Thursday, September 20, 2007

MAJIKAN PUN BOLEH JADI DRACULA

Melihat visual TV3 malam tadi yang menunjukkan betapa ramainya pekerja asing yang ditempatkan di tempat letak kereta KLIA menunggu majikan mereka, menimbulkan rasa kehairanan yang amat sangat. Walaupun sebelum ini saya pernah menulis mengenai [ perniagaan hamba abdi moden ] tetapi jumlah ramai lebih 3,000 dalam kawasan yang sempit itu mengingatkan kita sebagai pusat tahanan pendatang asing. Mereka bukan pendatang asing yang ditahan. Mereka pekerja asing yang ditipu. Lebih menyedihkan visual BU TV3 menunjukkan kakitangan Jabatan Imigresen bertungkus-lumus menyelenggarakan pengecopan pasport pekerja asing itu. Inilah yang saya maksudkan menyusah dan memalukan negara.

Sehubungan itu, cadangan MTUC dalam Buletin Utama TV3 malam tadi agar kerajaan hanya mengeluarkan permit kepada majikan adalah langkah permulaan yang baik. Biarlah majikan yang memegang permit bukannya orang tengah, orang tepi atau orang kanan. Majikanlah yang mengemukakan permohonan mereka. Mereka perlu memberitahu berapa ramai pekerja yang dikehendaki dan kerja yang disediakan untuk mereka. Ini tidak seperti orang tengah yang membawa masuk pekerja asing tetapi tidak tahu apakah kerja untuk mereka. Itulah yang terjadi kepada mereka sehingga terkandas dan mendapat liputan AFP yang dipetik oleh Malaysiakini baru-baru ini. Berita AFP itu sudah tentu akan tersebar di seluruh dunia dan pasti mencalar nama baik negara dalam menangani isu pekerja asing.

Dalam pada itu, kerajaan juga perlu memantau alasan dan rasional yang diberikan oleh majikan dalam memohon pekerja asing ini. Seperti yang saya sebutkan dahulu bahawa mereka perlu mengutamakan pekerja tempatan. Hanya, ya hanya jika mereka terlalu sukar untuk mendapatkan pekerja tempatan kerana sebab-sebab munasabah, maka barulah kerajaan meluluskannya. Kerajaan tidak boleh terperangkap dengan helah majikan ini.

Dalam pada itu, kakitangan kerajaan pula jangan pula mencari keuntungan daripada urusan pengeluaran permit ini. Jangan "buat kira-kira" dengan majikan ini. Tidak baik dan melanggar peraturan pekerjaan. Tegas dan berani menghadapi majikan yang mengemukakan permohonan ini. Jika alasan mereka lemah dan penuh dengan tipu helah, jangan keluarkan permit. Jika tidak, sama juga seperti memberikan permit kepada "orang tengah" yang mendapat keuntungan berlipat ganda. Belum ada pekerjaan, sudah "rembat" RM1,500 daripada pekerja asing yang ingin datang ke sini. Mereka ini ada yang sanggup memberikan RM1,500 kerana menaruh harapan akan mendapat kerja. Ada antara mereka menjual kenderaan, tanah atau rumah untuk datang ke sini. Bayangkan betapa luluh hati mereka mengetahui tiada pekerjaan dan mereka ditipu. Tidak kira apa bangsa sekalipun, janganlah buat mereka seperti haiwan. Janganlah fikir mengenai keuntungan saja. Dimanakah sifat kemanusiaan kita? Hormatilah sikit.

No comments: