Thursday, September 13, 2007

RAHSIAKAN PENYAKIT, HAK PERIBADI

Ada beberapa faktor menyebabkan seseorang individu itu merahsiakan penyakitnya.

Pertama kerana individu itu tidak mahu keluarga terdekat mengetahuinya. Hanya doktor peribadi saja. Apabila keluarga mengetahui penyakitnya, sudah pasti mereka akan menjadi risau dan gelisah. Risau tak tentu pasal. Ada ahli keluarga yang lebih risau daripada individu yang sakit. Terlalu kecoh sehingga merimaskan pesakit. Nampak seolah-olah bersikap ambil tahu tetapi jika selalu bertanya, "Are you ok? Tak sakit ke? Makanlah ubat." mungkin satu hari otakpun akan menjadi "KO". Bukan tak boleh, cuma janganlah keterlaluan. Ada juga ahli keluarga yang mengetahui kita sakit akan cuba "memanjakan" kita. Semuanya tidak boleh buat. Tidak boleh angkat inilah, tak boleh buat itulah. Seronok juga macam raja. Tetapi akhirnya kita menjadi bulat kerana tiada senaman. Apabila bulat, boleh jalan dulu. Itu sebab saya "berdegil" dan membuat sesuatu untuk berpeluh kerana mahu hidup seribu tahun lagi.

Kedua ialah individu yang mahu merahsiakan penyakitnya kerana ingin membuat sesuatu segera kerana mengetahui penyakitnya semakin teruk. Umpamanya, mereka yang menghidapi barah di peringkat keempat atau kelima. Mereka sakit tetapi mahu meneruskan tugasnya sehingga berjaya. Jika diketahui ramai, mungkin individu itu akan direhatkan. Mantan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein, tergolong dalam kumpulan ini kerana kematiannya di London mengejut ramai pihak terutama rakyat jelata. Hanya keluarga terdekat saja yang mengetahuinya. Sebagai pemimpin, rakyat perlu tahu mengenai penyakitnya. Namun, beliau ada sebab merahsiakannya. Setidak-tidaknya tidak mahu rakyat negara ini risau dengan kesihatannya. Ini berbeza dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, yang sentiasa menerima doa daripada rakyat jelata yang inginkan beliau segera sembuh selepas pembedahan koronari. Segera sembuh. Amin.

Ketiga ialah golongan yang tidak suka ke hospital atau mendapatkan rawatan. Mereka takut ke hospital atau takut dengan ubat-ubat moden. Dengan merahsiakan penyakitnya, maka beliau tidak perlu ke hospital atau mendapatkan rawatan. Rakan sekerja, Allahyarham Mohamad Hussin hanya mendapatkan rawatan tradisional kerana tidak mahu melalui rawatan kimoterapi yang dikatakan amat menyakitkan. Akhirnya penyakit barah itu meragut nyawanya dalam usia yang muda. Ajal maut ditentukan Allah SWT. Yang terbaru ialah seniwati Azean Irdawaty yang mengetahui penyakitnya tetapi dikatakan tidak mahu mendapatkan rawatan awal terhadap barah payu dara.

Keempat ialah individu yang tidak mahu orang lain mengetahui penyakitnya kerana bimbang boleh menjejaskan kerjaya atau masa depan politiknya. Jika pemimpin tertinggi mengetahui individu itu berpenyakit, sudah tentu peluang untuk dipilih menjadi calon dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, hancur berkecai. Oleh itu, perlu dirahsiakan. Malah, jika tahap kesihatan ini diketahui oleh pihak tertentu, mereka akan menyebarkannya dengan pelbagai tambahan "rempah ratus" yang menyedapkan berita berkenaan. Ini yang terjadi kepada Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Chan Kang Choy. Namun, DS Chan bukanlah dikategorikan dalam faktor keempat ini kerana beliau sudah tentu akan dicalonkan pada PRU akan datang kerana memegang jawatan tinggi dalam MCA. Beliau juga tidak merahsiakan bahawa beliau sakit dan mengumumkan untuk mendapatkan rawatan selama dua minggu di Australia.

Yang kelima pula bukan merahsiakan penyakit tetapi penyakit itu "merahsiakan diri" atau bersembunyi. Dalam ertikata lain, individu itu tidak mengetahui beliau berpenyakit sehinggalah beliau jalan dulu seperti yang berlaku kepada beberapa pemain bolasepak dunia. Penyakit dikategorikan sebagai "silence killer" ini seperti penyakit jantung menyerang bukan saja orang bulat tetapi juga yang kurus kerana jantung bermasalah. Penyakit ini banyak menyerang perokok terutama yang merokok sejak di bangku sekolah lagi. Jika mula merokok sejak bekerja, mungkin boleh hidup panjang lagi. Satu lagi, perokok yang apabila bangun tidur terus mencapai rokok. Minum airlah dulu. Mahu hidup lama?

Dalam laporan Malaysiakini semalam, DS Chan enggan mendedahkan tentang penyakit yang dihidapinya sehingga terpaksa mendapatkan rawatan selama dua minggu. Dalam ertikata lain DS Chan memberitahu beliau sakit tetapi merahsiakan penyakitnya. Baginya penyakit adalah hak peribadi. Timbalan Presiden MCA itu juga menafikan khabar-khabar angin mengatakan beliau menghidap kanser. Oklah tu.

Oleh itu, wartawan tidak payahlah bertanyakan lagi mengenai penyakitnya. Janganlah kacau dengan soalan penyakit, tanyalah soalan lain. Ini kerana saya yakin satu hari nanti kita akan mengetahui apakah sebenarnya yang dihadapi oleh DS Chan. Peribahasa Melayu ada menyebut, "Perut buncit, lama-kelamaan menjadi busung". Penyakitnya mungkin tidak berbahaya untuk diberitahu atau terlalu bahaya sehinggakan orang ramai tidak perlu tahu. Penyokongnya kini perlulah mendoakan agar beliau terus sihat untuk menjalankan tugas sebagai orang nombor dua MCA.

Apapun, menjadi hak individu untuk menyimpan rahsia penyakitnya daripada orang ramai. Seperti kata DS Chan, ia hak peribadi. Melainkan, peneraju syarikat besar yang perlu memastikan apa yang dirancangkan dapat dilaksanakan bagi kepentingan syarikat dan pelabur. Jika mereka berpenyakit, adalah perlu untuk menggantikan dengan orang lain yang mampu menerajui syarikat berkenaan.

No comments: