Monday, September 3, 2007

PRU : STRATEGI DEDAH KEBURUKAN?

Sebagai bekas pemimpin tertinggi UMNO, Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) sudah boleh menjangka strategi yang akan digunakan oleh UMNO terhadap dirinya dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang. Oleh itu, tidak hairanlah beliau membuat ramalan awal bahawa UMNO terutama Penerangan UMNO dan Pemuda UMNO akan mengedar segala macam risalah dan CD termasuk pengakuan adik angkatnya,Sukma, seperti [ berita ] KLPos , news portal yang dikendalikan oleh Helmi Hanafi.

Usaha mengemukakan ramalan atau kenyataan awal ini adalah antara strategi politik yang diketahui umum sering digunakan oleh DSAI sebelum ini. Kaedah prempting ini bertujuan untuk menyakinkan orang ramai terutama pengundi seolah-olah ada "niat jahat" lawan terhadapnya. Apabila ramalan itu tepat, maka ia secara langsung memaparkan UMNO ada niat tertentu berbuat demikian walaupun mungkin parti berkenaan menggunakan pendekatan itu untuk memberitahu orang ramai peribadi DSAI yang sebenarnya. Sesetengah pemerhati politik menyifatkan tindakan itu sebagai menceritakan keburukan lawan dan bukan memburuk-burukkan lawan. Sama juga ke?

Apapun, ini akan menjadi satu perkara yang menarik terutamanya bagi kebanyakan pemerhati politik, yang menjangkakan DSAI akan dibenarkan bertanding untuk menguji "kehebatan" bekas Timbalan Perdana Menteri itu sekarang. Adakah beliau masih berpengaruh atau hanya "berdegar-degar" saja terutama dalam pelbagai ceramah yang dianjurkan oleh PKR dan rakan lain seperti PAS?.

Apapun, kenyataan Naib Presiden PKR, Azmin Ali, bahawa rundingan pembahagian kerusi antara PKR dengan DAP hampir selesai dengan sasaran utama menawan Pulau Pinang dalam PRU akan datang, satu perkembangan menarik. Malaysiakini melaporkan Azmin berkata, rundingan itu kini tertumpu kepada dua atau tiga kerusi yang bertindih. Sementara rundingan dengan PAS, diharapkan selesai sebelum bermulanya Puasa minggu depan.

"Apa yang pasti, rundingan pembahagian kerusi antara ketiga-tiga parti pembangkang utama ini akan selesai sedikit masa lagi,” kata beliau yang juga pengarah pilihanraya PKR. "Rundingan ini adalah untuk memastikan hanya seorang calon pembangkang menentang Barisan Nasional (BN)," katanya ketika berucap di majlis pelancaran projek kalendar anjuran PKR bahagian Ampang di ibu negara malam tadi.

Perkembangan ini sudah tentu menidakkan laporan pemerhati politik sebelum ini yang menyebut rundingan antara PKR dan "kawan-kawannya" sering tertangguh kerana pelbagai faktor terutamanya kedudukan DSAI yang sering menjadi bahan sasaran parti komponen Barisan Nasional (BN). Rundingan PKR dan rakannya itu sentiasa tertangguh terutamanya pembahagian kerusi di Kelantan kerana masalah peribadi yang dijadikan sasaran BN terutamanya UMNO. Parti itu amat mengenali bekas Timbalan Presidennya.

Seorang pemerhati politik menyifatkan perkara kecil seperti tarian di Ijok dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) lalu juga akan mengganggu pembangkang kerana sifat berlainan yang ditunjukkan oleh DSAI. Di satu ketika, ramai pengikutnya ingin memaparkan DSAI seorang pendakwah yang perlu menjadi contoh tetapi tindakannya menari dalam satu ceramah itu menyebabkan lawannya menggunakan "kesilapan" itu untuk memaparkan perilaku DSAI.

Ini diakui oleh DSAI dalam kempennya di Tanah Merah, Kelantan yang menuduh RTM menjadi alat propaganda untuk memburuk-burukkannya. Katanya, apa yang dilakukan sedikit berbanding orang lain. Malah, ramai pemerhati politik tempatan menjangka "tarian" itu akan terus menghantui PKR dalam PRU akan datang.

No comments: