Friday, September 21, 2007

BANTERAS KEMUNGKARAN PENYANGAK

Sejak dulu lagi, ramai wartawan, tidak kira media cetak atau elektronik, sentiasa berusaha menyiarkan berita "kemungkaran alam sekitar" termasuklah pencemaran sungai, kekotoran air paip, pembuangan toksik maupun kekotoran limpahan air kandang babi. Pencemaran dan kekotoran ini bukan saja mengotorkan tetapi memberi ancaman kesihatan kepada penduduk setempat. Adakalanya pencemaran itu menyebabkan ramai yang terbabit seperti pencemaran sungai yang membabitkan orang di hulu dan di hilir.

Wartawan yang ditugaskan menjaga beat alam sekitar ini akan turun padang untuk membuat laporan termasuklah terpaksa mencium bau busuk kandang babi atau bahan toksik. Hasilnya sudah tentu menggembirakan dengan laporan terbaik disiarkan dalam akhbar atau televisyen ataupun radio. Lebih membanggakan laporan penyiasatan itu memenangi anugerah dalam pelbagai pertandingan laporan kewartawanan yang diadakan di negara ini.

Dalam memperkatakan wartawan alam sekitar ini, kita tidak boleh lari daripada menceritakan ikon berita alam sekitar iaitu Karam Singh Walia daripada TV3. Penonjolannya sebagai wartawan alam sekitar bermula pada lewat 1970an apabila ditugaskan menjaga beat alam sekitar yang diminatinya. Karam Singh yang berminat untuk membongkarkan kemungkaran alam sekitar ini memberikan tumpuan seratus peratus sehingga membolehkan beliau menghasilkan laporan terbaik. Apa yang menarik ialah laporan bekas guru berbahasa Inggeris ini mengambilkira pandangan pelbagai pihak termasuk pihak berkuasa dan mereka yang membuat kemungkaran itu.

Karam Singh kini bertindak sebagai "penjaga alam" dengan membongkarkan pelbagai laporan pencemaran alam sekitar. Malah laporan itu adakalanya mengejut pihak berkuasa daripada tidor nyenyak atau mata yang kabur. Setiap penjuru negara diredahnya termasuk di Sabah untuk menyedarkan orang ramai mengenai kepentingan menjaga alam sekitar.

Baru-baru ini, Karam Singh juga ke Melaka untuk membongkar kekotoran kandang babi yang dilaporkan dalam media perdana, news portal seperti Malaysiakini dan blog-blog persendirian. Beliau menemuramah pengusaha chalet di Pengkalan Balak dan kampung sekitar Paya Mengkuang. Nama Karam Singh disebut-sebut setiap kali isu alam sekitar ditimbulkan termasuk di Dewan Rakyat. Malah kemenangan demi kemenangan yang diperolehi Karam Singh menceritakan segala-galanya mengenai kegigihan wartawan alam sekitar ini.

Namun, formula terpenting yang digunakan oleh Karam Singh ialah dengan memasukkan peribahasa Melayu dalam laporannya. Peribahasa yang digunakan di akhir laporan itu sebenarnya menarik minat orang ramai untuk mengikuti dan menunggu laporannya sehingga ke akhir untuk mendengar peribahasa Melayu yang ingin diketengahkan. Adakalanya peribahasa itu amat unik dan luar biasa sehinggakan dijadikan ikutan dalam pertuturan mereka.

Malam tadi, dalam Buletin Utama TV3, Karim Singh mendedahkan pembuangan toksik di Klang yang menyebabkan kerajaan terpaksa membelanjakan antara RM40,000 hingga RM50,000 untuk memindahkan toksik itu ke tempat pelupusan sebenarnya.

Apapun, Karam Singh telah berjaya menimbulkan minat rakyat negara ini terhadap usaha menjaga alam sekitar di samping mempopularkan peribahasa Melayu yang tidak luntur ditelan zaman. Tahniah Karam Singh. Sudah sampai masanya penghargaan lebih tinggi diberikan kepada beliau.

Diperturunkan beberapa peribahasa yang dipetik daripada Kamus Istimewa Peribahasa Melayu yang dihasilkan oleh Abdullah Hussain.

Ada wang abang saya, tak ada wang abang payah.

Ayam putih terbang siang, hinggap di halaman, terang kepada mata orang banyak.

Bagai diurap dengan daun katang-katang.

Kecil teranja-anja, besar terbawa-bawa, sudah tua berubah tidak.


Carilah makna dan gunakanlah dengan bijak. Selamat mencari.

1 comment:

gaia said...

aku ska baca blog ko ni!