruh negara. Pasar Ramadan yang menjual pelbagai jenis makanan daripada kueh hingga ke kuah. Jenis kueh dan kuah dari Utara hinggalah ke selatan. Pasar ini dikunjungi oleh semua pihak termasuk bukan Islam yang ingin menikmati juadah di bulan puasa. Ada yang datang membeli apabila gerai dibuka manakala ada juga yang bersama-sama umat Islam membeli kueh-mueh, lauk-pauk dan segala macam makanan. Kelmarin, saya menyaksikan seorang wanita Cina warga emas bertongkat mengunjungi pasar Ramadan di Petaling Jaya untuk membeli pelbagai makanan. Suasana yang harmoni dan mengkagumkan.
Namun, sebagai orang tua (tua ke? belum warga emas lagi), saya ingin menasihat atau mengingatkan generasi muda bukan Islam (peringkat adik-adik saya) yang membeli juadah di gerai di Pasar Ramadan supaya memberi laluan dan "menghormati" rakan umat Islam yang berpuasa pada bulan Ramadan ini. Nasihat ini bukan untuk mengajar tetapi sekadar pandangan untuk difahami dan dihayati. Kalau tidak setuju tidak perlulah mengikutnya. Susah juga hendak menyebutnya. Tapi takpelah, demi kepentingan bersama.
Pertamanya ialah setelah membeli kueh-mueh atau apa saja makanan, elaklah menikmati makanan itu di hadapan umat Islam lain terutamanya mereka yang datang untuk membeli juadah. Dalam ertikata lain, jangan terus makan setelah membelinya. Jangan makan di depan gerai itu. Ini penting kerana ada juga kanak-kanak yang mengikuti ibu bapa mereka membeli juadah akan melihat "anda yang sedang makan itu" dengan wajah yang pelik. Ada kemungkinan kanak-kanak itu berpuasa dan hairan mengapa anda tidak berbuat demikian. Ibu bapa sudah tentu akan memberitahu anak mereka. Tetapi tidak sedaplah. Ramai umat Islam yang tidak kisah rakan lain mereka makan di depan mereka. Cuma adalah lebih baik atau lebih hormat untuk tidak makan di depan mereka. Kelmarin, saya bermesyuarat dengan rakan Cina di sebuah restoran, mereka tidak makan tetapi minum saja kerana menghormati saya. Terima kasih kerana memahami.
Kedua ialah memberi "laluan" kepada umat Islam untuk membelinya dulu di Pasar Ramadan ketika sudah hampir dengan waktu berbuka puasa. Hanya menjelang waktu berbuka puasa. Waktu lain, tidak mengapa. Pasar Ramadan bukanlah untuk umat Islam saja tetapi terbuka kepada semua. Sudah pasti makanan yang digemari akan menarik sesiapa saja untuk mengunjunginya termasuk orang luar yang bekerja di sini. Adalah tidak sedap adik-adik "berebut-rebut" membeli juadah sedangkan ada umat Islam yang perlu membelinya kerana waktu berbuka sudah hampir menjelang. Umpamanya, waktu berbuka puasa ialah jam 7.15 malam dan adik-adik terlihat seseorang bergegas untuk membeli makanan pada jam 7 malam, maka berilah laluan kepadanya.
Hendak ikut oklah, kalau tidak pun, tidak mengapa. Sekadar memberi nasihat dan pandangan. Selamat berpuasa dan menikmati pelbagai juadah di bulan Ramadan. Hidup Malaysia negaraku tercinta.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment