Monday, September 24, 2007

PERLINDUNGAN DAN SIMPANAN MASA DEPAN

Dalam beberapa pertemuan dengan rakan-rakan dan mereka yang mendengar ceramah saya, sering ditanya apakah yang diperolehi dengan membuat blog setiap hari. Mereka juga ingin tahu adakah saya menikmati sebarang faedah dalam bentuk kewangan daripada kegiatan memblog itu. RH juga pernah menegur mengenai penumpuan memblog ini yang tiada pulangan kewangan. Jawapan saya ringkas. "Saya suka menulis. Itulah kepuasannya." Namun, mereka yakin saya boleh mendapat faedah daripada blog ini selain kepuasan menulis. "Tiada iklan ke?" Pertanyaan itu seolah-olah dunia bloggers ini mudah untuk mendapat iklan. Mungkin ada kebenarannya bagi news portal atau blog persendirian seperti Jeff Ooi.

Untuk itu, langkah pertama dalam mendapat pulangan kewangan secara tidak langsung ialah menggunakan blog ini dalam menyedarkan masyarakat mengenai kepentingan menabung dan membeli insurans untuk masa depan mereka. Kejadian kemalangan yang banyak berlaku di negara ini perlulah menyedarkan orang ramai mengenai kepentingan mengambil insurans bagi melindungi kegiatan mereka. Sebagai permulaan, saya menyiarkan artikel yang pernah disiarkan dalam AgendaDaily pada Januari 2006. Artikel ini akan disiarkan hari ini dan esok.

MELAYU PERLU PERLINDUNGAN DAN SIMPANAN MASA DEPAN

Membaca dan menonton pelbagai berita mengenai kemiskinan orang Melayu dalam media cetak dan elektronik menimbulkan satu keinsafan pada diri mengenai nasib bangsa Melayu. Kisah yang dipaparkan dalam media massa menunjukkan orang Melayu sering menghadapi masalah apabila berlakunya sesuatu malapetaka terhadap mereka. Ini bukan bermakna kaum lain tidak menghadapi masalah yang sama tetapi bilangan orang Melayu sebenarnya lebih ramai berbanding kaum lain. Ini amat menyedihkan dan sesuatu perlu dilakukan oleh pemimpin masyarakat dan saudara seIslam.

Umpamanya, apabila ketua keluarga terkorban dalam kemalangan atau penyakit berbahaya maka sudah tentu ahli keluarga lain akan menghadapi masalah dalam meneruskan kehidupan. Ini kerana tiada lagi sumber pendapatan untuk menampung keperluan ahli keluarga kerana ketua keluarga sudah tiada. Bertambah malang lagi jika isteri tidak mempunyai sebarang perkerjaan dan anak pula masih ramai yang bersekolah.

Wang diperlukan untuk membeli barang keperluan harian. Wang perlu ada untuk menghantar anak ke sekolah di samping diwajibkan melunaskan hutang rumah atau kereta. Jika barang keperluan tidak dibeli maka tiada minuman atau makanan untuk hari itu. Begitu juga jika bayaran rumah tidak diselesaikan, bank akan pasti menunggu masa untuk melelong rumah berkenaan atau mengheret peminjam ke mahkamah. Apatah lagi sesetengah bank yang tidak mempunyai sifat perikemanusiaan dan hanya tahu hutang yang diberikan diselesaikan segera tanpa memikirkan nasib peminjam.

Apakah punca sebenarnya masalah sebegini boleh berlaku? Kisah sedih seumpama ini boleh dielakkan atau dikurangkan jika ada kesedaran mengenai pentingnya membuat simpanan atau mengambil insurans. Tabiat menyimpan wang adalah terpuji terutama ketika waktu susah atau kesempitan. Insurans pula adalah untuk perlindungan dan simpanan masa depan. Bangsa Melayu perlu mempunyai kesedaran mengambil perlindungan terutamanya insurans nyawa bagi memastikan mereka tidak menghadapi masalah apabila berlakunya sesuatu malapetaka.

Ketika ini, hanya satu juta daripada 13 juta orang Islam mengambil insurans sama ada konvensional atau takaful. Bilangan itu amat kecil. Dua belas juta orang Islam yang tidak mempunyai insurans bakal menghadapi masalah jika sesuatu berlaku terhadap diri mereka dan ketika itu mereka juga tidak mempunyai sebarang simpanan.

Bangsa Melayu perlu mengambil perlindungan dan simpanan takaful kerana ia tidak mempunyai unsur-unsur gharar (was-was), maisir (judi) dan riba. Setakat ini, ada empat pengendali takaful di negara ini iaitu Takaful Malaysia Berhad, Takaful Nasional, Takaful Ikhlas dan Maybank Takaful. Syarikat takaful ini mempunyai Majlis Pengawasan Syariah yang akan memastikan pelaburan syarikat sentiasa ‘bersih dan suci’ dan bukannya dalam syarikat yang menjalankan perniagaan bertentangan dengan syariat Islam seperti judi dan arak.

Dalam bahasa Arab, kata dasar bagi perkataan ‘takaful’ ialah ‘kafala’ yang bererti untuk menjamin, menjaga atau memelihara. Oleh kerana ‘takaful’ adalah katanama yang berasal daripada kata kerja ‘takafala’ maka ia juga bererti ‘saling menjamin, menjaga atau memelihara.’

Menurut Akta Takaful 1984, ‘takaful’ ertinya satu skim yang berasaskan persaudaraan, perpaduan dan bantuan bersama yang menyediakan pertolongan dan bantuan kewangan kepada peserta jika diperlukan di mana peserta sama-sama bersetuju untuk memberi sumbangan bagi maksud itu. Secara amnya, Takaful mempunyai tujuan yang sama dengan insurans konvensional di mana kedua-duanya adalah instrumen untuk membantu
golongan yang tidak bernasib baik kerana ditimpa musibah.

.....BERSAMBUNG

No comments: