Friday, September 21, 2007

BERBISIKLAH DALAM KELAMBU

Antara pengkritik Akademi Fantasia (AF),terbitan ASTRO, yang tidak akan dilupakan oleh rakyat negara ini ialah Fauziah Datuk Ahmad Daud (Ogy). Kritikannya yang bersahaja amat memberi kesan kepada pelajar AF terutama dari segi menghayati nyanyian mereka. Tidak hairanlah perkataan "menggali" yang digunakan oleh Ogy untuk menggalakkan pelajar mencari resipi terbaik dalam penyampaian, akan diingati oleh peminat AF. Gali dan terus menggali.

Menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang sudah pasti setiap parti politik akan cuba "menggali" apa boleh digunakan untuk memaparkan kepincangan parti lawan. Tidak hairanlah usaha menggali itu telah berjaya mendatangkan hasil dengan pemaparan Video VK Lingam oleh PKR baru-baru ini. Video yang dipaparkan dalam Malaysiakini menunjukkan apa yang didakwa oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) perbualan telefon antara peguam VK Lingam dengan "seseorang" yang antara lain menentukan perlantikan hakim di negara ini. Bagaimanapun, DSAI tidak menceritakan siapakah yang merakamkan perbualan telefon itu yang visualnya tidak begitu jelas dan tunggang-langgang. Individu yang merekodkannya sudah tentu tidak memberitahu "mangsa" mengenai hasratnya untuk merakamkan perbualan telefon. Ataupun mangsa mengetahuinya tetapi menjangka individu itu hanya ingin merakamkan diri mangsa, bukan yang lebih penting iaitu "isi perbualannya". Nasib kamulah labi.

Kejadian itu sudah tentu mengingatkan kita supaya berhati-hati dalam tindakan ketika bercakap, berbual, bersembang atau berseloroh mengenai sesuatu perkara kerana ia mungkin akan dirakam dan dijadikan bahan bukti mengenai sesuatu perkara. Banyak pihak berkuasa terutama pasukan keselamatan mempunyai alat yang boleh mengesan percubaan meletakkan alat rakaman di bilik terutama pegawai tertinggi tentera atau polis. Ini untuk menggelakkan sebarang bentuk rakaman dibuat ketika berlakunya perbualan antara pemimpin tertinggi tentera atau polis dalam biliknya. Tidak susah meletakkan alat perakam suara itu kerana ia boleh dibeli di banyak kedai yang menjual alat penyiasatan ala James Bond terutama di luar negara dan meletakkannya dalam tempat sulit di dalam bilik.

Oleh itu, mulai hari ini, apabila anda bercakap terutama yang bercakap kuat (kerana rumah di tepi pantai) perlu memastikan tidak bercakap sesuatu yang boleh digunakan untuk memaparkan niat jahat atau strategi tertentu, yang boleh dirakamkan. Oleh itu, jika ada sesuatu yang rahsia, perlulah bercakap dalam kelambu atau berbisik sehinggakan tidak boleh dirakamkan. Selamat mencuba sebarang teknik baru. Selamat menggali juga.

No comments: