Saya tersentak, tetapi memahaminya. Saya akur keadaan sudah berubah. Mungkin saya juga perlu berubah. Kata-kata Iyra terngiang-ngiang di cuping telinga. "Daddy, you have said it so many times. I understand. You dont have to repeat it. It's annoying daddy." Kata-kata itu terkeluar minggu lalu apabila saya menasihatkan anak perempuan saya agar tidak membazir membeli barangan yang tidak perlu. Nasihat ini sering diutarakan. Mungkin, beliau bosan dengan pembebelan itu. Iyra gemar membeli sticker untuk ditampal di mana tempat yang digemarinya. Pelbagai sticker termasuk barbie dibelinya setiap masa. Di kompleks beli-belah, di sekolah atau di mana saja yang menjualnya. Iyra menampalnya di atas buku, almari baju di rumah, malah adakalanya di beg sekolah. Itulah kegemaran Iyra. Beli dan tampal sticker.
Bagi saya, kata-kata seumpama itu bukanlah sesuatu yang luar biasa terutama daripada seorang anak pada zaman ini. Zaman selepas 50 tahun negara kita merdeka. Cuma ia bagaikan alarm clock yang mengingatkan saya bahawa masa sudah berubah dan cara mendidik anak mungkin tidak sama seperti yang dilalui dulu. Tidak sama seperti yang dilakukan oleh ibu bapa. Tidak boleh menyatakan perkara yang sama, setiap hari, setiap masa dan ketika. Sudah berbeza.
Jika dulu, saya sering diingatkan oleh ibu bapa untuk berjimat cermat dan tidak membazir. Ibu bapa berpesan untuk membeli barang-barang yang perlu saja. Jika mahu membeli yang lain perlu meminta persetujuan mereka. Tetapi sekarang tidak, anak-anak boleh membeli apa saja yang mereka suka. Duit yang diberikan kepadanya adalah duit mereka dan boleh membeli barang kegemaran mereka. Oleh itu, teguran dan nasihat yang diulang acapkali akan membosankan mereka. Itulah anak zaman ini.
Selepas kata-kata itu diucapkan, saya hanya berdiam diri. Iyra merenung muka saya. Iyra cepat memahami keadaan itu dan terus meminta maaf. Saya memeluknya dan Iyra terus menitiskan airmata. Sudah tentu beliau merasakan dirinya sudah menyakitkan hati saya. "I'm sorry daddy. I wont do it again." katanya ringkas tetapi jujur. "It's ok. Me too, I wont do it again, ya sayang." kata saya. Kami berpelukan dan terus beredar dari kedai kopi Cina, pagi itu. Tiada perbualan lagi sepanjang jalan. Saya ke tempat kerja, Iyra ke rumah makciknya sebelum ke sekolah tengah hari itu. Saya terus berfikir, salahkah memberi nasihat setiap masa?
Monday, September 10, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment